- Iklan -
Kolum

Jangan kata Agong tak adil

Bukan sahaja cadangan ketua pembangkang ditolak, hatta cadangan perdana menteri pun ditolak.

Timmy Say
2 minute read
Kongsi
columnist picture

Timmy Say

Timmy Say menulis untuk pelbagai laman portal di Malaysia untuk berkongsi perspektif dan pengalamannya melibatkan isu semasa. Setelah 15 tahun menceburi bidang IC Design, kini bertukar karier ke bidang agrikultur dan akuakultur.

“Seri Paduka Baginda menegaskan bahawa Belanjawan Negara 2021 yang akan dibentangkan di sidang Parlimen adalah amat penting kepada rakyat dalam menangani wabak Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara. Justeru, peruntukan kewangan amat diperlukan oleh petugas barisan hadapan bagi melancarkan tugas dan tanggungjawab mereka.”

Petikan di atas merupakan utusan yang paling penting di dalam mesej Yang di Pertuan Agong semalam di dalam kenyataan yang dikeluarkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Ahmad Fadil Shamsuddin semalam yang menolak permohonan kerajaan untuk mengisytiharkan darurat bagi memerangi ancaman wabak Covid-19 di Malaysia.

Agong mengingatkan semua pihak mengenai betapa pentingnya Belanjawan 2021 negara dapat diluluskan agar usaha kerajaan melawan Covid-19 dapat diteruskan dengan lancar. Atas konteks ini juga, Agong meminta agar semua ahli politik menghentikan segala “politicking” yang boleh mengganggu kestabilan pemerintahan negara.

Pendek kata, apa yang dihajati kerajaan Muhyiddin melalui cadangan darurat sudah tercapai.

Politik negara jadi tidak menentu ekoran pendedahan surat Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan bekas presiden Umno Najib Razak kepada Agong yang menyatakan mereka menyokong Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri ke-9.

Meskipun Zahid sudah mengeluarkan kenyataan baru di atas nama parti bahawa Umno kini bersetuju melakukan gencatan senjata, dan mendokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) di dalam usahanya memerangi wabak Covid-19, sayangnya kenyataan itu tidak dapat menyakinkan sesiapa.

Ini kerana sehingga kini Zahid dan Najib tidak pernah menafikan surat sokongan kepada Anwar yang diserahkan kepada Agong.

Mengambil iktibar apa yang berlaku di Sabah dan potensi Parlimen akan terbubar ekoran permainan politik pihak tertentu ketika wabak Covid-19 masih mengganas, maka dipercayai lahirlah cadangan darurat ini agar apa yang berlaku di Sabah yang menyebabkan pandemik mengganas dapat dielakkan.

Kini, Agong sudah bertitah bahawa darurat tidak perlu kerana yakin dengan kemampuan kerajaan Muhyiddin Yassin untuk memerangi wabak Covid-19 yang terbukti berkesan setakat ini.

Gesaan Agong agar semua ahli politik berhenti bermain politik secara tidak langsung menyelamatkan Belanjawan 2021 daripada digagalkan oleh permainan politik pihak tertentu.

Ini kerana, kini diyakini semua ahli Parlimen kerajaan PN, terutamanya mereka daripada Umno, akan menjunjung titah Agong dan mendokong Belanjawan 2021 untuk diluluskan tanpa sebarang sabotaj.

Pendek kata, apa yang dihajati kerajaan Muhyiddin melalui cadangan darurat sudah tercapai.

Semua ini hanya dapat terjadi kerana Malaysia mempunyai seorang Agong yang adil dan bijaksana.

Ketika Anwar mengadap untuk meminta dilantik sebagai perdana menteri ke-9, Agong perkenan, lalu menolak permohonan tersebut kerana presiden PKR itu tidak menunjukkan bukti sahih bahawa beliau mencapai angka 112 ahli Parlimen.

Kini, ketika perdana menteri meminta mengadap untuk mempersembahkan cadangan darurat, Agong perkenan, lalu menolak cadangan itu setelah mendapat pandangan Majlis Raja-Raja Melayu.

Bukan sahaja cadangan ketua pembangkang ditolak, hatta cadangan perdana menteri pun ditolak. Ini menunjukkan sistem demokrasi raja berperlembagaan negara cukup subur dan tiada sebarang unsur diktator seperti yang didakwa.

Kedua-dua episod ini memahatkan imej Agong di hati rakyat buat selama-lamanya – sebagai penyelamat negara, raja yang adil dan tempat rakyat bergantung ketika 222 ahli Parlimen gagal mencapai kata sepakat untuk mendahulukan negara dan kebajikan rakyat.

Daulat Tuanku!