- Iklan -
BeritaBaru Terbit

'Kami saksi penganiayaan berterusan': Pertubuhan doktor sedunia bantah Malaysia hantar pulang pelarian Myanmar, Rohingya

Doctors Without Borders berkata orang awam di Myanmar terus berdepan keganasan melampau, serangan udara dan pembunuhan beramai-ramai.

MalaysiaNow
3 minit bacaan
Kongsi
Perkampunagn di negeri Rakhine yang hangus terbakar, kesan kempen pembunuhan beramai-ramai oleh junta Myanmar terhadap umat Islam Rohingya yang dilucutkan kewarganegaraan mereka. Gambar inset: mayat penduduk Islam yang menjadi mangsa kekejaman junta Myanmar di Maungdaw, Rakhine, pada Ogos 2017. Gambar: VOA/RVision
Perkampunagn di negeri Rakhine yang hangus terbakar, kesan kempen pembunuhan beramai-ramai oleh junta Myanmar terhadap umat Islam Rohingya yang dilucutkan kewarganegaraan mereka. Gambar inset: mayat penduduk Islam yang menjadi mangsa kekejaman junta Myanmar di Maungdaw, Rakhine, pada Ogos 2017. Gambar: VOA/RVision

Pertubuhan doktor perubatan antarabangsa Medecins Sans Frontieres (MSF), atau Doctors Without Borders, memberi amaran kepada pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim berhubung rancangan menghantar pulang kira-kira 1,400 pelarian yang dikenal pasti oleh rejim Myanmar sebagai warganegaranya, sambil menyatakan mereka sekali lagi berisiko berdepan keganasan yang menjadi punca mereka melarikan diri.

“Ketelusan dan penjelasan segera diperlukan berhubung 1,476 orang pelarian yang berisiko dihantar pulang secara paksa ke tempat yang dilanda keganasan dan ancaman, iaitu keadaan yang memaksa mereka melarikan diri,” menurut kenyataan pertubuhan itu yang beroperasi di 70 negara dengan lebih 63,000 petugas.

Gesaan itu dibuat ketika pentadbiran Anwar dilihat mengulangi naratif kempen kebencian terhadap etnik Rohingya dan masyarakat migran lain di Malaysia, selain mengubah dasar tidak mengiktiraf junta Myanmar yang selama berdekad-dekad terlibat dalam kempen kejam mengusir rakyat beragama Islam dari wilayah Arakan, mengakibatkan puluhan ribu terkorban dan jutaan pelarian menyelamatkan diri ke negara jiran selepas kampung halaman mereka dimusnahkan.

Bulan lalu, Anwar mendakwa Myanmar bersetuju menerima semula 5,000 pelarian Rohingya, namun tidak memberikan butiran lanjut mengenai rancangan tersebut, yang disifatkan kumpulan hak asasi manusia sebagai langkah yang akan membuka ruang penindasan oleh rejim Myanmar ke atas mereka.

Kerajaan sebelum ini berkata rancangan itu tidak akan diteruskan sekiranya nyawa pelarian terancam.

Bagaimanapun, MSF berkata pengumuman terkini oleh kerajaan Malaysia “memberikan gambaran bahawa jaminan tersebut mungkin tidak lagi terpakai” dan “menimbulkan kebimbangan serius terhadap perlindungan hak asasi manusia”.

Menurut MSF, walaupun Malaysia bukan sebahagian daripada Konvensyen Pelarian 1951, ia tetap terikat dengan prinsip “non-refoulement” di bawah undang-undang antarabangsa yang melarang pemulangan secara paksa seseorang ke negara yang boleh menyebabkan mereka berdepan penganiayaan.

Ia menegaskan bahawa mereka yang melarikan diri dari Myanmar merupakan orang awam yang terus berdepan “keganasan melampau, termasuk serangan udara tanpa henti, pembunuhan beramai-ramai, pemenjaraan, pengambilan anggota secara paksa serta sekatan terhadap bekalan asas seperti makanan dan ubat-ubatan”.

Putrajaya berkata bahawa sejumlah 1,476 pelarian telah “dikenal pasti” oleh rejim Myanmar untuk dihantar pulang pada 29 September, di bawah fasa pertama program yang disifatkan Kementerian Dalam Negeri sebagai “Program Penghantaran Pulang Secara Sukarela”.

“Program itu dilaksanakan secara selamat, bertanggungjawab dan mengikut prosedur yang dipersetujui bersama kerajaan Myanmar,” kata Kementerian Dalam Negeri pada 27 Ogos.

MSF berkata kerajaan perlu mendedahkan kewarganegaraan dan umur individu yang akan dihantar pulang, di samping risiko perlindungan yang dihadapi oleh mereka yang dikenal pasti untuk dihantar pulang.

“Pelarian dan pemohon suaka yang berdepan penganiayaan atau ancaman serius lain tidak boleh dihantar pulang,” tambahnya.

Organisasi itu berkata ia beroperasi di wilayah-wilayah Myanmar yang terjejas oleh konflik, seperti Rakhine (Arakan), Kachin, utara Shan dan Yangon.

“Pasukan kami menyaksikan sendiri bagaimana konflik dan ketidakamanan terus menjejaskan perkhidmatan kesihatan, bekalan makanan, pendidikan serta sumber mata pencarian masyarakat di pelbagai wilayah Myanmar,” kata MSF.

“Pelarian tidak meninggalkan tanah air atas pilihan sendiri. Mereka melarikan diri daripada penganiayaan dan tidak seharusnya dianggap sebagai penjenayah atau dijadikan sasaran mudah demi kepentingan politik.

“MSF menggesa Malaysia menghentikan semua penghantaran pulang pelarian ke tempat yang masih dilanda keganasan dan bahaya yang memaksa mereka melarikan diri. Kerajaan juga perlu memastikan bahawa sebarang proses berkaitan dilaksanakan secara telus sepenuhnya serta mematuhi piawaian antarabangsa.”

Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, berlaku peningkatan ketara sentimen kebencian dalam talian yang menyasarkan pelarian Rohingya di Malaysia, sebahagian besarnya didorong oleh maklumat salah dan slogan perkauman.

Kempen dalam talian yang dipacu bot bukan sahaja menyasarkan pelarian Rohingya tetapi kini beralih kepada kanak-kanak yang bersekolah dengan alasan mereka bukan warganegara Malaysia.
Kempen dalam talian yang dipacu bot bukan sahaja menyasarkan pelarian Rohingya tetapi kini beralih kepada kanak-kanak yang bersekolah dengan alasan mereka bukan warganegara Malaysia.

Semakan mendapati sebahagian besar kandungan tersebut dipacu oleh bot dan akaun palsu yang menggunakan ratusan video dijana teknologi AI dengan matlamat menyemai permusuhan terhadap komuniti pelarian dan migran, menyerupai apa yang berlaku di Aceh pada 2023 apabila kempen kebencian dalam talian cuba membangkitkan kemarahan penduduk tempatan supaya mengusir pelarian Rohingya, hanya beberapa bulan sebelum pilihan raya presiden Indonesia.

Selama beberapa dekad, pihak berkuasa Myanmar dan gerakan nasionalis yang dipimpin sami ekstremis Buddha cuba menggambarkan Rohingya sebagai orang asing yang tidak sepatutnya berada di negara itu. Mereka berulang kali dilabel sebagai pendatang haram berketurunan Bengali walaupun wujud bukti lama mengenai kehadiran mereka di Arakan, yang kini dikenali sebagai Negeri Rakhine.

Pihak berkuasa Myanmar mewujudkan persepsi bahawa mereka bukan komuniti asli yang mempunyai hak sah, sebaliknya kelompok orang asing yang kehadirannya menimbulkan ancaman kepada negara.

Antara individu yang menyebarkan dakwaan sedemikian ialah Ashin Wirathu, sami ekstremis dan ultra-nasionalis Myanmar yang terkenal dengan retorik anti-Islam yang menghasut orang ramai menyerang umat Islam.

Pada 2016, ketika junta Myanmar sibuk melakukan siri serangan kejam, pembunuhan, keganasan seksual dan pembakaran perkampungan etnik Rohingya, Wirathu meraikan kemenangan pilihan raya Donald Trump dengan menyifatkan dirinya dan Trump sebagai mereka yang “menyekat bahaya Islamisasi”.

Pada 2020, Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) menganggarkan terdapat 1.1 juta pelarian dari Myanmar, yang terdiri bukan sahaja daripada masyarakat Islam Rohingya, tetapi juga etnik minoriti lain yang ditindas, menjadikan mereka populasi pelarian keempat terbesar di dunia.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.