- Iklan -
BeritaBaru Terbit

Amaran keganasan tak terkawal selepas serangan molotov di penempatan Rohingya di sebalik kempen kebencian

Sebuah pertubuhan hak asasi melahirkan kebimbangan bahawa ada pihak yang cuba mengambil tindakan sendiri susulan kempen xenofobia selama berbulan-bulan.

MalaysiaNow
3 minit bacaan
Kongsi
Anak-anak pelarian Rohingya bermain di luar sebuah penempatan di Ampang, Selangor.
Anak-anak pelarian Rohingya bermain di luar sebuah penempatan di Ampang, Selangor.

Insiden serangan bom petrol (molotov) pada awal pagi 13 Oktober terhadap sebuah penempatan Rohingya di Johor telah mencetuskan kebimbangan bahawa kempen kebencian terhadap komuniti pelarian itu akan bertukar menjadi keganasan melalui tindakan vigilante, menurut sebuah kumpulan hak asasi yang turut menggesa perbuatan itu tidak dinormalisasikan.

Persatuan Kebangsaan Hak Asasi Manusia (Hakam) berkata pihaknya bimbang dengan langkah individu tertentu yang cuba bertindak sendiri untuk melaksanakan “versi keadilan mereka terhadap komuniti yang sudah pun terdedah kepada risiko dan kerentanan”.

“Sikap bermusuhan yang berterusan ini, serta tindakan individu yang semakin berani menganggap diri mereka penguat kuasa terhadap pelarian, menunjukkan normalisasi xenofobia yang amat membimbangkan dalam masyarakat kita.

“Tiada individu atau orang awam yang mempunyai kuasa untuk mendakwa diri mereka sebagai pihak berkuasa yang sah semata-mata kerana mereka beranggapan seseorang itu tidak sepatutnya berada di sini,” kata Presiden Hakam, M Ramachelvam.

Serangan bom petrol (molotov) terhadap penempatan Rohingya di Kulai Besar, Johor, kira-kira jam 1.30 pagi Selasa, menyebabkan kerosakan pada bahagian pagar.

Menurut polis, serangan itu mungkin dilakukan oleh individu yang bertindak berdasarkan dua video tular yang mendakwa kononnya sekumpulan etnik Rohingya telah mencabar penduduk Melayu.

Video-video tersebut dipercayai sebahagian daripada kempen kebencian dalam talian yang tersusun dan disasarkan kepada khalayak Melayu di Malaysia; melibatkan video berunsur xenofobia yang dihasilkan AI untuk menaikkan kemarahan awam terhadap komuniti pelarian dan migran, yang disebarkan oleh bot dan akaun media sosial palsu.

Seorang pelarian Rohingya yang dipaparkan dalam video tersebut telah membuat laporan polis menafikan tuduhan terhadapnya, sambil berkata gambarnya disalahgunakan untuk menghasilkan video itu.

Lawatan diktator Myanmar, Min Aung Hlaing pada 8 Oktober, 2026, menandakan kali pertama kerajaan Malaysia meraikan seorang ketua negara yang dikehendaki atas tuduhan jenayah perang.
Lawatan diktator Myanmar, Min Aung Hlaing pada 8 Oktober, 2026, menandakan kali pertama kerajaan Malaysia meraikan seorang ketua negara yang dikehendaki atas tuduhan jenayah perang.

Serangan berkenaan berlaku beberapa hari selepas Perdana Menteri Anwar Ibrahim memberikan sambutan meriah kepada Min Aung Hlaing, presiden Myanmar yang dikehendaki Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) atas tuduhan jenayah perang, ketika rejim tenteranya meningkatkan serangan udara terhadap kawasan penempatan Islam di negeri Arakan yang membunuh ramai orang awam.

Hakam berkata insiden di Johor itu menunjukkan “kesan sebenar yang lahir daripada sikap bermusuhan terhadap komuniti rentan”.

“Tindakan intimidasi dan keganasan seperti ini mesti dikutuk sekeras-kerasnya, dan sebarang aduan atau rasa tidak puas hati perlu diselesaikan melalui saluran undang-undang dan bukan melalui aksi balas dendam dengan bertindak sendiri.

“Apabila perbuatan sedemikian disasarkan terhadap sesuatu kaum atau masyarakat pelarian, ia mewujudkan suasana di mana sikap menyalahkan secara kolektif dan melucutkan sifat kemanusiaan seseorang boleh dianggap sesuatu yang diterima,” tambahnya.

Sebelum ini, peringatan serupa disuarakan seorang pendakwah dan sebuah gabungan Islam yang membantah sentimen anti-pelarian yang disebarkan dalam talian sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

Pada 13 September, pendakwah terkenal Firdaus Wong memberi amaran bahawa apa yang berlaku adalah permulaan kepada jenayah yang lebih kejam, sambil membandingkannya dengan tindakan Nazi terhadap kaum Yahudi dan genosida terhadap rakyat Palestin.

“Biar saya berterus terang, cara kita menyahmanusiakan mereka samalah dengan apa yang dilakukan oleh Nazi terhadap orang Yahudi. Mereka bermula dengan melucutkan sifat kemanusiaan terlebih dahulu, kemudian mereka mula menghalalkan jenayah yang lebih besar,” kata Firdaus.

Ia diikuti  amaran oleh Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) – gabungan mewakili NGO Islam di seluruh negara – yang menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap bahan berunsur kebencian menyasarkan etnik Rohingya yang disebarkan di ruang maya.

Mapim turut mengingatkan badan kawal selia internet, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), supaya menyiasat dan mengambil tindakan terhadap penyebaran kandungan yang menyemarakkan kebencian terhadap komuniti Rohingya.

“Adakah kita sedang berhadapan dengan penyebaran kebencian secara spontan, atau terdapat rangkaian akaun yang sengaja memanipulasi sentimen masyarakat?” soal Presiden Mapim, Azmi Abdul Hamid.

Pada Ogos, MalaysiaNow melaporkan video yang menyasarkan anak-anak pelarian yang bersekolah di Malaysia tidak mengundang apa-apa sekatan SKMM walaupun terdapat pelanggaran jelas terhadap peraturan berkaitan kanak-kanak, buli dan kebencian.

Ia meskipun SKMM selama ini mengenakan sekatan terhadap akaun media sosial yang dikatakan melanggar undang-undang mengenai buli, penipuan siber, kebencian dalam talian dan kritikan terhadap institusi diraja.

Pertanyaan dikemukakan MalaysiaNow kepada SKMM mengenai tindakannya terhadap kempen kebencian dalam talian itu masih belum mendapat jawapan.