- Iklan -
Kolum

Hassan Karim dalam konteks perjuangan panjang

Dalam hidupnya, Hassan bertanding dalam banyak pilihan raya tetapi tidak pernah menang kecuali bersama PKR pada 2018.

Pak Zin
4 minute read
Kongsi
columnist picture

Pak Zin

Zin Mahmud mempunyai pengalaman lebih tiga dekad sebagai seorang wartawan kanan. Beliau merupakan bekas editor Mingguan Malaysia, ketua editor Utusan Karya, editor kumpulan Harakah, editor Harian Watan, dan penerbit majalah Dunia Islam. Buku beliau – Ideologi, Sebuah Memoir – menceritakan pelbagai dilema yang dihadapinya dalam era penuh peristiwa dan pertembungan ideologi.

Salah seorang daripada 13 ahli Parlimen yang berdiri membantah Belanjawan 2021 pada hari pertama ialah Hassan Karim mewakili kawasan Pasir Gudang. Beliau adalah wakil Pakatan Harapan (PH) daripada PKR.

Hassan  adalah satu-satunya ahli Parlimen PKR yang bangun. Ahli-ahli Parlimen PH lain yang bangun ketika itu ialah daripada Amanah dan DAP. Daripada bukan ahli PH ialah Pejuang dan Parti Sarawak Bersatu.

Ini bermakna Hassan melanggar arahan ketuanya, Anwar Ibrahim.

Tetapi katanya beliau melakukan perkara itu kerana mengikut “conscience” atau hati nuraninya.

Tidaklah diketahui bahawa beliau dikenakan sebarang teguran daripada pihak parti.

Tetapi melihat kegiatannya sekarang, Hassan lebih menumpukan usaha menyantuni pengundi-pengundinya di Pasir Gudang dalam pelbagai acara bagi persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Tentulah beliau mahu mempertahankan kerusi itu pada masa akan datang.

Dalam hidupnya, Hassan bertanding dalam banyak pilihan raya melalui tiket Parti Sosialis Rakyat Malaysia (PSRM) yang kemudian bertukar menjadi Parti Rakyat Malaysia (PRM) tetapi tidak pernah menang.

Beliau menang hanya pada tahun 2018 melalui PKR dan PH.

Daripada PSRM kepada PRM bukan sekadar pertukaran nama walaupun asalnya parti itu berdaftar sebagai Parti Rakyat Malaya.

Ia adalah pengguguran perkataan sosialis dari nama dan program parti itu.

Sebab selepas kejatuhan Soviet Union, fahaman sosialisme begitu tidak popular.

Nasir Hashim membantah pengguguran itu dan keluar parti untuk menubuhkan Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang pernah memenangi kawasan dalam pilihan raya umum tahun 2008 melalui tiket PKR.

Dalam PKR, Hassan seperti bekas pemimpin PRM yang lain iaitu Syed Husin Ali dan Syed Hamid Ali adalah sekutu Anwar apabila berlaku perpecahan dalaman parti ekoran cabaran dari Mohamed Azmin Ali.

Penulis mula menyedari tentang Hassan apabila terbaca namanya dalam risalah yang disebarkan semasa demonstrasi pelajar pada tahun 1974 di Padang Kelab Selangor.

Beliau tidaklah terkenal seperti Hishamudin Rais yang menjadi ketua Kelab Sosialis Universiti Malaya.

Selepas tamat pengajiannya, Hassan menjadi peguam dan terus aktif dalam politik PSRM yang ketika itu diketuai oleh Kassim Ahmad.

Suatu tindakan yang semula jadi kerana hanya PSRM merupakan parti sosialis.

Beliau aktif di Johor yang diketuai oleh Abdul Razak Ahmad.

Pertama kali penulis bertemu beliau adalah pada tahun 1982 ketika menjadi pemberita Utusan Melayu.

Ada masanya penulis bekerja pada hari Ahad pagi yang tugasnya antara lain adalah menyusun jadual berita termasuk kenyataan-kenyataan akhbar.

Selalunya, Ahad adalah hari kering dan tidak cukup berita untuk disiarkan dalam akhbar bagi keluaran hari Isnin.

Hassan adalah antara ahli politik yang rajin datang ke pejabat Utusan Melayu untuk menyerahkan kenyataan akhbar partinya.

Beliau menjinjing beg hitam peguamnya. Ada masa bila kenyataan itu sesuai, Utusan Melayu turut menyiarkan.

Seorang lagi ahli politik yang lebih rajin datang ke pejabat Utusan pada hari Ahad ialah ahli parlimen Kuala Lumpur Bandar daripada DAP, Lee Lam Thye.

Kenyataan akhbar beliau berkisar tentang masalah tempatan dan tidak berunsur politik.

Utusan Melayu juga sering menyiarkan kenyataan beliau.

Pada satu hari, Hassan datang dan memberikan buku tipisnya, “Bersama Rakyat” yang mengisahkan mengenai perjuangan pelajar ketika demonstrasi tahun 1974 dengan beliau menandatanganinya.

Buku itu nasih berada dalam simpanan penulis. Utusan Melayu juga pernah menyiarkan ulasan buku itu.

PRM kemudian bergabung dengan Parti Keadilan Nasional untuk menjadi Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Penggabungan menimbulkan perasaan bercampur baur dalam kalangan pendokong sosialisme yang sememangnya amat segelintir di negara ini.

Pada satu segi ia menghilangkan satu parti yang amat bersejarah, diasaskan oleh pejuang nasionalis kiri, Ahmad Boestamam.

Tetapi dari segi lain pula, ia merupakan langkah terbaik bagi kedua-dua parti.

PKR memperoleh pemimpin-pemimpin yang berpengalaman dan berprinsip seperti Syed Husin, Rustam A Sani, Razak Ahmad dan Hassan sendiri.

Kalau terus bersendirian, PRM pun tidak ke mana kerana tidak pernah menang di kawasan yang ditandingi.

Lagipun di mana-mana pun di dunia, parti kiri yang kecil akan bergabung dengan parti demokratik yang progresif.

Walaupun parti besar itu berfahaman demokrasi liberal tetapi ia sedar perlu kerjasama antara aliran progresif untuk menghadapi golongan konservatif.

Seperti Parti Demokrat menampung senator kiri seperti Bernie Sanders untuk menghadapi Parti Republikan.

Pihak PRM menegaskan bahawa PKR adalah gabungan dua parti dan bukannya Keadilan menelan parti itu.

Sebab itu ada dua jalur merah pada lambang PKR.

Syed Husin menjadi timbalan presiden PKR. Kini apabila menyebut nama beliau, dinyatakan sekali sebagai pengasas bersama PKR untuk menunjukkan kepentingan PRM dalam parti.

Tetapi ada dalam kalangan PKR yang tidak senang dengan kehadiran orang PRM ini.

Akhirnya Syed Husin sendiri sudah tidak menjadi timbalan presiden.

Rustam A Sani dan Razak Ahmad pula meninggal dunia yang mengurangkan kehadiran pemimpin PRM dalam PKR.

Apabila dirasakan terpinggir, Hassan dan sebahagian dari bekas ahli PRM keluar PKR.

Mereka menghidupkan semula PRM apabila didapati bahawa terdapat jalan undang-undang untuk itu.

Maka PRM dapat dihidupkan semula walaupun pada awalnya ia sudah bergabung menjadi PKR.

Tetapi di luar, PRM tidak boleh berbuat apa-apa juga. Penulis tidak dapat maklumat apa yang telah berlaku tetapi Hassan kembali pada PKR. Kepimpinan PRM pula diteruskan oleh Rohana Ariffin.

Tidak lama kemudian PRM diambil alih oleh aktivis-aktivis lain.

Antaranya daripada bekas ahli politik DAP.

Rohana dan beberapa ahli asal turut meninggalkan parti itu.

PRM bertanding secara bersendirian dan kalah semua. Ketika itu, persaingan adalah antara PH dengan Barisan Nasional (BN). PSM pun kalah di semua kawasan yang ditandingi.

Tradisi kiri di negara ini melalui sejarah panjang yang walaupun tidak diterima masyarakat, ia tetap mempunyai pendokong tegar yang berprinsip untuk memperjuangkan keadilan dan kesaksamaan manusia.

Ahmad Boestamam adalah generasi awal, diganti dengan lapisan Kassim Ahmad dan Syed Husin.

Ia diikuti dengan Hassan dan Nasir Hashim.

Gerakan kiri ada pasang surutnya. tetapi dengan melihat kapitalisme global yang tidak memberikan keadilan dan kesaksamaan, dengan adanya internet, minat anak-anak muda iaitu milenial terhadap sosialisme meningkat semula di seluruh dunia.

Sosialisme abad ke-21 jauh berbeza daripada apa yang telah dilakukan oleh generasi abad ke-20.

Kesilapan yang dilakukan pada abad ke-20 menjadi pengajaran yang tidak mahu diulangi.

Sepanjang dekad ini, hal ini banyak dibincangkan oleh golongan kiri yang masih tegar memegang prinsip mereka.

Ada yang bersikap nostalgia pada masa lampau. tetapi bagi generasi baru golongan kiri mereka mahu sejarah menjadi pengajaran bagi meneroka masa depan yang lebih baik.

Maka anak-anak muda kiri Malaysia atas usaha mereka sendiri mencari idealisme baharu tanpa dipengaruhi oleh generasi terdahulu.

Perjuangan kiri bukan bermula dari abad ke-19 sebagai reaksi pada Revolusi iundustri.

Ia adalah sebahagian daripada tamadun manusia yang mana golongan hamba dan tertindas akan bangkit menuntut hak saksama sebagai manusia bermaruah.