- Iklan -
Kolum

Politik apakah di sebalik surat ke Istana?

Jangan lupa, terdapat juga gerakan putera Kelantan, Tengku Razaleigh Hamzah.

Timmy Say
2 minute read
Kongsi
columnist picture

Timmy Say

Timmy Say menulis untuk pelbagai laman portal di Malaysia untuk berkongsi perspektif dan pengalamannya melibatkan isu semasa. Setelah 15 tahun menceburi bidang IC Design, kini bertukar karier ke bidang agrikultur dan akuakultur.

Anwar Ibrahim, Najib Razak, Ahmad Zahid Hamidi dan Maszlee Malik adalah empat watak yang menjadi perbualan hujung minggu lalu ekoran terdedahnya tiga surat berlainan yang mendakwa mereka memberikan sokongan kepada presiden PKR untuk menjadi perdana menteri kesembilan.

Banyak persoalan yang timbul ekoran pendedahan surat-surat tersebut. Apakah surat-surat tersebut tulen?

Jika tidak tulen, mengapa penafian daripada keempat-empat pemilik tandatangan surat-surat itu masih tidak kedengaran?

Setakat ini, belum ada penafian khusus daripada keempat-empat watak ini terhadap surat-surat yang didedahkan.

Yang ada cumalah penafian daripada pegawai Zahid dan Umno yang menyatakan surat yang ditandatangani ahli Parlimen Bagan Datuk dan Najib itu palsu.

Bukan itu sahaja, kesunyian daripada pihak Najib untuk melakukan sebarang hasut maya (troll) terhadap Anwar, mahupun jenaka “Super Ring” sejurus pertemuan mengadap ahli Parlimen Port Dickson itu dengan Agong pada 13 Oktober lalu juga menambahkan lagi spekulasi kepada episod politik ini.

Sehingga ini, Najib hanya membuat hasut maya terhadap kualiti kertas surat yang dikatakan ditandatangani beliau dan Zahid tanpa sebarang penafian khusus.

Jika surat-surat itu tidak tulen, apakah ada surat-surat lain yang menyebabkan Anwar sebegitu yakin untuk mengumumkan kerajaan Muhyiddin Yassin tumbang dan beliau memiliki majoriti “kukuh dan meyakinkan” untuk menjadi perdana menteri?

Ataupun disebabkan surat-surat itu memang tulen, dan kerana melibatkan sokongan Najib dan Zahid, kedua-dua watak yang sedang berdepan berpuluh tuduhan rasuah di mahkamah, Anwar terpaksa merahsiakan siapa menyokongnya?

Kerana bimbang rakan-rakan sekutunya dalam Pakatan Harapan (PH) tidak akan bersetuju?

Apakah ini juga bermakna jika Anwar menyatakan Muhyiddin kehilangan majoriti di Parlimen kerana sokongan Najib dan Zahid, tapi pada masa sama disebabkan itu beliau tidak dapat membuktikan mempunyai majoriti di Parlimen?

Itu pun dengan andaian semua sekutunya dalam PH akan bersetuju untuk bekerjasama dengan Najib dan Zahid.

Lebih menarik, jika surat-surat itu tulen dan diserahkan Anwar kepada Agong, apakah ini bermaksud sesiapa yang mengatakannya palsu sudah melakukan perbuatan menipu Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah?

Setakat ini, semua pihak yang didakwa terlibat dengan surat-surat ini mengalami “kerugian teruk” daripada sudut persepsi politik dan juga kebolehpercayaan ahli parti sendiri ekoran pendedahan ini.

Jika surat Anwar itu adalah benar, maka ini bermakna presiden PKR itu tiada sokongan majoriti seperti yang diwar-warkan beliau.

Yang ada cuma andaian.

Tapi jika surat-surat itu palsu, apakah Anwar ada surat lain yang menyebabkan keyakinannya meluap-luap menyatakan kerajaan baru yang akan ditubuhkan beliau ialah kerajaan majoriti Melayu-Islam?

Jika surat Najib dan Zahid itu benar, maka ini bermakna kedua-dua pemimpin itu sudah melakukan sesuatu yang berisiko menamatkan riwayat Barisan Nasional (BN), Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN) dan menyebabkan Umno bersendirian pada Pilihan Raya Umum ke-15.

Tapi jika surat itu palsu, sewajarnya Najib dan Zahid menafikannya dan laporan polis perlu dilakukan segera.

Tapi jika surat-surat itu palsu, apakah Anwar ada surat lain yang menyebabkan keyakinannya meluap-luap menyatakan kerajaan baru yang akan ditubuhkan beliau ialah kerajaan majoriti Melayu-Islam?

Jika akaun berkanun (SD) Maszlee itu benar, maka ini bermakna bekas menteri pendidikan sudah tidak bersama Dr Mahathir Mohamad.

Jika SD itu palsu, Maszlee perlu berjumpa dengan Anwar segera.

Cuba fikir, mengapa tidak Mahathir?

Jangan terlupa di sebalik semua ini ada gerakan putera Kelantan, Tengku Razaleigh Hamzah.

Jadi, cuba fikir siapa yang mendapat untung daripada gerakan politik mendedahkan surat-surat ini, tulen mahupun palsu kepada orang awam?

Apa-apapun jangan sesekali kita lupa Covid-19 masih “mengganas” seperti politik negara kita.