- Iklan -
Kolum

Ketidakstabilan negara adalah suatu kitaran semula jadi

Hukum semula jadi alam sememangnya begitu.

Pak Zin
4 minute read
Kongsi
columnist picture

Pak Zin

Zin Mahmud mempunyai pengalaman lebih tiga dekad sebagai seorang wartawan kanan. Beliau merupakan bekas editor Mingguan Malaysia, ketua editor Utusan Karya, editor kumpulan Harakah, editor Harian Watan, dan penerbit majalah Dunia Islam. Buku beliau – Ideologi, Sebuah Memoir – menceritakan pelbagai dilema yang dihadapinya dalam era penuh peristiwa dan pertembungan ideologi.

Rakyat Malaysia tentu sedang tidak berasa selesa dengan keadaan negara.

Tahun 2020 berlalu dengan penuh cabaran, kebosanan, kekecewaan dan keluhan.

Bukan saja kerana Covid-19 dan kesan buruk ekonomi akibat daripadanya, tetapi juga keadaan politik yang memuakkan.

Maka dibuat perbandingan antara Malaysia dengan negara-negara jiran yang lebih berkeyakinan mengharungi keadaan ini; Vietnam, Thailand, Indonesia dan Singapura.

Sedangkan negara ini yang pernah diungkapkan sebagai Harimau Asia kelihatan akan kalah dengan Vietnam dan Indonesia.

Tidakkah ini mengecewakan rakyat negara ini?

Ditambah pula kisah-kisah bekas warga negara Malaysia, tentunya bukan Melayu yang berhijrah ke Amerika Syarikat dan Australia tetapi menempa kejayaan di sana.

Ada yang berjaya menjadi datuk bandar di California, jadi jurubedah dan polis cemerlang di Australia untuk menunjukkan bahawa tiada peluang bagi mereka di Malaysia kerana berleluasanya amalan diskriminasi, korupsi dan birokrasi.

Tahun inilah yang dikatakan buat pertama kali dalam sejarah, Malaysia ditadbir oleh kerajaan Melayu-Islam yang diperoleh secara tanpa menghormati mandat rakyat.

Majoriti rakyat menolak Barisan Nasional (BN) dan PAS tetapi mereka pula menjadi sebahagian daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Sebelum ini, dari sejak merdeka, tiada kerajaan yang disebut sebagai kerajaan Melayu-Islam.

Kerajaan Perikatan adalah berbilang kaum dengan penyertaan MCA dan MIC.

Begitu juga dengan BN. Apatah lagi dengan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Tetapi kerajaan PN memberi jawatan menteri pada wakil MCA da MIC dalam konteks mereka tidak mendapat sokongan orang Cina dan India.

Sementara PN dianggotai oleh Bersatu dan PAS yang mana di Perak, kerajaan negeri diketuai Umno tidak mempunyai ahli exco bukan Melayu sedangkan sebilangan besar penduduk negeri itu adalah orang Cina.

Tanpa penyertaan rakyat berbilang kaum, pastinya berlaku ketidakseimbangan pada negara.

Ia menyumbang pada ketidakstabilan politik dan ekonomi Malaysia yang menyebabkan negara ini akan ketinggalan berbanding dengan jiran-jirannya.

Namun begitu, apa yang berlaku di negara ini adalah suatu kitaran semula jadi yang dapat dilihat daripada sejarah di merata-rata tempat di seluruh dunia.

Negara-negara menghadapi pasang surutnya berulang kali.

Malah wabak virus ini pun ada kitarannya.

Daripada wabak selesema Sepanyol yang berlaku pada tahun 1930-an, maka tahun ini adalah kitaran bagi Covid-19.

Mungkin kitarannya berupa 70 tahun. Banyak fenomena alam juga mempunyai kitaran seperti cuaca dan iklim.

Begitu juga dengan gelagat manusia secara keseluruhan hinggakan orang perseorangan seperti lumpuh tidak dapat berbuat apa-apa.

Pada masa itu pula pemimpin yang ada tidak boleh diharap.

Selepas Perang Dunia Pertama, Asia Tenggara dalam keadaan tenang dan makmur di bawah kuasa kolonial.

Vietnam di bawah Perancis, Malaysia dan Singapura di bawah British serta Indonesia diperintah Belanda.

Walaupun Thailand tidak dijajah, ia perlu akur dengan kehendak Perancis dan British. Kuasa-kuasa Barat ini kelihatannya mahu menjajah selama-lamanya.

Walaupun Jepun agresif menjadi maju dan menakluk Korea dan China tetapi Perancis, British dan Belanda tidak fikir bahawa mereka akan dikalahkan.

Tanpa disangka mereka, suasana aman di Asia Tenggara berkecai dengan serangan Jepun yang menakluk Vietnam, Malaysia, Singapura dan Indonesia.

Thailand yang terus bebas terpaksa akur dengan semua kehendak Jepun.

Selepas perang, Perancis mahu kembali ke Vietnam tetapi mereka ditentang oleh rakyat negara itu yang mahu kemerdekaan.

Perang berlaku dan Perancis kalah.

Amerika Syarikat (AS) masuk dan juga kalah.

Dari tahun 1950 hingga 1970, baru aman dan sekarang Vietnam bangkit hendak merasa kemakmuran.

Belanda juga mahu kembali menjajah Indonesia tetapi dikalahkan oleh rakyat negara itu.

Pada sekitar 1950-an Indonesia aman tetapi sukar untuk membangun kerana negara itu memilih untuk bersekutu dengan Soviet Union.

Ia bergolak kembali pada tahun 1965, menjadi aman dan makmur apabila bersekutu dengan AS.

Pada tahun 1998, ia bergolak kembali. Baru sekarang Indonesia mula kelihatan stabil dan maju. Itulah kitaran bagi negara itu.

Thailand pula mempunyai kitaran ketidakstabilan yang tersendiri.

Banyak masa ia berada di bawah pemerintahan tentera. Bersilih ganti dengan demonstrasi pelajar dan demokrasi. Ada masa tenang, ada masa bergolak dan kemakmurannya juga bersilih ganti.

Berbanding dengan Malaysia dan Singapura.

British berjaya kembali bertapak selepas Jepun berundur, Malaya menghadapi darurat tetapi tidak lama, dari tahun 1948 hingga 1960.

Negara ini aman dan dapat mengecap kemakmuran dengan bersekutu pada British dan AS.

Pergolakan berlaku pada tahun 1965 apabila ada krisis dengan Singapura dan sekali lagi ketika Peristiwa 13 Mei 1969.

Selepas itu Malaysia menjadi maju dan makmur berbanding dengan jiran-jirannya.

Singapura juga memperoleh manfaat daripada kemajuan ini.

Maka kalau kini Malaysia mengalami ketidakstabilan dengan giliran Vietnam dan Indonesia mengecapi kemakmuran, maka itu adalah fenomena semula jadi kitaran alam.

Tentunya terdapat banyak faktor yang menjadikan keadaan demikian.

Daripada soal kemampuan pemimpin dan ahli politik masing-masing hinggalah mentaliti rakyat biasa.

Ia bercampur aduk hinggakan melahirkan sesuatu situasi.

Orang perseorangan tidak dapat berbuat lebih bermakna daripada kemampuan individu.

Tetapi kalau dilihat apa yang berlaku sekarang, dapat ditanggapi ia berpunca daripada pembinaan bangsa dan negara yang tidak sepenuhnya berjaya dari segi perpaduan kaum dan integrasi nasional.

Berkait pula dengan soal integriti dalam masyarakat hinggakan korupsi begitu berleluasa.

Ia juga berkait dengan amalan demokrasi di mana Umno begitu lama berkuasa, berpecah banyak kali.

Akhirnya kalah tetapi tidak dapat menerimanya. Maka perubahan ini menimbulkan ketidakstabilan di mana negara sedang mencari jalan baru.

Keadaan ini tidak akan berkekalan. Habis gelap timbul terang. Tetapi untuk sampai ke terang, keadaan akan menjadi bertambah buruk dahulu.

Peranan rakyat adalah jangan membuat keadaan lebih buruk lagi.

Umpamanya dalam keadaan sekarang. Keutamaannya adalah melawan Covid-19.

Peranan rakyat amat penting bagi pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

Tetapi untuk perkara ini pun sukar dilakukan.

Sebaliknya rakyat berbalah mengenai peraturan kerajaan dan mempersoalkan vaksin, termasuk yang berhujah atas alasan agama.

Keutamaan kedua ialah mengenai tumpuan terhadap ekonomi.

Perkara ini lagi sukar untuk dihadapi dengan tiada usaha berfokus daripada pihak yang memiliki kuasa. Lebih-lebih lagi dalam keadaan politik tidak stabil.

Akhirnya, dalam menghadapi keadaan ini, sewajarnya politik ditenangkan daripada kedua-dua belah pihak kerajaan dan pembangkang.

Tetapi itu tidak berlaku. Suhu politik terus dipanaskan oleh kedua-dua pihak. Bukan itu saja, dalam kalangan parti-parti kerajaan, mereka berbalah.

Sementara di pihak pembangkang, perbalahan juga berlaku. Kesemuanya mengurangkan tumpuan pada masalah utama negara.

Maka dalam keadaan ini dapat diperhatikan bahawa negara akan bergerak ke satu tahap yang lebih buruk hingga pada satu masa kitaran akan berputar semula untuk Malaysia bangkit semula.

Hukum semula jadi alam sememangnya begitu.

Setiap orang perseorangan boleh menyumbang untuk kebaikan tetapi pada keseluruhannya mereka tidak dapat berbuat apa-apa, hanya perlu bersabar dan menanti kitaran kembali memihak pada mereka.