- Iklan -
Rencana

Salleh Ben Joned (1941-2020)

Sosok lelaki berbaju hitam berterompah kayu sudah meninggalkan kita. Buku-buku dan tulisan Salleh masih segar dibaca.

Hishamuddin Rais
7 minit bacaan
Kongsi
Salleh Ben Joned semasa penggambaran filem The Big Durian arahan Amir Muhammad. Gambar: Blog Salleh Ben Joned.
Salleh Ben Joned semasa penggambaran filem The Big Durian arahan Amir Muhammad. Gambar: Blog Salleh Ben Joned.

Tahun 1973-74 aku bercuti belajar selama setahun. Aku menjadi aktivis pelajar sepenuh masa.

Aku dibenarkan bercuti oleh Universiti Malaya (UM) kerana aku diberi kepercayaan untuk menjadi setiausaha agung Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM).

Satu petang di Rumah Persatuan untuk kali pertama aku berjumpa dengan Salleh Ben Joned. Dia datang membawa satu tulisan meminta dimasukkan ke dalam Mahasiswa Negara, akhar milik PMUM.

Aku lupa apa terjadi dengan tulisan itu. Sebenarnya aku sudah mendengar berita tentang sosok ini.

Sosok ini baru sampai dari Australia. Dia baru masuk ke UM untuk menjadi pengajar di Jabatan Inggeris.

Aku mendengar soh seh soh seh yang Mamat ini suka memakai baju hitam dan berterompah kayu bila datang mengajar.

Pelajar di Jabatan Inggeris menjadi gempar kerana ada “Mat Cool” yang “counter culture” mengajar sastera Inggeris.

Budaya hippie sedang dilihat cool. Memakai kasut kulit dianggap “apiah” atau “pakaian Mat Belia”.

Berkaki ayam lebih cool. Di UM aku sendiri tak pernah ada kasut. Aku memakai selipar Jepun. Kalau ada mesyuarat rasmi aku pinjam kasut kawan.

Petang itu bila kami pertama berkenalan memang sahih Salleh berbaju hitam. Tapi tak berterompah, dia memakai selipar Jepun.

Lalu kami bersembang. Salleh bersurah tentang Australia, tentang Tasmania dan tentang gerakan pelajar di Australia menentang Perang Vietnam.

Salleh menyimpang juga ke gerakan pelajar Malaysia di Hobart dan di Sydney.

“Aku ada terima majalah dan akhbar dari persatuan pelajar Malaysia dari Australia. Dihantar ke PMUM. Pernah sekali aku baca tulisan ‘Malchin’.”

“Apa? Kau pernah baca? Ha ha ha. Melayu China India. Itu nama pena aku. Ha ha ha.”

Kali kedua kami bertemu di simpang jalan masuk ke Rumah Persatuan di tepi Fakulti Pertanian. Aku sedang menapak nak ke Dewan Tunku Canselor. Saleh memandu kereta sport MG hijau tak ada atap.

Seorang Minah Salleh duduk di sebelah. Dia memperlahankan kereta hingga aku dapat bertanya.

“Nak ke mana?”

“Nak pergi ‘berjubur’.” Salleh ketawa. Minah Salleh tersenyum.

Pasti Minah ini tak faham mengapa kami ketawa. Aku ketawa kerana cuaca agak panas untuk berjubur dalam kereta. Petang itu aku senang hati bertemu sosok yang memberikan jawapan jujur.

Kemudian satu petang aku dengar berita tentang Salleh terkencing di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Mengikut surah yang aku dengar Salleh “meluat” dengan majlis yang sedang berjalan pada petang itu.

Majlis di mana para sasterawan sedang mengada-ngada. Di mana Salleh terkencing dan apa yang Salleh kencing aku tak ambil pot.

Kerana aku sendiri pun selalu terkencing merata-rata. Pada aku terkencing permintaan semula jadi badan. Justeru tak perlu ditahan-tahan.

Babak Salleh terkencing ini berlaku tahun 1974. Pada tahun 2020 ini setelah aku tahu sikit-sikit tentang seni maka “kencing Salleh” ini akan aku takrifkan sebagai “performing art”.

Bayangkan betapa hebatnya “kencing Salleh” hingga ke tahun 2020 masih diperkatakan.

Ini lah seni dari seniman tulen namanya.

Pada tahun 1974 ekonomi Tanah Melayu masih dalam genggaman kuasa kolonial Inggeris. Parti United Malay National Organisation (Umno) yang menetas dalam reban kuasa kolonial Inggeris sedang diserang oleh tentera pembebasan Rakyat Malaya di bawah Parti Komunis Malaya (PKM) dari sempadan Siam.

Perang Vietnam sedang membara. Asia Tenggara bergolak. Maka “Tuan Kolonial” Inggeris datang membantu membuat perang saraf anti garis gerakan pembebasan PKM.

Justeru filem “Paper Tiger” membuat penggambaran di Tanah Melayu. Salleh berlakon menjadi pemimpin gerila PKM yang mengganas. Salleh berlakon dengan David Niven dan Toshiro Mifune, dua pelakon tersohor.

Pada 9 Disember 1974 aku menghilangkan diri. Polis mencari aku. Akhbar Utusan Melayu meletakkan muka aku di muka depan akhbar bila aku gagal datang ke mahkamah di Johor Bahru.

Aku bergerak di bawah tanah. Pindah dari satu tempat ke satu tempat. Salah satu tempat aku menumpang sebelum aku “mencelah” ke sempadan Siam ialah di rumah Usman Awang a.k.a Tongkat Waran.

Rumah Tongkat di daerah kelas menengah Melayu di Kampung Tunku.

Aku masih ingat lagi satu petang Tongkat baru pulang dari DBP. Ini pada bulan Jun 1975. Bulan ini aku ingat kerana ianya sebulan sebelum hari jadi Tongkat sampai. Ketika ini Tongkat bertugas di DBP.

“Tadi Salleh datang ke DBP. Dia jumpa abang.” Tongkat membahasakan dirinya abang.

Salleh ini memang rapat dengan Usman Awang. Dua sosok ini teribat dalam dunia tulisan dan sastera.

“Ada apa dengan Salleh. Dia nak hantar tulisan ke?”

Aku bertanya kerana Tongkat menjaga majalah Dewan Sastera.

“Dia nak jual buku. Dia kata dia dah pokai. Dia nak minta DBP beli buku-buku dia.”

“Buku apa? Banyak buku dia?”

“Banyak la. Buku library yang dia pinjam tak pulang. Buku-buku yang dia curi.”

Dengan selamba Tongkat melawak sambil memandang muka aku. Kami ketawa kerana kami memang kenal siapa dia Salleh.

Tahun 1976 aku berkelana ke Australia. Di satu hujung minggu aku hadir program pelajar bersama ahli akademik di Universiti Sydney.

Aku bukan ahli akedemia. Aku datang untuk mendengar perbincangan. Selesai program kami ada minum-minum. Tiba-tiba seorang Minah cun, tinggi lampai dan bergetah datang memperkenalkan diri.

“You Isham? Heard about you.” Dia menghulur tangan aku perhatikan di dadanya terselit tanda nama “Kay Salleh.”

“I’m Kay. Kay Salleh.. from Sydney Uni.”

Minah ini aku pernah dengar namanya. Dia ahli sosiologi. Ini-betul betul Minah Salleh. Minah yang dipeluk oleh Saleh. Minah ini bernama Kay.

Kay masih bangga memakai nama Salleh di dada walau pun dari apa yang aku dengar mereka sudah lama berpisah sebagai suami isteri.

Tahun 1990 aku sudah menjadi warga kota London. Tiba-tiba aku mendapat panggilan telefon dari Salleh.

Ketika itu aku menjadi pelayan di Restoran Garuda di 150, Shaftesbury Avenue.

Kami bertemu di The Cambridge Pub, tiga minit menapak dari tempat aku bekerja.

Aku cukup senang hati dapat bertemu Salleh. Aku bertanya tentang Si Polan dan si Polan dalam UM.

Dia bersurah yang dia dah berhentii dari UM. Pindah ke stesen televisyen buat itu dan buat ini.

Di TV3 Salleh menjadi penyunting skrip. Dia juga ada kolum “As I Please” di akhbar The New Straits Times (NST).

“Aku datang London ini nak bincang dengan penerbit. Skoob Books. Opis dia di sini. Kau kenal Ike Ong?” Aku menggelengkan kepala.

Esoknya kami ke Russel Square untuk berjumpa Ike yang bercadang hendak menerbitkan buku Salleh.

Aku tak pernah membaca kolum Salleh jadi aku tak tahu apa isi tulisan.

Aku tak campur perbincangan. Aku hanya menemani Salleh. Pulang dari Russel Square kami naik kereta api bawah tanah ke Oxford Street.

Ketika sampai ke Oxford Street pejabat sudah tutup. Stesen agak lengang. Menjadi kebiasaan warga kota London membaca “Evening Standard” akhbar petang ketika menunggu atau berada dalam kereta api.

Sesudah membaca akhbar akan dibuang atau di tinggalkan di tempat duduk.

“Ehhh. Tak perlu ambik laa.” Aku memberi ingatan bila Salleh menyeluk tong sampah dalam stesen untuk mengambil akhbar Evening Standard yang sudah dibuang.

“Wow… kau dah jadi bourgeoise.” Salleh memperli aku. Aku tak ada jawapan.

“Aku nak baca bila opera. Aku dengar Pavrotti ada bagi free konsert di Convent Garden. Aku nak dengar arias dia.”

Kemudian Salleh memberi aku kuliah tentang Three Penny Opera garapan seniman Marxist, Bertolt Brecht.

Petang itu aku hanya mendengar seperti Jebat dan Lekir yang mendengar syarahan dari Adiputra tentang ilmu silat.

Sosok di hadapan aku yang penuh dengan ilmu pengetahuan.

Malah konsep “teater jalanan” yang aku mulakan di Tasik Utara (1974) sebagai “agit-prop – agitasi propaganda” aku mula mendengar dari surah Salleh yang melihat “street teater” dipentaskan oleh pelajar anti perang Vietnam di Jerman.

Akhirnya, setelah 20 tahun berkelana aku pulang ke Malaysia. Aku perbaharui hubungan dengan Salleh.

Buku yang dirancang di London sudah diterbitkan. Dia merancang untuk menerbitkan buku puisi dan merancang teater “Mat Solo”.

Satu hari Salleh mengajak aku bertadang ke rumahnya di Subang Jaya. Salleh mahu menunjukkan pada aku satu keping pantun tulisan tangan Shahnon Ahmad yang dihadiahkan kepadanya.

Ini pantun erotik Melayu. Menurut Salleh pantun ini ditulis Shahnon sebelum dia menjadi ahli PAS.

Sebelum Shahnon menjadi ahli kumpulan Arqam.

Menurut Salleh inilah lah contoh sosok Melayu lama yang jujur, penuh erotika dan berhati mulia.

Istilah Melayu lama di munculkan oleh Salleh sebagai perlawanan menentang konsep Melayu Baru yang sedang diheboh-hebohkan pada ketika itu.

Salleh memang ulat buku. Buku-buku dalam bilik Salleh sehingga melimpah ke luar bilik.

Aku melihat betapa banyaknya buku koleksi Salleh. Lalu aku teringat apa kata Tongkat satu ketika dulu tentang Salleh yang mahu menjual bukunya.

Aku minta pinjam satu buku. Aku ambil buku Bakunin on Anarchism.

Pada 10 April 2001 aku ditangkap mengikut Akta Keselamatan Negara (ISA).

Aku dihantar ke kem Kamunting untuk ditahan.

Ketika itu aku masih berhadapan dengan dua kes mahkamah kerana terlibat dalam perhimpunan haram.

Kes ini masih berjalan. Dua atau tiga bulan sekali aku akan dibawa ke Kuala Lumpur untuk menyambung perbicaraan di mahkamah lama sebelah Masjid Jamek.

Selalunya ramai kawan-kawan akan datang ke mahkamah ketika aku dibicarakan tanda bersetiakawan. Kami tak boleh bercakap. Hanya melambai-lambai, toleh-menoleh dan jika nasib baik boleh bersalaman.

Aku ingat lagi pada bulan puasa November 2002 aku dibawa ke Kuala Lumpur untuk dibicarakan.

Sesampai ke mahkamah aku ternampak ramai kawan sedia duduk dalam mahkamah. Aku ternampak Salleh duduk di kerusi paling atas, paling belakang- disudut. Dia memakai baju putih lengan panjang.

Aku merasa amat gembira di mahkamah kali ini. Aku merasa seperti sudah bebas. Ini kerana kawan lama Salleh ada datang sama.

Selesai bicara warden penjara memasang gari. Aku akan dibawa ke dalam van untuk dibawa pulang ke “Bilik Sulit”. Ini tempat rahsia yang hingga ke hari ini aku belum 100% pasti di mana letaknya.

Polis mahkamah mengarahkan semua bangun dan keluar dari mahkamah. Aku mengamit Salleh. Dia bangun. Tangan aku bergari.

Salleh dari tingkat atas cuba turun ke bawah untuk berjabat salam dengan aku. Polis menepis takut ada sesutu yang akan masuk diseludup ke dalam tangan aku.

Banyangkan aku di tingkat bawah Salleh dari tingkat atas menunduk menghulur tangan.

Tiba-tiba dari poket baju Salleh terjatuh sekotak rokok. Salleh pun dengan cepat mengambil rokok dan memasukkan ke dalam saku.

Aku ketawa bukan kerana rokok itu untuk aku. Aku ketawa kerana dalam bulan puasa pun Salleh masih ada rokok.

Ini tanda sosok Melayu yang tidak pernah digula-gulakan oleh Tok Arab. Tahun 2003 aku dibebaskan. Aku berhubung kembali dengan Salleh.

Dia sedang masih merancang untuk menerbitkan buku puisi. Sekali lagi Salleh memperkenalkan aku dengan seorang penerbit.

Dulu Ike Ong dari Russels Square kali ini John Lee dari Petaling Jaya. Kami menjalinkan persahabatan.

Pada pagi Khamis 29 Oktober 2020 yang lalu aku terima pesanan ringkas dari Adman Salleh.

Adman memberi tahu bahawa Saleh sudah meninggal dunia. Adman ialah pengarah filem Bintang Malam (1991) yang mana Salleh menjadi pelakon.

Aku menghantar pesanan ringkas kepada semua kenalan. Kemudian aku menelefon Adman. Aku menelefon John. Kami merancang untuk menziarah jenazah. Aku siap sedia menunggu.

Tiba-tiba Adman menelefon memberitahu hanya keluarga terdekat yang dibenarkan datang melawat jenazah.

Ini peraturan Covid-19. Kemudian aku menelefon John dan memberitahu maklumat yang sama.

Sosok lelaki berbaju hitam berterompah kayu sudah meninggalkan kita. Buku-buku dan tulisan Salleh masih segar dibaca.

Hanya aku harap pantun tulisan tangan Shahnon masih ada tersimpan. Tanda bukti Melayu sebelum mengada-ngada nak jadi Arab.

Buku Bakunin on Anarchism milik Salleh yang aku pinjam masih belum aku pulangkan. Entah di mana aku letak.

  • Hishamuddin Rais adalah penulis, pengarah filem dan aktivis masyarakat.
  • Tulisan ini merupakan pandangan penulis yang tidak semestinya mencerminkan pendirian MalaysiaNow.