Friday, June 11, 2021

Apa dalam fikiran orang yang melanggar SOP?

Tetapi tentulah pihak berkuasa tidak akan dapat memantau atau menguatkuasakan semua perkara.

Other News

Beberapa hari lalu ditularkan penduduk-penduduk sebuah rumah pangsa di Balakong, Selangor dikesan positif Covid-19.

Ia dikatakan berpunca dari kegiatan kunjung-mengunjung semasa sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Semasa kunjung-mengunjung itu ada seorang penduduk yang positif Covid-19.

Daripadanya, virus merebak kepada seluruh penduduk rumah pangsa itu.

Maka mereka menjadi penyumbang kepada angka positif Covid-19 yang sedang meningkat di negeri itu.

Sedangkan kerajaan sudah melarang kunjung-mengunjung pada hari raya.

Orang ramai patut mematuhi peraturan ini bukan hanya kerana takut dikenakan denda yang tinggi tetapi dengan kesedaran mengenai kemungkinan dijangkiti virus Covid-19.

Juga selepas hari raya, sebuah kampung di Kelantan dikenakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) kerana penduduk-penduduk di situ, termasuk bayi dijangkiti virus Covid-19.

Puncanya ialah daripada solat terawih berjemaah.

Solat itu dilaporkan dilakukan dalam gelap supaya tidak dikesan oleh pihak berkuasa.

Ini bermakna mereka sedar perbuatan itu melanggar undang-undang.

Oleh kerana ada anggota jemaah yang mempunyai virus Covid-19, maka ia tersebar ke seluruh jemaah lain.

Lebih-lebih lagi mereka tidak mematuhi SOP iaitu solat berjarak satu meter dan mengelak daripada bersalaman.

Apabila anggota jemaah pulang ke rumah masing-masing, maka virus itu tersebar dalam kalangan ahli keluarga.

Maka mereka menjadi penyumbang kepada angka jangkitan Covid-19 di Kelantan.

Sedangkan pihak berkuasa menetapkan larangan solat terawih berjemaah di surau dan masjid.

Pihak yang membuat peraturan itu bukannya Majlis Keselamatan Negara (MKN) atau polis tetapi Majlis Agama Islam negeri.

Malah Mufti Kelantan dengan jelas menerangkan keperluan mematuhi peraturan bagi membendung wabak ini.

Sebelum PKP, akhbar berbahasa Cina ada melaporkan satu majlis makan malam besar diadakan di Sekinchan, iaitu tempat popular di tepi laut.

Pada masa itu tiada larangan bagi mengadakan majlis seumpama itu.

Tetapi ia tetap berisiko.

Akhirnya, apa yang dibimbangi berlaku juga.

Ramai hadirin dijangkiti virus itu.

Ada warga emas yang meninggal dunia ekoran Covid-19.

Semasa bulan Ramadan lalu, banyak majlis-majlis rasmi berbuka puasa diadakan di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor.

Antaranya dianjurkan oleh kementerian yang turut disertai menteri.

Dalam satu majlis, meja utama diduduki oleh menteri dan wartawan-wartawan veteran serta isteri masing-masing.

Selepas majlis itu, menteri berkenaan diumumkan dikesan positif Covid-19.

Akibatnya semua hadirin di meja itu perlu mengadakan ujian pengesanan dan kuarantin di rumah sehingga diketahui status jangkitan.

Kesemuanya didapati negatif.

Tetapi kemudian salah seorang wartawan veteran yang berada di situ dikesan positif Covid-19.

Tidaklah diketahui sama ada ia berpunca dari majlis itu atau tempat lain.

Pada masa itu tiada larangan bagi mengadakan majlis.

Tetapi angka jangkitan Covid-19 di Selangor dan Kuala Lumpur sedang meningkat mendadak.

Walaupun tiada larangan, adalah jelas mengadakan majlis berbuka puasa itu adalah suatu yang kurang bijak.

Persoalan juga timbul, dalam kerajaan kesempitan wang, mengapakah mereka tidak melakukan langkah berjimat-cermat dengan tidak mengadakan majlis-majlis seumpama itu?

Semasa hari raya tempoh hari, orang ramai tidak merentas daerah dan negeri kerana ada larangan terhadapnya.

Tetapi sehari sebelum hari raya, jalan ke Pantai Timur dari Lembah Klang sesak.

Polis mengadakan sekatan jalan raya.

Mereka yang mempunyai surat kebenaran polis dibenarkan lalu.

Ramai juga diarah berpatah balik.

Selepas cuti hari raya, jalan dari Pantai Timur ke Kuala Lumpur kembali sesak.

Ia terlihat melalui pemandangan dari udara di Lebuhraya Karak.

Pemandangan itu tular di media sosial dengan para warganet mempersoalkannya.

Mereka mungkin kesemuanya memperoleh surat kebenaran polis.

Tetapi tentulah pihak berkuasa tidak akan dapat memantau atau menguatkuasakan semua perkara.

Akhirnya terpulang pada setiap individu untuk membuat pertimbangan sendiri untuk pulang ke kampung.

Ia bukan soal boleh mendapatkan kebenaran atau tidak, tetapi soal risiko penularan Covid-19 dari Selangor ke Kelantan, dan juga ketika pulang, dari Pantai Timur ke Lembah Klang.

Lebih-lebih lagi kalau semasa di kampung halaman mereka melakukan acara kunjung-mengunjung.

Jadi apakah dalam fikiran orang yang kunjung-mengunjung semasa hari raya walaupun ia mempunyai risiko menjangkiti dan dijangkiti virus Covid-19?

Pada pagi hari raya, tertular satu gambar seorang wakil rakyat meraikan kunjungan tetamu.

Dari segi peraturan, denda yang boleh dikenakan terhadap tuan rumah adalah tinggi daripada tetamu.

Mereka kelihatan gembira berbual dan menikmati juadah.

Apabila warganet mempersoalkannya, wakil rakyat itu menyatakan tetamunya datang ke rumah sempena hari raya.

Bagaimanapun wakil rakyat itu ditunjukkan pergi ke balai polis dan menjelaskan kompaun.

Tentunya dapat difahami bagamana sukar bagi seseorang tuan rumah untuk menolak kunjungan tetamu pada hari raya.

Tetapi tetamu sendiri kena faham untuk tidak berkunjung ke rumah orang.

Dalam keadaan sekarang, dengan varian baru virus yang tidak menunjukkan simptom, tentulah sukar untuk memastikan tetamu itu tidak membawa virus berkenaan.

Semasa bersembang dan makan, risiko bertambah tinggi.

Tanpa pelitup mulut kerana sedang makan, maka virus yang keluar dari hidung dan mulut akan singgah ke seluruh tetamu yang berada di meja makan.

Lebih-lebih lagi selepas makan, mereka bersalaman dan berpelukan.

Akhirnya ia berupa risiko dan sama ada seseorang itu dijangkiti virus itu adalalah ikut nasib.

Kalau nasib baik, mereka terlepas.

Kalau tidak, mereka akan dijangkiti.

Tetapi virus Covid-19 beroperasi mengikut prosedur struktur mereka.

Ia mesti dibawa oleh manusia untuk merebak.

Dari dalam manusia ia membiak dengan membuat replika pada dirinya dalam sel.

Kemudian ia bergerak melalui butiran air dan udara dalam paru-paru yang dihembuskan keluar melalui hidung dan mulut.

Ia berterbangan di udara sebelum hinggap di manusia lain.

Tetapi di udara dan permukaan, ia tidak bertahan lama.

Virus masuk melalui mulut dan hidung.

Kedua-duanya mempunyai saluran laluan untuk sampai ke paru-paru melalui tekak dan tenggorok.

Virus ini tidak bergerak sendiri.

Ia dibawa oleh udara dan cecair untuk sampai di paru paru.

Di situ ia boleh membiak.

Semasa membiak itulah ia merosakkan paru-paru.

Ramai orang mungkin tidak faham tentang sifat virus ini.

Tetapi kalau mereka faham pun, mungkin mereka tidak ambil berat.

Ataupun ada yang mempunyai sikap yang menjadi penghalang bagi usaha membanteras virus ini.

Bagi pihak berkuasa, mereka bukan hanya perlu memahami sifat virus ini.

Lebih penting lagi mereka perlu memahami sifat manusia, dan budayanya.

Budaya orang Melayu mengutamakan ziarah-menziarah masa hari raya.

Solat terawih berjemaah bukan saja merupakan tuntutan agama, tetapi sudah merupakan budaya orang Melayu.

Begitu juga dengan majlis berbuka puasa.

Bagaimana ahli politik meraikan pengikutnya juga merupakan satu budaya.

Dalam masa wabak Covid-19 ini, budaya yang menjejaskan usaha mengekang wabak mesti dihentikan dahulu.

Sekarang ini waktu darurat.

Bukan saja darurat dari segi perundangan, tetapi darurat dalam kehidupan.

Bagi melawan wabak ini, ia menuntut kesedaran dan kerjasama orang ramai.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles