Anwar diingatkan tidak terpalit jenayah perang AS-Israel selepas perjanjian AS$96 juta Lynas dan Pentagon
Aktivis termasuk Greenpeace menggesa kerajaan menggantung operasi syarikat nadir bumi dari Australia itu.
Terkini
Kumpulan alam sekitar global Greenpeace hari ini menyertai penunjuk perasaan di luar Parlimen untuk menuntut Perdana Menteri Anwar Ibrahim menggantung operasi firma nadir bumi Australia Lynas, sambil memberi amaran supaya Malaysia tidak terlibat dengan jenayah perang susulan perjanjian bernilai AS$96 juta bagi membekalkan nadir bumi kepada Jabatan Perang Amerika Syarikat (Pentagon).
Perhimpunan disokong beberapa pertubuhan tempatan, termasuk kumpulan pro-Palestin yang sebelum ini menganjurkan protes membantah langkah Anwar menjemput Donald Trump menghadiri Sidang Asean tahun lalu, ketika kemuncak sokongan ketenteraan yang diberikan presiden AS itu kepada Israel.
Penunjuk perasaan menuntut siasatan terhadap perjanjian berkenaan bagi memastikan ia selari dengan dasar dan undang-undang Malaysia, di samping memastikan Lynas mendedahkan butiran perjanjiannya dengan semua pelanggan yang terkait ketenteraan sejak sedekad lalu.
“Malaysia kini berada pada titik penting untuk menunjukkan kepimpinan yang berprinsip dalam mentadbir mineral kritikal,” kata Greenpeace dalam satu kenyataan bersama.
“Kerajaan harus menunjukkan kepimpinan berprinsip dengan mengutamakan nyawa manusia berbanding keuntungan perang, dan memastikan mineral kritikal Malaysia tidak sekali-kali digunakan untuk melakukan keganasan,” kata Sahabat Alam Malaysia.
“Kita mesti berdiri di pihak yang benar dalam sejarah dan melakukan segala yang kita mampu untuk menamatkan penjajahan haram negara Zionis. Semua mata kini tertumpu pada tindak balas kerajaan Malaysia terhadap tuntutan yang sangat adil dan bermoral agar kontrak nadir bumi Lynas dengan Jabatan Perang AS dibatalkan,” kata cawangan tempatan pergerakan anti-Israel antarabangsa, Boycott, Divestment, Sanctions (BDS).
Sebelum perhimpunan hari ini, lebih 20 pertubuhan sivil menandatangani petisyen memberi amaran bahawa nadir bumi yang diproses di Malaysia “bakal digunakan untuk tujuan pembuatan senjata berteknologi tinggi yang akan digunakan untuk membunuh rakyat Palestin atau negara-negara sekitarnya, termasuk kanak-kanak dan bayi”.
“Dengan membekalkan bahan mentah penting dalam pembuatan senjata, Malaysia berisiko untuk bersubahat dalam genosida, jenayah perang, jenayah kemanusiaan, dan pelanggaran undang-undang antarabangsa yang dilakukan oleh Amerika-Israel,” menurut petisyen itu.
Mereka turut menggesa Putrajaya menolak sebarang rancangan mengembangkan Lynas di negara ini sehingga ia mematuhi syarat pelesenan asal untuk membawa keluar dari Malaysia sisa radioaktif hasil “water leach purification process”.
Menurut mereka, kerajaan Malaysia mesti bertindak mengikut dasar solidariti dengan rakyat Palestin yang telah lama wujud, sambil berkata bahawa membenarkan Lynas bertapak akan bercanggah dengan dasar itu, "apatah lagi kesan sampingan operasi tersebut yang menghasilkan toksik radioaktif, justeru memudaratkan kesihatan penduduk sekitar dan juga alam sekitar”.
Mereka menggesa Anwar “bertindak sekarang untuk melindungi integriti dan kedaulatan Malaysia”, dan berkata sebarang eksport nadir bumi kepada Pentagon “berisiko menjadikan Malaysia terlibat sama dalam genosida, jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan, bukan sahaja di Palestin, bahkan di negara-negara jiran lain seperti Iran yang telah diserang oleh Amerika Syarikat dan Israel baru-baru ini biarpun setelah menerima kecaman antarabangsa”.
Percanggahan dengan dasar pro-Palestin
Bantahan terbaru yang menyasarkan perjanjian Lynas-Pentagon merupakan salah satu isu yang dihadapi pentadbiran Anwar, yang dikritik kerana dianggap tidak selari dengan dasar pro-Palestin yang dipegang kerajaan Malaysia selama beberapa dekad.
Dua tahun lalu, kumpulan pro-Palestin dan pemimpin pembangkang menggesa Anwar membatalkan keputusannya menjual saham syarikat milik kerajaan Malaysia Airports kepada anak syarikat BlackRock, gergasi pelaburan AS yang berdepan dakwaan terpalit dengan jenayah perang Israel.
Anwar mempertahankan keputusan itu dengan alasan pelaburan asing penting untuk ekonomi, di samping berhujah bahawa BlackRock sudah lama beroperasi dalam pasaran tempatan.
Anwar turut dikritik kerana membenarkan penyertaan beberapa firma pembekal peralatan ketenteraan kepada Israel di Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Negara Asia (Natsec) pada Mei 2024.
Firma-firma tersebut termasuk Lockheed Martin, MBDA (BAE Systems), Aimpoint, Colt, L3Harris, Leupold, Shield AI dan Leonardo, iaitu antara syarikat yang membekalkan peralatan ketenteraan yang digunakan rejim Israel.
Sementara itu, Greenpeace dan kumpulan lain membutirkan bahan nadir bumi yang bakal dibekalkan Lynas kepada Pentagon.
Ia termasuk samarium, disprosium, terbium, neodymium dan praseodymium, semuanya bahan penting dalam pembuatan senjata ketenteraan.
“Lynas juga bertekad untuk mengembangkan pengeluaran unsur lain seperti gadolinium, yttrium dan lutetium dalam tempoh dua tahun akan datang. Unsur-unsur ini penting dalam pembuatan senjata AS,” tambah mereka.
Pada 2023, Edgard Kagan, duta AS ke Malaysia antara 2024 dan 2026, menyentuh potensi AS mengembangkan kerjasama dalam mempelbagaikan rantaian bekalan nadir bumi dan mineral lain.
Kagan, ketika sesi pengesahan pelantikannya sebagai duta di Senat AS, berkata pembangunan sumber mineral kritikal baharu bagi memastikan rantaian bekalan berterusan merupakan keutamaan yang sangat tinggi bagi Washington.
“Kepentingan untuk mengusahakan pengaturan dengan negara-negara yang mempunyai hubungan baik dengan kita... adalah sangat kritikal,” katanya, sambil menambah: “Saya fikir kita ada potensi sebenar untuk melakukannya di negara-negara seperti Malaysia.”
Sebelum ini, pemimpin Pakatan Harapan lantang membantah aktiviti Lynas di Malaysia, mendakwa operasinya menjejaskan alam sekitar dan penduduk tempatan.
Bagaimanapun, hanya enam bulan selepas berkuasa, Anwar mengumumkan kerajaan telah meluluskan lanjutan selama enam bulan kepada Lynas Malaysia.
Susulan itu, bekas ahli Parlimen Bentong, Wong Tack, individu yang mengetuai siri protes terhadap syarikat itu, menuduh pimpinan PH bersikap hipokrit.
Pada 2023, Wong memberitahu MalaysiaNow bahawa beliau pernah membangkitkan isu Lynas dengan Anwar ketika pemimpin PKR itu menjadi ahli Parlimen Port Dickson.
Menurutnya, Anwar memberitahunya isu itu akan diselesaikan apabila beliau menjadi perdana menteri.
“Itu janji dia. Saya tunggu. Semua menteri bersama saya pada ketika itu, anti-Lynas dan menunggang isu rakyat. Selepas itu lupa. Semuanya jual naratif saja. Dalam politik mereka tidak buat apa-apa pun,” kata Wong.
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.
Langgan berita kami
Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.
Paling Popular
Tiada artikel ditemui.
