Friday, September 17, 2021

Mengejek tahun 2020

Kalau dibilang dan terhitung menonton dokumentari itu menggelikan hati dan penuh gamat gelak ketawa, tentu orang tidak percaya.

Other News

Kalau dibilang dan terhitung menonton dokumentari itu menggelikan hati dan penuh gamat gelak ketawa, tentu orang tidak percaya.

Ini kerana dokumentari seharusnya menjadikan penontonnya bijaksana, terpelajar atau bermaklumat setelah menontonnya.

Pun, “Death to 2020” sebuah dokumentari yang tidak serupa dokumentari atau boleh sahaja dinamakan mokumentari (asal dari kata mock iaitu sejenis kacukan ejekan, dengan genre filem dokumentari) mendorong kita yang menontonnya tertawa dalam pedih, semacam menggelakkan diri sendiri.

Mokumentari atau juga kadang disebut dokukomedi adalah sejenis fiksyen yang menggunakan kerangka dokumentari tetapi dalam masa yang sama mengejek-ejekkan episod atau kejadian yang benar.

Seperti judulnya, Death to 2020 cuba menyorot kejadian atau peristiwa besar yang berlaku pada tahun lalu, tahun 2020 yang baru seminggu kita tinggalkan.

Ia memberi perhatian kepada apa yang berlaku di United Kingdom dan Amerika Syarikat, dan kerana ia adalah sebuah mock, ia mempersendakan insiden benar yang berlaku.

Maka kita melihat bagaimana Ratu Elizabeth naik angin lantaran cucunya Putera Harry dan isteri, Meghan menyatakan hasrat untuk menanggalkan tugas rasmi sebagai kerabat diraja.

Ia juga menampilkan kebakaran besar di Australia yang meninggalkan jerubu pekat di sebahagian besar kota pulau benua selatan itu.

Titik tolak dari itu sedutan pidato Greta Thunberg tentang alam sekitar di World Economic Forum, sehinggalah kejutan di Anugerah Oscar 2020, apabila filem Korea Parasite mengungguli anugerah tersebut.

Namun antara insiden paling besar yang disorot oleh Death to 2020 ialah bagaimana Donald Trump terselamat dari pemecatan sebagai presiden (impeachment), pertarungan sengit dua orang tua (Bernie Sanders dan Joe Biden) untuk menjadi calon presiden parti Demokrat; dan tentu sahaja – peristiwa terbesar ialah krisis kesihatan iaitu pandemik Covid-19.

Audien dibawa semula ke bulan-bulan awal tahun 2020 di mana kita mengenang kembali musim kita dikurung dan dipaksa memenggap di rumah.

Death to 2020

Untuk mentertawakan semua peristiwa bersejarah itulah maka dihadirkan “fiksi” dan unsur “ejekan” atau mocking yang mana diwujudkan beberapa watak untuk diwawancara dengan soal jawab yang melucukan, dan kadang kala terlalu kasar guraunya.

Untuk itu mokumentari ini menampilkan bintang handalan dan juga wajah ikonik dari dunia lakon Barat iaitu misalnya, Samuel L. Jackson selaku Dash Bracket, wartawan New Yorkerly News.

Juga menggelikan hati ialah Hugh Grant sebagai Tennyson Foss, seorang sejarawan bermulut celupar.

Selain itu kita juga didatangkan dengan Lisa Kudrow sebagai Jeanetta Grace Susan, jurucakap tidak rasmi golongan konservatif di Amerika Syarikat.

Yang ikut memberikan “lakonan” atau jenaka yang sukar dilupakan tentulah Kumail Nanjiani sebagai Bark Multiverse, CEO Shreekr, sebuah syarikat teknologi; dan Tracey Ullman yang tampak meyakinkan sebagai Ratu Elizabeth II.

Selain ‘tokoh-tokoh’ ciptaan mokumentari ini, tiga watak yang membuatkan tawa kita tidak kebah dan beranakan ialah penampilan Cristin Milioti sebagai Kathy Flowers, yang diketengahkan sebagai Karen (nama biasa di Amerika, semacam Mak Cik Kiah di Malaysia); Diane Morgan sebagai Gemma Nerrick, “orang biasa” dan Samson Kayo selaku Pyrex Flask, seorang saintis dengan telo Inggeris benua Afrika yang pekat.

Pada bahagian ala dokumentari, suara Laurence Fishburne terapung sebagai pencerita.

Semua “pelakon” yang tampil dalam mokumentari ini bersahaja dan memang penuh komik.

Persembahan mereka mengesankan dan mendorong tawa yang panjang. Khususnya jika kita memang mengikuti iklim dan senario politik-budaya di Amerika dan UK.

Mokumentari Death to 2020 ini juga berani menyorot insiden pembunuhan George Floyd yang meletuskan rusuhan besar di Amerika Syarikat.

Meskipun hadir dengan jenaka, siri kejadian selepas pembunuhan Floyd itu menggerakkan komedi hitam di mana kita serasa mentertawakan “kejahatan manusia” sendiri.

Sebagai sub genre dokumentari, mokumentari arahan Charlie Brooker dan Annabel Jones ini dapat dianggap cemerlang dari segi lakonannya.

Namun demikian watak-watak ciptaan ini tidak punya satu ayat atau dialog yang benar-benar diingati.

Ini adalah petanda “skrip” mokumentari ini tidak cukup bernyawa. Ada kemungkinan ia dibuat tergesa-gesa agar dapat mengejar masa, yang dalam masa sama ia berhasrat untuk memuatkan semua.

Mokumentari adalah satu cabang dokumentari yang menggiurkan jika berani dicuba.

Cabang lain tentu sahaja pseudo-dokumentari yang merupakan kebalikan daripada mokumentari di mana ia tampil penuh drama.

Terdapat juga sub genre doku-drama, di mana ia hadir sebagai fiksyen dengan elemen doku untuk menonjolkan insiden sebenar.

Doku-drama ini biasa kita tonton di saluran History. Ini lain lagi dengan dengan “docufiction” di mana ruang cerita dokumentari sengaja dibiarkan dikuasai oleh unsur fiksyen.

Di Barat, mokumentari mulai diperkenalkan dalam tahun 1960-an dan sekali sekala muncul sepanjang tahun 1980-an.

Seringnya mokumentari ini tidak diskripkan, dan mereka yang muncul adalah pelawak bijak yang boleh secara spontan menggunakan semua bahan sedia ada untuk dipermainkan.

Makanya, rasa geram masyarakat mereka dapat diluahkan dengan seni matang.

Di Malaysia, kita boleh melupakan sama sekali genre mokumentari ini.

Pihak berkuasa kita tidak mahir seni, kontang budaya, jahil estetika dan terasing dari kritikan canggih.

Misalnya mokumentari di negara ini boleh sahaja memparodikan pelbagai kejadian politik di mana Langkah Sheraton menjadi sebab kepada pelantikan sejumlah menteri kartun dan bodoh; sehinggalah kepada pembangkang yang bangang dan pak turut satu orang.

Di sela itu, jika nekad misalnya mokumentari boleh memperlihatkan cara migran dilayan, bagaimana Rohingya diusir ke laut, kesemberonoan ekoran Pilihan Raya Negeri Sabah dan aneka macam lagi insiden yang mendefinisikan hari-hari “absurd” 2020.

Untuk mokumentari seperti Death to 2020 boleh diarah dan dibikin, kematangan tertentu dalam masyarakat adalah pra-syarat utama.

Misalnya masyarakat British bersedia untuk mentertawakan Ratu England, dan juga mempersendakan Perdana Menteri Boris Johnson yang dimasukkan dalam badan seorang lelaki kulit hitam (bukti dia tidak rasis).

Bayangkan ada mokumentari yang mengetengahkan watak Rosmah Mansor lakonan Azizah Mahzan, atau Sabri Yunus sebagai Adham Baba, Harith Iskandar sebagai Hadi Awang dan Ellie Suriati selaku Zuraida.

Adakah Malaysia bersedia? Saya tidak fikir ada kematangan seperti itu.

Death to 2020 ditayangkan di Netflix dan agak menggamamkan ialah antara produk Netflix yang tinggi tontonannya di negara ini.

Mungkin sambil menonton itu penonton Netflix di negara kita mengkhayalkan insiden babi dan anjing sepanjang 2020 diangkat semula dalam bentuk mokumentari.

Sayang mokumentari tidak akan terjadi, parodi dan satira dimusuhi.

Akibatnya orang kita terpaksa menahan dan menyimpan geram bernanah menjadi kesakitan yang parah.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles