Tuesday, November 24, 2020

Skandal kurun ini: Marquez

Pojok Marquez adalah nyawa kepada seluruh karyanya, benih tersemi untuk segala seni yang ditanaminya.

Other News

Bekas menteri bidas pengeluar sarung tangan Top Glove selepas lebih 1,000 pekerja dijangkiti Covid-19

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengatakan syarikat itu perlu dikenakan ‘cukai durian runtuh’ kerana keuntungan luar biasa mereka.

Ex-minister slams Top Glove after over 1,000 workers down with Covid-19

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman says a 'windfall tax' should be imposed on Top Glove due to its unusual profits.

1,884 kes baru Covid-19, Selangor tertinggi

Sebanyak 883 pesakit pulih.

Record 1,884 new cases, 1,203 in Selangor

Two more deaths take toll to 337.

EC planning for possible election during post Covid-19 period

Law minister Takiyuddin Hassan says the EC has drafted a set of guidelines for the event of an election during this time.

Saya pernah ditanyai, selepas meninggal dunia nanti; karya mana yang akan menjadi monumen untuk mengenang saya.

Adakah misalnya 1515, Tuhan Manusia, Profesor, drama pentas Misi, atau karya haram saya Perempuan Nan Bercinta yang akan sebenar mewakili saya?

Soalan itu menyentakkan dan mengambil masa agak lama untuk difikirkan.

Saya fikir yang akan mewakili diri kelak ialah tulisan pojok – kolum saya – yakni seperti yang sedang saudara baca sekarang ini.

Tahun lalu, apabila rencana atau pojok Gabriel Jose Garcia Marquez, penerima Hadiah Nobel tahun 1982 akhirnya berhasil diterjemahkan ke bahasa Inggeris dan diterbitkan sebagai koleksi tulisan “The Scandal of the Century and Other Writings” (2019), saya fikir jawapan saya di atas adalah yang paling mutlak (buat masa ini).

Marquez, yang sangat terkenal dengan novel “One Hundred Years of Solitude” pernah memberitahu pembaca; ‘Saya tidak mahu dikenang kerana One Hundred Years of Solitude, apatah lagi kerana Hadiah Nobel, tetapi lebih baik dikenang kerana tulisan saya di surat khabar. Saya dilahirkan seorang jurnalis…ia mengalir dalam darah saya.’

Membaca 50 tulisan pojok Marquez termuat dalam “The Scandal of the Century and Other Writings” meletakkan saya dalam renungan dan muhasabah kesusasteraan yang dalam.

Marquez menulis dengan ringkas, tidak lebih seribu patah perkataan kadang, meski acap kali juga terlajak ke tiga ribu patah perkataan dalam akhbar-akhbar El Heraldo (1950), El Spectador dan Cronica (1954), Elite (1957), Momento (1958) dan Revista de Casa de las Americas (1977) menganjur di beberapa buah negara Amerika Latin.

Tulisan Marquez meliputi pelbagai isu, daripada hal lokal seperti orang terjatuh bangunan tetapi masih berpeluang hidup sehinggalah isu antarabangsa seperti Nato dan perang Vietnam.

Akan tetapi, satu yang menyebabkan Marquez barangkali berasa puas ialah dia mengarangnya dengan cara yang sungguh sasterawi.

Semacam berita dan sensasi gosip mingguan yang disasterakan.

Diketik mesin taip Marquez, semua gosip politik yang disentuh menjadi berita politik yang menggelikan hati khalayak. Setiap minggu, atau bulan, tulisan pojoknya akan merubah pendekatan dan bentuk; tetapi masih hantarannya sasterawi; kadang seperti membaca cerpen atau novelnya yang tepu realisme magis.

Membaca 50 tulisan pojok Marquez termuat dalam “The Scandal of the Century and Other Writings” meletakkan saya dalam renungan dan muhasabah kesusasteraan yang dalam.

Ia menenggelamkan audiens dalam mimpi Carribean.

Hal-hal yang sederhana seperti ikan yang turun dari langit (dibawa badai) atau surat berlonggok yang tidak tiba ke alamatnya akan dipakejkan semula menjadi suatu suguhan seni menakjubkan.

Misalnya dalam rencana kecil “The Presidential Barber”, Marquez tidak begitu tertarik dengan gagasan Presiden Colombia, Mariano Ospina Perez (memerintah antara 1946-1950), apatah lagi berhasrat melaporkan acara ranting remeh yang dirasmikannya.

Presiden itu dilaporkan merasmikan sejumlah telefon awam di Barranquilla.

Foto-foto Presiden Ospina Perez kelihatan tegas, tidak punya riak wajah di hadapan 20 set telefon kaku.

Marquez bagaimanapun dengan penuh usik humor tidak berasa terpanggil membincangkan acara tersebut.

Dia melayang di sebalik khayalan liarnya, membayangkan muka persih rapi presiden itu tentunya diandam oleh seorang tukang gunting yang cekap.

Begitu nakal dia membayangkan tukang gunting cekap itu diberi izin mencukur pipi dan bauk presiden.

Satu-satunya orang yang dibenarkan memegang pisau dan meletakkannya di tengkuk pemimpin seraya melelas bulu kecil dan dengan penuh waspada menekan bahagian tajam pisau cukur itu di leher presiden.

Satu kecuaian, atau boleh jadi satu kesengajaan akan memancurkan darah dan menyembelih Kepala Negara Colombia itu hidup-hidup.

Akan tetapi, tentu Marquez akan menyorot hanya sisi kecekapan tukang gunting itu.

Dia hanya mengandaikan kalau-kalau tukang cukur itu punya ambisi lain untuk tersohor.

Dalam tahun 1950 dan 1951, Marquez mengendalikan dua buah akhbar, pertama “Cronica”, di mana beliau bekerjasama dengan Alfonso Fuenmayor dan menerbitkan enam cerpen awalnya di sini, dan kedua akhbar “Comprimido” di mana Marquez menjadi editornya.

Setelah kedua-dua akhbar ini ditutup Marquez bertugas sebagai pengulas filem di sebuah lagi akhbar milik parti Liberal, “El-Espectador”.

Marquez mulai dikenali setelah penerbitan novel pertamanya La hojarasca (1979) yang diterjemahkan ke bahasa Inggeris sebagai Leaf Storm; dan laporan beliau mengenai skandal Velasco, iaitu kisah tentera laut yang karam kapalnya dan diselamatkan kemudian setelah hanyut di laut.

Laporan Marquez itu adalah dari dimensi politik yang menyiasat ke akar umbi bagaimana penglibatan kerajaan memuatkan barangan haram di dalam kapal tersebut hingga sarat dan lebih muatan.

Laporan ini memalukan kerajaan Colombia di bawah pimpinan diktator Rojas Pinilla yang merampas kuasa beberapa tahun sebelum itu dengan alasan untuk menamatkan pertelingkahan antara Liberal dan Conservatives dan kononnya untuk menamatkan era la violencia.

Penerbitan One Hundred Years of Solitude di Buenos Aires pada Mei 1967 disifatkan oleh pengkritik sastera Amerika latin sebagai ‘gempa bumi sastera’.

Pojok ‘The Scandal of the Century and Other Writings’ hasil tulisan Gabriel Jose Garcia Marquez.

Penerbitan novel ini menyebabkan Marquez terkenal sekelip mata.

Pengiktirafan berterusan diperolehi dari semua sudut dunia dan apabila ia diterbitkan dalam bahasa Inggeris pada tahun 1970, Marquez menjadi bertambah terkenal.

Novel ini menerima pelbagai anugerah sastera, antara lain Chianchiano Prize dari Itali.

Setelah itu Marquez berhenti menulis pojok.

Rencana-rencana atau tulisan pojok Marquez menyediakan bumbu atau asas penting kepada semua fiksyen mendiang yang terkenal, termasuklah Love in the Time of Cholera, The Autumn of the Patriarch, No One Writes to the Colonel, In Evil Hour dan Chronicle of a Death Foretold.

Tidaklah menghairankan jika Marquez mengatakan tulisan pojoknya jauh lebih penting berbanding karya kreatifnya.

Ini kerana 50 tulisan awal yang kadang hanya berupa nota dan catatan pendek ini adalah permulaan kepada segala macam epik yang dikarangnya kemudian.

Kolum-kolum Marquez ini kadang boleh diertikan sebagai cerita pendek, mungkin juga berita untuk disensasikan (atau ditertawakan), kecaman pedih politik, lemparan idea-idea liberal dan kadang pandangan kiri sosialis.

Ia semacam hasutan tetapi bukan. Ia semacam kelucuan tetapi keseriusan. Juga semacam kebenaran tetapi kefantasian.

Pojok Marquez adalah nyawa kepada seluruh karyanya, benih tersemi untuk segala seni yang ditanaminya, ia membaurkan fiksi dan bukan fiksi dengan penuh melankolia sehingga sesuatu yang patut ditangiskan akan diberi jenaka; manakala yang lucu diberi suntikan dukana yang membuai emosi.

Ia adalah parameter sebenar tulisan pojok untuk siapa pun.

“The Scandal of the Century and other Writings” diterjemahkan oleh Anne Mclean dan diterbitkan oleh Vintage International baru tiba di negara ini, untuk dinikmati pelahap sastera yang kelasan.

Buku sepanjang 302 halaman ini memberi sisi lain seorang seniman dan sasterawan besar dunia yang penuh enigma.

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Previous articleIkan hidup, segar atau beku?
Next article3 budak hitam

Related Articles

Belasungkawa Salleh Ben Joned

Puisi-puisi Melayu Salleh ben Joned yang segugus itu mengatasi - semua - kekuatan puisi Muhammad Haji Salleh malah Salleh bahkan menurut saya meninggalkan Usman Awang sebagai penyair romantik Melayu.

Bagaimana jika lelaki hamil?

Siri-siri XY ini adalah berdasarkan kisah benar.

Adakah kita berhak mematikan?

Malaysia malangnya dalam 56 negara yang masih melaksanakan hukuman mati bersama-sama China, Jordan, Singapura dan Mesir.

Politik Sabah dalam karya Arena Wati

Salah satu wacana yang cuba diketengahkan oleh Arena Wati adalah persoalan rasuah dalam politik Sabah.