Wednesday, September 29, 2021

Hak asasi seorang seniman

Dalam banyak keadaan, artis akan juga membangkang dan berusaha untuk menjadi pengimbang malah kuasa alternatif kepada para politikus.

Other News

Baru-baru ini ada seorang seniman bertanyakan kepada saya apakah hak-hak asasi seorang seniman yang dilindungi di bawah payung Hak Asasi Manusia, khususnya di zaman kegilaan menghukum dan menghakimi para satirawan.

Jawapan saya begini, saya suka merujuk laporan Farida Shaheed pada tahun 2013 apabila beliau memegang posisi selaku Pelapor Khas untuk Hak-hak Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (Special Rapporteur in the field of cultural rights).

Di dalam laporan beliau, sesungguhnya Farida menegaskan yang seni adalah bahagian dari kewujudan dan pembangunan sesebuah masyarakat, dan anggota masyarakat yang bergerak itu akan sentiasa melakukan atau menyumbang ciptaan seni.

Seniman, sebagai sang pencipta bukan sahaja memperagakan kerja seni, tetapi juga sebetulnya menyumbangkan kepada pelbagai wacana dalam kehidupan seharian, dan ini termasuklah dalam ruang politik.

Dalam banyak keadaan, artis akan juga membangkang dan berusaha untuk menjadi pengimbang malah kuasa alternatif kepada para politikus.

Kata Farida: “Artists may entertain people, but they also contribute to social debates, sometimes bringing counter-discourses and potential counterweights to existing power centres. The vitality of artistic creativity is necessary for the development of vibrant cultures and the functioning of democratic societies”.

Justeru, seniman yang hidup, yang berbahas dan berani membantah adalah bahagian dari sebuah demokrasi yang sihat dan tidak terencat.

Oleh demikian kerja seni itu adalah satu produk ekspresi yang harus dibebaskan dari sebarang kekangan.

Dalam hal ini, kerja seni tidak boleh ditakrifkan memandangkan ia sangat subjektif dan ia juga dalam masa yang sama adalah satu luahan perasaan dan fikiran yang bersatu dalam jasad, fikiran dan diri seseorang insan.

Ini bermakna adalah menjadi satu hak asasi manusia untuk berseni, mencipta seni, menghayati seni dan seniman justeru wajib diberi kemerdekaan untuk berbeza pendapat.

Hasil seni, dan seniman sebagai pencipta sering berdepan dengan pelbagai halangan dan pencerobohan.

Ini kerana seni adalah satu medium untuk menghantar gagasan berbeza, atau mesej yang berlawanan di mana nilai yang berlainan ini diutus menerusi lambang, berseni mahupun secara langsung.

Penghalang dan pengekang seni dan seniman itu boleh sahaja bersumber dari politik, agama, tradisi, ukuran moral (yang relatif), agenda ekonomi dan bermacam-macam lagi.

Hak-hak asasi seorang seniman itu secara langsungnya dilindungi di bawah kebebasan bersuara dan kreativiti ditemukan pada Artikel 15 (3) ICESCR, yang mana sesebuah negara itu dituntut untuk menghormati kerja seni; “undertake to respect the freedom indispensable for…creative activity” dan dalam Artikel 19 (2) ICCPR, yang mana negara diminta memberikan kebebasan bersuara termasuk untuk mencari, menerima dan mengedar apa sahaja bentuk seni.

Lain dari itu ia juga muncul pada Artikel 27 Universal Declaration of Human Rights (UDHR), yang menjelaskan kita semua berhak untuk menikmati seni.

Namun demikian, di banyak negara; kadang-kala kerja seni dijatuhkan sebagai satu kerja jenayah – dengan alasan menghasut atau menjejaskan kestabilan masyarakat dan negara – padahal kerja seni itu tidak pun sampai benar-benar menggugah jika dibiarkan atau diberi peluang untuk tumbuh dan subur.

Untuk menjayakan alasan jenayah ini, “criminal sanctions”, selalu dihujahkan.

Yang dimaksudkan dengan jenayah dalam seni seringnya berlegar seputar ektremisme, terorisme dan hooliganisme.

Dalam ruang hak asasi manusia, untuk memahami apakah benar sesuatu itu sampai dapat dihujahkan dengan tiga dakwaan di atas, parameter yang digunakan ialah Pelan Tindakan Rabat.

Saya sudah banyak menulis mengenai Rabat Plan of Action ini dan tidak akan menghuraikannya di sini.

Kebebasan seseorang seniman di bawah ruang lingkup hak asasi manusia itu merangkum seluruh luahan seni, dan kreativitinya di mana mereka akan menggunakan pelbagai simbol termasuk yang sakral seperti lambang kenegaraan, keagamaan, atau lambang sosial dan ekonomi (misalnya logo syarikat korporat tertentu).

Oleh sebab negara, agama, dan syarikat korporat juga menggunakan simbol dan kadang kala produk seni untuk urusan mereka, maka seniman juga harus dibenarkan untuk menjawab atau berbeza pendapat dengan cara yang sama.

Farida menyatakan begini: “in most cases, restrictions on artistic freedoms reflect a desire to promote a world vision or narrative ‘while simultaneously blocking all others’.”

Sekatan terhadap karya seni dan seniman dilakukan dengan pelbagai cara.

Ia boleh terjadi terhadap karya sebagai produk seni; seniman sebagai pencipta seni; platform seni seperti konsert, atau laman sosial yang menerbitkan hasil seni dan akhirnya; gajet atau alat penukangan seni seperti laptop, gajet telefon, berus dan buku catatan mereka.

Antara lain cara menyekat seni dan seniman ialah dengan pengharaman karya, sensor, pembatalan acara seni, gangguan terhadap karyawan, pemenjaraan, perampasan alat penggubalan karya seperti yang disebutkan di atas.

Dan ini juga termasuk menyekat laman dalam talian yang mungkin saja memaparkan hasil seni berkenaan.

Semua ini salah dari segi hak asasi manusia dan boleh dicabar.

Sebagai saranan, Farida mencadangkan kepada para hakim, penggubal undang-undang dan para peguam untuk memahami kerja seni dengan segala nilainya sebelum membuat apa-apa keputusan yang menjejaskan hak asasi.

Ini kerana seni dan seniman harus dibenarkan menerokai pandangannya terhadap lingkungan kehidupan, termasuk melibatkan politik, ekonomi, agama dan budaya: ”Decision makers, including judges, when resorting to possible limitations to artistic freedoms, should take into consideration the nature of artistic creativity (as opposed to its value or merit), as well as the right of artists to dissent, to use political, religious and economic symbols as a counter-discourse to dominant powers, and to express their own belief and world vision. The use of the imaginary and fiction must be understood and respected as a crucial element of the freedom indispensable for creative activities.”

Ketika empat buat karya saya dinyahlarang pada 10 Januari 2018, hakim-hakim Mahkamah Rayuan memutuskan ia adalah menjadi hak saya yang dilindungi Perlembagaan untuk berkarya.

Dalam keadaan pandemik melanda, pengurusan negara yang celaru kadang-kala akan membuatkan seniman berasa gelisah dan mengkritik dengan kerja seni mereka.

Sama ada ia disalurkan dalam bentuk kartun, lukisan, muzik, filem, persembahan teater, mahupun kerja kesusasteraan; ia harus dinilai sebagai satu sumbangan utnuk membaiki keadaan dan bukannya dikekang dan cuba dipadamkan sehingga menjejaskan keselamatan dan mutu kehidupan para seniman itu sendiri.

Sesebuah negara yang merdeka dan berpegang kepada demokrasi hendaklah melindungi hak asasi manusia seseorang seniman dan bukannya mencabul mereka.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles