- Iklan -
Kolum

Sepucuk surat dari penjara Myanmar

Satu masalah dengan negara di Asia Tenggara ialah kita kurang mengenal sastera jiran.

Faisal Tehrani
3 minute read
Kongsi
columnist picture

Faisal Tehrani

Mohd Faizal Musa atau Faisal Tehrani adalah seorang sasterawan yang berminat dengan pelbagai perkara, dari kesusasteraan, filem, budaya, sejarah, politik, hak asasi manusia dan kadangkala hal-hal yang dianggap remeh seperti gastronomi dan seksologi. Beliau bertugas sebagai felo di Institut Alam dan Tamadun Melayu (UKM), Felo Pelawat di ISEAS-Yusuf Ishak dan Peyelidik Bersekutu sebuah projek di bawah Weatherhead Center, Universiti Harvard.

Protes besar rakyat Myanmar terhadap campur tangan tentera dalam kerajaan sudah memakan korban demi korban.

Protes itu meletus selepas junta tentera merampas kuasa kerajaan yang dipilih secara demokratik pada 1 Februari lalu.

Salah seorang korban demokrasi ini adalah penyair muda Myanmar yang kurang dikenali di luar, iaitu K Zar Win.

Karya beliau terbit secara konsisten di pelbagai media di majalah sastera sejak tahun 2004.

Satu masalah dengan negara di Asia Tenggara ialah kita kurang mengenal sastera jiran.

Misalnya kita di Malaysia mungkin biasa membaca karya sastera dari Indonesia, tetapi belum tentu mereka di Indonesia mengenali kerja sastera dari Malaysia.

Demikianlah pula jika kita menyebut nama seperti Mussidi, Pudarno Chin atau Muslim Burmat, hanya elitis sastera sahaja mengenali pengarang-pengarang dari Brunei ini.

Lebih-lebih malang lagi ialah meskipun kita ada semacam satu pertubuhan serantau yang dinamai Asean, kita masih tidak berapa mengenal karya dan pengarang dari Filipina, Kemboja, Laos, Vietnam; apatah lagi lah Myanmar.

Satu usaha terpuji yang dilakukan oleh Okky Madasari, pengarang sastera Indonesia, ialah cubaan beliau mempertautkan pengarang sastera Asia Tenggara dengan penganjuran sebuah pesta sastera yang dikenali sebagai Asean Literary Festival.

Buat seketika acara sastera ini terhenti, mungkin ekoran Okky sedang melanjutkan pengajian di peringkat doktorat di National University of Singapore (NUS).

Korban-korban demokrasi di Myanmar ini harumnya darah mereka semakin merebak ke seantero rantau kita.

K Zar Win, penyair Myanmar.

Kini kita mungkin tak akan dapat mengenali kerja K Zar Win. Beliau sudah tiada. Mendiang ditembak mati dalam protes rakyat pada 3 Mac 2021 yang lalu.

K Zar Win dilahirkan dalam keluarga tani di Latpadaung berdekatan Monywa pada tahun 1982.

Latpadaung adalah sebuah daerah yang panas oleh sebab beberapa kampung dilanggar dan penghuninya diusir ekoran ketibaan syarikat perlombongan dari China, Wanbao Copper Mining Ltd of China.

Pihak tentera dan polis saban hari mengganggu dan mengacum penduduk kampung di Latpadaung yang sejak tahun 2010 bersungguh-sungguh menentang kuasa kapitalis China ini.

Makanya kita tahu darah melawan memang mengalir dalam pembuluh darah K Zar Win.

Pada tahun 2015, ketika menuntut di universiti, K Zar Win adalah antara siswa yang berarak dari Mandalay ke Yangon dalam satu keingkaran sivil dengan nama kempen “Perarakan Panjang Untuk Reformasi Pendidikan.”

Penyair muda ini tertangkap dan dipenjarakan selama setahun sebulan, yang mana ketika itu beliau mengarang himpunan puisi (jika diterjemah ke bahasa Melayu) bunyinya “Jawapan Balas Kepada Raymond”.

Ada sebuah puisi K Zar Win yang pernah saya baca judulnya “Sepucuk Surat Dari Sel Tahanan”, dan diterjemahkan oleh kawan lama saya, penyair Myanmar bernama Ko Ko Thett ke bahasa Inggeris.

Untuk mengenang dan menghargai darah K Zar Win yang tumpah melawan perompakan dan pengkhianatan demokrasi di Myanmar, saya dengan rendah diri cuba menerjemahkan puisi ini.

Moga-moga roh K Zar Win akan memandang kita semua dari atas sana dengan ratib demokrasi, supaya dikalahkan semua pengkhianat di peti undi, dan jika perlu – di jalanan.

Moga-moga ini jadi pembukaan untuk kita di Asia Tenggara saling menyokong satu sama lain, khususnya dalam lapangan seni sastera dan budaya lain. Pembukaan untuk melawan musuh dan penguasa.

“Sepucuk Surat Dari Sel Tahanan”

Oleh K Zar Win

Terjemahan Faisal Tehrani

Abah,
Sungai itu, yang rahimnya
dibelah buka
telah mengisytiharkan perang
terhadap rumah kecil kita di tebing, bukan begitu?
Tentu di laman rumah
kau tercari-cari seseorang
yang dapat menghulur tangan membantukan
tiang daik
meluruskan sungai
mengisikan ruang kosongnya dengan
timbunan pasir.
Pada air keruh pekat
yang meninggi sehujung puncak buluh,
tentu kau sedang merenung
tanaman bijan
sedang berat mengandungi bijian
menanti dituai.
Kau tentu memikirkan
segenggam penuh nasi dalam mulutmu
yang dijolok keluar.
Barangkali kau menemukan ketenangan
mazkur dalam agama, menaakul
lima musuh.
Barangkali juga kau
memikirkan betapa sia-sianya
kerja berat yang dapat dipenuhi seorang anak lelaki.
Pertama anak lelaki, dua anak perempuan dan seorang lagi lelaki;
yang sulung penyair dalam penjara,
perempuan pertama, guru sekolah,
perempuan kedua, graduan dapur,
yang bongsu, masih belajar.

Anak penyairmu,
adakah dia sudah bergaji
seperti sabit menerangkan rumpai?
Maafkan anakmu, Abah
Tiada apa!
“Anakku, Pho Chan,
mengapa abah mendengar keriuhan di belakangmu?”,
soalmu di gagang telefon.
“Saya di hentian bas
bersiap mengirimkan puisi ke majalah.” Aku berbohong.
Ini daripada anak lelakimu yang berbohong dari kandang pesalah
kepada penjahat yang memanisi
dengan hujung lidah,
“Kepada petani kami yang budiman…”,
kerana mereka mahu menikammu dari belakang,
benci mereka semua Bah.
Benci mereka semua.
Seorang pencuri
tidak bersenjata
Penjahat itu senjatanya kuku
sehingga ke gigi
seandainya pencuri tidak dapat diurusi
seandainya penjahat tidak dapat dilurusi
untuk apa kita berkerajaan?
Apa yang sudah terjadi kepada hutan kita
Apa yang sudah terjadi kepada gunung ganang
Apakah yang sudah terjadi kepada kali dan sungai
mereka tidak peduli.
Mereka mencintai negeri ini
seperti mereka gemar menyagat kelapa
dalam ke luar
untuk santannya.
Tembok demi tembok untuk meninggikan takhta
mereka malah meletak muncung senapang
tepat di urna
pada dahi Buddha.
Darjat mereka adalah pada kejahilan
untuk menyeranah darjat itu
jika agamamu menghalang
maka biar aku meninggalkan agamamu itu.
Aku akan menjadikan udara biru
bagi pihakmu
Barangkali tidak kau tahu
anak lelakimu terdakwa
lantaran menuntut polis
agar berhenti mengasari warga biasa.
Satu hari nanti Bah,
anakmu, yang bukan pencuri
dan bukan penjahat ini,
akan bergaji
cukup lumayan persis sabit tajammu menerang rumpai.
Untuk saat ini, Abah
teruskan merenung tanamanmu
nan kau bajak dengan bahumu yang terdedah.
Teruskan menyanyi
lagu rasmi
masyarakat tani.

K Zar Win
Sel 1, Seksyen 10
Penjara Thayawaddy