- Iklan -
Kolum

Semua parti sudah merasai kuasa

Keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) mengubah segalanya. Jika dahulunya hanya parti-parti Barisan Nasional (BN) sahaja yang pernah merasai kuasa menjadi kerajaan, hari ini semua parti merasainya. Sebaliknya pun sama, kini semua parti juga perlu mengalami kehidupan sebagai parti pembangkang di Malaysia. Oleh kerana semua parti pernah merasai kedua-duanya, maka sudah pasti tiada parti yang […]

Timmy Say
2 minute read
Kongsi
columnist picture

Timmy Say

Timmy Say menulis untuk pelbagai laman portal di Malaysia untuk berkongsi perspektif dan pengalamannya melibatkan isu semasa. Setelah 15 tahun menceburi bidang IC Design, kini bertukar karier ke bidang agrikultur dan akuakultur.

Keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) mengubah segalanya.

Jika dahulunya hanya parti-parti Barisan Nasional (BN) sahaja yang pernah merasai kuasa menjadi kerajaan, hari ini semua parti merasainya.

Sebaliknya pun sama, kini semua parti juga perlu mengalami kehidupan sebagai parti pembangkang di Malaysia.

Oleh kerana semua parti pernah merasai kedua-duanya, maka sudah pasti tiada parti yang akan memilih menjadi pembangkang secara sukarela.

Pertama, parti yang menjadi sebahagian daripada kerajaan, sama ada di peringkat negeri mahupun persekutuan, sudah tentunya mempunyai kelebihan daripada sudut sumber untuk memasuki PRU15 berbanding parti pembangkang.

Posisi menteri, menteri besar, timbalan menteri, lantikan khas, jawatan di syarikat berkait kerajaan (GLC) semuanya dapat membawa keuntungan politik kepada ahli politik dan parti secara tidak langsung.

Namun begitu, berada di pihak kerajaan juga mempunyai cabarannya tersendiri.

Segala salah silap daripada pihak berkuasa sampailah ke pihak menteri, hatta sepatah kata, akan dikategorikan sebagai kesilapan kerajaan yang memerintah.

Di zaman media sosial ini, segala kesilapan akan diperbesarkan berkali ganda, manakala kebaikan dibawa pihak kerajaan pula dianggap sebagai sekadar menunaikan amanah yang diberi.

Pihak kerajaan juga perlu berdepan dengan teguran dan serangan pembangkang.

Kerja pembangkang biasanya lebih mudah.

Janji dan cadangan boleh bulan dan bintang kerana ia sekadar perlu sedap didengar rakyat untuk membina harapan agar rakyat dapat memberikannya peluang pada pilihan raya umum seterusnya.

Serangannya boleh melulu kerana ia tidak membawa impak ekonomi dan membawa kesan diplomatik.

Meskipun lebih mudah kerjanya menjadi pembangkang, tapi oleh kerana selepas PRU14 apabila semua sudah merasai kuasa, semua parti kini cuba memburu cara untuk mendapatkan kuasa, dan yang sudah mendapat kuasa pula mencari jalan untuk kekal berkuasa atau menjadi pihak paling berkuasa.

Oleh itu, rakyat tidak perlu hairan dengan tindakan-tindakan Umno mahupun PKR mahupun perbualan audio kontroversi yang terdedah.

Sebilangan pimpinan Umno mengidamkan zaman di mana mereka adalah pihak yang paling berkuasa, manakala PKR ingin mendapatkan kuasa semula.

Kebetulan, kedua-duanya berdepan dengan halangan yang sama iaitu Bersatu yang dipimpin Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Hakikatnya, Umno tidak mahu menjadi pembangkang semula.

Disebabkan itu, sebilangan pimpinan Umno ini masih tidak menemui jalan bagaimana parti dapat kekal berkuasa, dan menjadi pihak yang paling berkuasa ketika mereka cuba bermain tarik tali menarik sokongan daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Masalahnya, jika Bersatu tersungkur, belum pasti Umno akan untung.

Mereka juga mungkin tersungkur bersama, dan untungnya kemungkinan besar jatuh ke tangan PKR dan Pakatan Harapan (PH).

Oleh itu, sehingga hari ini Umno masih terus kekal di dalam kerajaan PN meskipun ada sebilangan pimpinan, bahkan yang diberi jawatan GLC, ini terus menyerang kerajaan siang dan malam.

Itulah hebatnya kuasa.

Tiada siapa yang akan sudi melepaskannya dengan sukarela, melainkan ia kehilangannya tanpa kerelaan.