Saturday, November 21, 2020

Kisah di no 34, Birnam Road

Berita pembunuhan Jamal Khashoggi di Istanbul membawa ingatan aku ke tahun 1987 sewaktu menetap di London.

Other News

1,041 kes baru Covid-19, 1,045 pulih, 3 lagi kematian dilaporkan

Selangor catat kes tertinggi sebanyak 402 jangkitan baru.

1,041 new cases, record 1,405 recoveries

Three more deaths push toll to 332.

Kerajaan kaji bina kuarters pekerja asing, kata Annuar Musa

Pihaknya sedang berunding dengan beberapa kementerian lain dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).

‘Eyes will be plucked out,’ China warns anglophone allies over Hong Kong

The Five Eyes are accusing Beijing of reneging on their agreements to maintain Hong Kong's special freedoms.

Selepas ketepikan saya, Anwar masih tak jadi PM, kata Dr Mahathir

Anwar sebelum ini mengatakan beliau mempunyai sokongan “kukuh dan meyakinkan”.

Aku ingat lagi pada minggu pertama bulan Oktober 2018 ketika dunia heboh dengan satu kes pembunuhan kejam yang berlaku di Istanbul, Turki.

Aku mengikuti berita itu dengan teliti. Berita pembunuhan yang amat menarik.

Bila aku mengamati nama mangsa yang dibunuh ingatan aku berlegar ke tahun 1987 ketika aku belajar di Brixton College di London.

Tapi kisah aku ini bukan tentang pembunuhan itu. Atau tentang bagaimana mayat mangsa di Istanbul itu dikatakan hilang lesap kerana dilupuskan apabila direndam dalam asid.

Atau tentang isteri mangsa teguh dan setia mencari mayat suami yang hilang.

Aku tidak kenal dengan mangsa. Hanya apabila aku membaca berita pembunuhan aku mula sedar bahawa aku pernah mendengar nama keluarga mangsa ini.

Internet membantu aku untuk mengenal pasti mangsa yang dibunuh ialah anak saudara kepada sosok yang aku kenal.

Kisahnya begini. Bila aku diterima masuk ke Brixton College, aku berpindah dari Belgium ke kota London.

Bukan mudah untuk mencari bilik untuk disewa. Awalnya aku menumpang di nombor 34, Birnam Road di Finsbury Park.

Rumah teres tiga tingkat empat bilik termasuk satu loteng. Rumah ini milik Mr Stefanos yang berasal dari Greece.

Rumah ini disewa oleh pelajar-pelajar Malaysia.

Siapa penyewa paling awal rumah ini? Wallahualam bissawab, hanya Guru Nanak yang mengetahui.

Maria Chin Abdullah dan Sivarasa Rasiah adalah antara penghuni rumah ini.

Malah sebelum aku berpindah ke London aku pernah sampai ke rumah ini sebagai tetamu.

Ini rumah para aktivis pelajar Malaysia di London.

Selepas menumpang dua minggu di Birnam Road aku berjaya mendapat bilik sewa di Effra Road di Brixton.

Ini lebih molek kerana aku hanya menapak ke sekolah. Tak perlu berbelanja naik tube (keretapi bawah tanah).

Satu demi satu kawan-kawan di London habis belajar dan mereka pulang ke kampung.

Aku ingat lagi selepas Maria selesai belajar dia pulang. Kemudian tiga orang lagi warga Birnam Road pulang.

Aku hanya menghantar mereka hingga ke lapangan terbang Heathrow.

Akhirnya aku dipelawa oleh Sivarasa untuk mengambil satu bilik di nombor 34 Birnam Road. Aku setuju.

Tak beberapa lama kemudian Sivarasa selesai pengajian undang-undang dan akan pulang ke Malaysia.

Aku menjadi penghuni terakhir di nombor 34 Birnam Road – pusat aktivis pelajar Malaysia di London.

Aku menjadi gelabah. Aku seorang tidak mampu menyewa sebuah rumah ini. Tiba-tiba aku diselamatkan oleh Jeny pelajar Malaysia dari Sabah.

Jeny bukan datang sendirian. Dia memberitahu aku yang dia akan datang bersama Shula seorang ibu tunggal dan dua anak perempuan – Dee dan Sarina.

Aku merasa selamat. Gadis Sabah yang sudah selesai belajar kini menjadi pembantu Shula.

Tapi Jeny memberi ingatan bahawa dalam masa terdekat dia juga akan pulang ke Sabah.

Dee yang berumur 11 tahun, berambut perang berayahkan lelaki Scotland.

Sarina pula yang berumur 8 tahun, berambut hitam kriting berayahkan lelaki Iran yang mati akibat kemalangan.

Tidak pernah aku tanya, tapi aku rasa umur Shula awal 30-an.

Wanita cun bergetah ini adalah hasil kacukan “Minah Saleh” Scotland dengan Arab Algeria.

Kali pertama kami bersua aku terperanjat kerana aku sangka Isabelle Adjani pelakon kacukan Perancis-Algeria dari Paris sedang menunggu aku di dapur.

Shula bekerja sebagai “croupier”. Aku tak tahu apa jenis pekerjaan ini.

Dalam kepala aku wanita secantik Shula wajib sebaris bersama Naomi Campbell, Cindy Crawford atau Kate Moss – menjadi model.

Kemudian Shula menerangkan dia bekerja dalam Kelab Eksklusif di Kensington – daerah orang kaya dalam kota London.

Croupier ialah gadis di belakang meja judi.

Kerjanya mengedar daun terup, memotong daun terup atau membaling buah dadu.

Kerja mula jam 8 malam dan selesai jam 3 pagi. Kerjanya tidak berat. Tidak memerlukan kelulusan daripada Oxford atau Brixton College.

Yang berat ialah wajib sentiasa dilihat cun dan bergetah dan ceria apabila di belakang meja.

Semuanya berjalan lancar. Aku menjadi warga North London – daerah yang dikatakan paling cool di London.

Satu malam Jeny memberitahu yang dia mendapat panggilan dari Kota Kinabalu. Kekasihnya mahu dia pulang segera.

Jeny pernah bersurah bahawa dia di London atas tajaan lelaki kaya dari Sabah. Setiap kali “si kaya” ini datang ke London Jeny akan menjadi pemandu dan “teman penyedap”.

Kini kami tinggal berempat. Shula membuat cadangan. Aku menjadi pembantu dan menjaga Dee dan Sarina di waktu Shula bekerja.

Disebabkan itu aku tidak perlu membayar sewa rumah.

Aduh! Cadangan yang mustahil aku tolak. Di London sewa bilik mahal. Aku dapat “rent free” tapi wajib menjadi “babysitter”.

Maka aku pun mula belajar untuk menjadi seorang ayah yang baik. Aku wajib berada di rumah sebelum jam 7.

Aku tak boleh meninggalkan rumah sehingga Shula balik.

Adalah salah dari segi undang-undang untuk meninggalkan anak kecil bawah umur bersendirian.

Ibu bapa boleh didakwa dan anak boleh diambil oleh Jabatan Kebajikan.

Semua ini aku baca untuk mengetahui tugas aku. Hakikatnya aku tidak ada hujung minggu.

Di suatu petang permulaan musim bunga sebelum pergi bekerja, Shula bertanya pada aku tentang budaya Arab.

Aku menerangkan Arab ini ada pelbagai. Tapi aku hairan kenapa tiba-tiba Shula bertanya. Mungkin Shula mahu mencari keluarga arwah ayahandanya di Algeria.

Esoknya dia bertanya lagi. Kali ini tentang cuaca dan makanan Arab.

Kerana aku pernah tinggal di Damsyik, Beirut dan Baghdad – lalu aku berkisah apa yang aku tahu.

Aku beritahu Shula “humus” dan “falafel” boleh dibeli di London. Esoknya pulang dari sekolah aku ternampak kotak humus dan falafel di atas meja makan.

Dan beg kertas hijau logo gedung Harrods tersandar di dinding. Wow! Shula membeli belah di Harrods!

“Isham I’m in love with an Arab guy,” meletup dari mulut Shula pada satu pagi.

Ketika itu Dee dan Sarina di bilik menonton televisyen.

Baru aku faham mengapa tiba-tiba Shula tertarik dengan apa sahaja berkaitan Arab. “Sure you know his brother Adnan…… His name is Hashim”.

Shula berkisah bagaimana satu malam Hashim datang ke kelab tempat Shula bekerja.

Bagaimana Hashim memandang Shula ketika membuang buah dadu. Shula bercerita bagaimana Hashim memberikan “tips” yang lumayan.

Akhirnya saban malam Hashim hanya mahu bermain di meja yang Shula menjadi croupier. Dari surah Shula aku mengenali siapa abang kepada Hashim ini.

Aku tahu nama keluarganya. Aku pernah membaca berita Adnan di media. Orang kaya. Salah seorang sosok yang amat kaya di Arab Saudi. Abang Hashim ini menjalankan perniagaan paling lumayan iaitu jual beli senjata.

“Minggu depan kamu jangan kemana-mana. Kami nak keluar dari kota London. Mungkin ke Lake District, mungkin ke Devon. Kalau kawan kamu dari Brixton nak lepak di sini jemputlah”.

Aku mengangguk kepala kerana tempat-tempat ini pernah aku dengar tapi tak pernah aku sampai.

Kini barang dapur kami bawang, lada, roti, ikan, daging – semuanya dari Harrods.

Shula tidak lagi membeli di Tesco atau di Marks & Spencer. Jauh sekali membeli di kedai Pakistan.

Beg kertas hijau dengan logo Harrods bersepah dalam dapur kami. Semakin dalam percintaan Shula dengan Hashim semakin kerap aku tak keluar malam.

Hujung minggu Shula dan Hashim bercanda-canda entah di mana. Aku wajib menjaga Dee dan Sarina. Beg kertas Harrods semakin bertimbun.

Shula tidak lagi membeli di Tesco atau di Marks & Spencer. Jauh sekali membeli di kedai Pakistan.

Aku rasa aku sudah menjadi babysitter yang baik. Membaca buku cerita kepada Sarina agar dia cepat tidur.

Melarang Dee dari menonton televisyen selepas jam 9. Hakikatnya aku bersedia untuk menjadi ayah yang bertanggungjawab.

Jika ketika itu ada gadis datang melamar pasti aku akan bernikah. Semua berlaku kerana aku tak perlu membayar sewa bilik.

“Woit… Isham… You are rich now. Shopping in Harrods”. Komen Tony kawan aku anak muda berketurunan Jamaica.

Tony bertandang ke Birnam Road bersama Dan, pelajar dari Kenya. Mereka berdua ternampak selongok beg kertas Harrods dalam dapur.

Sambil ketawa aku menerangkan duduk pekara. Aku bersurah tentang percintaan Shula denga Hashim. Aku juga memberi tahu Tony dan Dan siapa Hashim dan siapa abang Hashim.

“Mereka akan kahwin?” soal Tony.

“Arab Saudi boleh simpan banyak harem … Entah-entah Shula jadi gundik saja”. Dengan sinis Dan memberi penjelasan.

Pada hemat aku ada benar kata-kata Dan ini. Malah aku tahu sedikit sebanyak tentang perangai jantan Arab.

Pernah aku dengar dari seorang pelajar Arab Palestin di Pakistan. Dia menerangkan kekasih atau isteri macam motorsikal milik kita.

Wajib dijaga dan jangan dikongsi. Ini pandangan Arab bandar. Arab Saudi pasti lebih kolot.

Tapi dari perbualan dengan Shula aku rasa percintaan mereka agak dalam.

Hashim semakin kerap turun naik dari Saudi ke London. Malah Shula memberi tahu Hashim sedang mencari flat untuk dibeli di wilayah Kensington. Wilayah berhampiran istana Lady Diana.

Percintaan berjalan. Harijadi Hashim akan sampai. Shula sibuk untuk membuat kuih harijadi yang istimewa untuk Hashim.

Shula ke Harrods untuk membeli bahan.

Aku tahu pada harijadi ini Shula berharap Hashim akan mencadangkan – “propose” – masa depan yang lebih menjanjikan untuk Shula.

Di pagi hari jadi aku terperanjat kerana di meja makan duduk seorang lelaki Arab berumur sekitar awal tiga puluhan.

Kacak segak dan bergaya. Kami berjabat tangan dan terus mesra. Nampaknya Shula sudah bercerita serba sedikit tentang aku kepada Hashim.

Aku mengucapkan selamat harijadi dan terus beredar untuk ke sekolah. Aku tinggalkan dua kekasih untuk bercengkerama. Dee dan Sarina sudah keluar dengan guru ke kolam renang.

Semenjak pagi itu kerap juga Hashim datang bermalam di nombor 34 Birnam Road. Selalunya mereka sampai awal pagi sesudah Shula selesai bekerja.

Satu hari Shula mula bertanya kepada aku tentang Islam. Aduh! Sebagai penganut “Islam Budaya” aku terangkan pada Shula adat Islam kami dari Negeri Sembilan.

Aku terangkan tak timbul bab kena rotan atau kena rejam jika bercinta berahi.

“Wow… very exciting.. very sexy”. Shula mula tertarik dengan Islam.

Musim panas sampai. Aku lihat Shula agak berubah. Dia gelisah. Setiap kali telefon berdering dia akan berlari mengangkat telefon.

“Isham… Waktu malam ada call masuk tak dari Saudi?” Aku menggeleng kepala.

Aku sedar bahawa Shula sedang menungggu panggilan daripada kekasihnya.

Aku tahu betapa risaunya hati kalau kekasih yang ditunggu tidak membuat panggilan. Resah gelisah dan tak tentu arah.

Aku ingat lagi petang Sabtu itu ketika aku di dapur. Telefon berdering. Shula bergegas mengangkat. Kemudian dia masuk ke dapur.

“I know him… the shit.. what a conman!”. Shula marah dan kemudian menangis.

Aku bangun. Shula menangis pada bahu aku. “He is in London all the time”.

Baru aku sedar bahawa Hashim selama ini berada di London. Tetapi tidak lagi menghubungi kekasihnya Shula.

Shula mengeringkan air mata dan membasuh muka.

“I know where he is. I am going there. To confront him. They are having a barbeque party”. Shula berkeras nak pergi mencari Hashim.

Di sini muncul aku seorang Sakai suku Biduanda dari Jelebu. Dengan segala pengalaman aku menenangkan Shula.

Jika Shula pergi ke Kensington Garden aku tahu siapa yang akan ditemui.

Kawan-kawan Hashim kumpulan elit kota London. Jantan Arab kaya. “Dame” dan “Sir” yang sedang menuangkan Dom Perignon menyambut musim panas sambil berbual bual tentang kriket.

“No Shula.. don’t go… please”.

Aku tahu Shula ibu tunggal beranak dua ini akan dihina dan diketawakan oleh kawan-kawan Hashim.

Silap haribulan polis akan dipanggil kerana Shula bukan tamu jemputan. Kemarahan Shula reda. Malam itu Shula tidak pergi bekerja.

Semenjak petang itu nama Hashim tidak penah lagi muncul. Dan beg kertas dari Harrods makin berkuarangan di nombor 34, Birnam Road. Amin.

Epilog:

Aku terbaca tentang Hatice Cengiz wanita Turkey masih berjuang untuk menegakkan keadilan dan menyaman Mohammed Bin Salman atas kematian suaminya Jamal Khashoggi.

Aku terfikir juga apakah Shula juga boleh menyaman bapa saudara Jamal kerana mugkir janji?

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles

3 budak hitam

Mencari kerja wajib ada modal.

Cinta terlarang

Cinta gagal ini menjadi lebih agung bila ianya cinta terlarang.

Salleh Ben Joned (1941-2020)

Sosok lelaki berbaju hitam berterompah kayu sudah meninggalkan kita. Buku-buku dan tulisan Salleh masih segar dibaca.

Mademoiselle Murielle

Hidup aku ceria. Kadang kala ketika aku makan malam, piano akan berlagu.

Monsieur Tang

Janji dan berjanji. C’est la vie – inilah hidup.