- Iklan -
BeritaBaru Terbit

Hutang RM2 juta badan swasta kepada agensi kementerian sukan dihapuskan dengan pelan ‘pengiklanan’

MFL, entiti swasta yang mengurus beberapa kejohanan bola sepak profesional, mendakwa nilai yang ditawarkannya tiga kali ganda lebih tinggi daripada hutangnya kepada kerajaan.

MalaysiaNow
3 minit bacaan
Kongsi
Stuart Ramalingam, bekas CEO Perbadanan Stadium Malaysia, dilihat di sini bersama Menteri Wilayah Persekutuan Hannah Yeoh dalam satu program pada April 2026. Ramalingam kini merupakan pengerusi Majlis Sukan WP, sebuah agensi di bawah portfolio Hannah.
Stuart Ramalingam, bekas CEO Perbadanan Stadium Malaysia, dilihat di sini bersama Menteri Wilayah Persekutuan Hannah Yeoh dalam satu program pada April 2026. Ramalingam kini merupakan pengerusi Majlis Sukan WP, sebuah agensi di bawah portfolio Hannah.

Sebuah agensi di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang bertanggungjawab menyelenggara stadium dan kompleks sukan di seluruh negara bersetuju pada 2024 untuk memadamkan hutang RM2 juta penyewaan stadium oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), MalaysiaNow boleh mendedahkan.

MFL, entiti swasta yang mengendalikan kejohanan bola sepak seperti Liga Super dan Piala Malaysia, dibebani hutang RM2.38 juta bagi penyewaan Stadium Nasional Bukit Jalil daripada Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) bagi perlawanan yang diadakan antara Disember 2018 dan Oktober 2020.

Bagaimanapun, kementerian melalui PSM dipercayai bersetuju dengan sebuah pelan disusun MFL untuk melangsaikan hutang berjumlah RM2,388,875.60.

Di bawah cadangannya, MFL hanya membayar RM388,000 secara tunai, manakala baki RM2 juta diselesaikan melalui beberapa siri kempen pengiklanan dan promosi untuk PSM dan kementerian dalam bentuk pengiklanan papan LED, media sosial dan televisyen sepanjang perlawanan bola sepak anjuran MFL.

Dokumen dan surat yang dilihat MalaysiaNow menunjukkan cadangan itu pertama kali dikemukakan MFL pada 2023 ketika dipimpin ketua pegawai eksekutifnya (CEO) Stuart Ramalingam, susulan perbincangan dengan menteri belia dan sukan ketika itu, Hannah Yeoh pada September 2023, diikuti mesyuarat antara MFL dan PSM.

“MFL merayu dan memohon jasa baik PSM untuk menerima cadangan asal MFL iaitu hutang berjumlah RM2,000,000 ditolak daripada kos penajaan dan pengiklanan, serta baki hutang sebanyak RM388,875.60 dibayar secara ansuran,” menurut Stuart dalam surat beliau kepada PSM bertarikh 16 November 2023.

Stuart kini dilantik sebagai pengerusi sebuah agensi di bawah portfolio semasa Hannah sebagai menteri wilayah persekutuan.

MFL dakwa pelan langsai hutang bernilai tiga kali ganda

Di bawah cadangan itu, MFL bersetuju memaparkan mesej mempromosikan PSM dan KBS pada papan iklan LED sepanjang 232 perlawanan merangkumi tiga kejohanan bola sepak yang dianjurkannya: Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia.

MFL juga bersetuju memaparkan logo PSM pada setiap catatan media sosialnya, di samping publisiti menerusi televisyen dan pada poster yang dipaparkan ketika sidang akhbar.

Selain itu, MFL menawarkan 650 tiket percuma kepada PSM untuk pelbagai perlawanan bola sepak anjurannya.

Berdasarkan pengiraan yang diperincikan dalam cadangan MFL, kempen promosi itu didakwa mencapai nilai pulangan pelaburan sebanyak RM7.2 juta, menunjukkan perjanjian itu akan memberi kelebihan kepada PSM kerana nilai itu tiga kali ganda lebih tinggi daripada hutang MFL.

Perjanjian itu memuatkan beberapa syarat ke atas MFL yang boleh dipenuhi dengan mudah.

Ia termasuk syarat yang memerlukan MFL menandatangani sebuah aku janji, serta membenarkan PSM melantik ejen untuk menjual slot iklan yang diperuntukkan kepadanya. Sekiranya syarat tersebut tidak dipenuhi, PSM boleh mengambil tindakan undang-undang terhadap MFL dan menyenaraihitamkannya daripada tempahan stadium pada masa hadapan.

MalaysiaNow cuba mendapatkan respons daripada pihak yang terbabit dalam perjanjian itu, namun setiap kali dirujuk kepada pihak lain.

Pejabat Yeoh enggan mengulas dan mengatakan soalan harus ditujukan kepada MFL.

Apabila dihubungi, sumber kanan dalam pengurusan semasa MFL sekadar berkata organisasi itu akan memenuhi semua perjanjian kewangan yang dimeterai pada 2024, dan berkata hutang itu akan diselesaikan pada Oktober.

“Saya tidak dapat mengesahkan apa yang berlaku pada 2024 tetapi apa yang boleh saya katakan ialah, apa sahaja hutang dengan PSM akan diselesaikan bulan depan,” kata sumber itu dengan syarat tidak mahu namanya disiarkan.

Ketika dihubungi, Stuart, yang pada Februari dilantik sebagai pengerusi Majlis Sukan Wilayah Persekutuan, agensi di bawah Jabatan Wilayah Persekutuan yang kini dipimpin Hannah, enggan memberi maklum balas.

“Maaf, tidak wajar bagi saya mengulas mengenainya sekarang kerana saya tidak lagi bersama organisasi itu. Sila hubungi MFL untuk perkara ini. Saya pasti mereka boleh memberikan maklum balas kepada anda jika perlu,” katanya dalam jawapan ringkas.