- Iklan -
Berita

Bekas ahli Parlimen persoal mengapa DAP senyap dalam isu Lynas

Wong Tack berkata beliau kecewa dengan langkah kerajaan melanjutkan tempoh operasi syarikat itu dan mempersoalkan sikap berdiam diri wakil DAP.

Azzman Abdul Jamal
2 minit bacaan
Kongsi
Gambar yang diambil pada 2 Februari 2012 ini menunjukkan seorang jurutera berjalan melepasi papan tanda Lynas di pejabat pentadbiran loji syarikat nadir bumi itu di Gebeng. Gambar: AFP
Gambar yang diambil pada 2 Februari 2012 ini menunjukkan seorang jurutera berjalan melepasi papan tanda Lynas di pejabat pentadbiran loji syarikat nadir bumi itu di Gebeng. Gambar: AFP

Bekas ahli Parlimen DAP yang menjuarai isu Lynas sebelum ini kecewa dengan tindakan kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim memberikan lanjutan masa kepada syarikat itu.

Wong Tack yang juga bekas ahli Parlimen Bentong dan aktivis alam sekitar mempersoalkan pendirian wakil rakyat DAP khususnya yang sebelum ini lantang bersuara menentang operasi syarikat berkenaan.

Katanya, perkembangan ini secara tidak langsung membuktikan "perjuangan" parti itu hanyalah sekadar membawa naratif untuk meraih undi semata-mata.

"Sangat mengecewakan kerana ketika pentadbiran Dr Mahathir Mohamad, kita ada lapan menteri dari roket (DAP)," katanya kepada MalaysiaNow

"Ketika itu, menteri yang mempunyai kuasa ialah dari DAP, Yeo Bee Yin. Tapi semua orang salahkan Mahathir seorang sahaja."

Pada 8 Mei, Anwar mengesahkan kerajaan memberi Lynas Malaysia tempoh lanjutan enam bulan untuk memenuhi syarat pelesenan beroperasi di negara ini.

Katanya, lanjutan masa itu disertai dengan syarat ketat dan akan sentiasa dipantau.

Isu operasi Lynas mendapat tentangan hebat dalam kalangan wakil rakyat daripada PKR dan DAP sejak 2012 apabila mendakwa operasi yang dijalankan oleh syarikat itu menggugat ketenteraman penduduk setempat apabila ia menjejaskan alam sekitar.

Pada ketika itu, Wong turut menganjurkan Kempen Hijau Anti Lynas dengan berarak sejauh 300 kilometer dari Kuantan Ke Kuala Lumpur selama 12 hari bersama kira-kira 200 peserta untuk meluahkan bantahan serta menggesa kerajaan menutup operasi kilang di ibu negeri Pahang itu.

Mengulas lanjut, Wong berkata, beliau pernah membawa isu ini kepada Anwar yang pada ketika itu hanya merupakan seorang ahli Parlimen Port Dickson dan tidak mempunyai kedudukan dalam kerajaan.

Disebabkan Anwar tidak mempunyai kuasa untuk membuat keputusan, maka Wong diminta bersabar dan isu akan diselesaikan apabila presiden PKR itu menjadi perdana menteri.

"Itu janji dia. Saya tunggu. Semua menteri bersama saya pada ketika itu, anti Lynas dan menunggang isu rakyat.

"Selepas itu lupa. Semuanya jual naratif saja. Dalam politik mereka tidak buat apa-apa pun. 

"Asalkan menang (pilihan raya) saja. Bukan untuk rakyat. Bukan tak boleh tidur kerana rakyat susah, cuma pentingkan undi," katanya.

Dalam pada itu, Wong berkata, beliau sehingga hari ini diminta untuk terus perjuangkan isu berkenaan, namun mengakui semakin berat hati untuk berbuat demikian apabila sudah melaksanakan pelbagai cara untuk ketengahkan masalah tersebut.

"Saya sudah buat apa yang terdaya," katanya. 

“Saya sudah suarakan isu ini banyak kali termasuk ketika saya menjadi ahli Parlimen bentong.

“Apa lagi yang saya boleh buat.”

MalaysiaNow sudah menghubungi Ahli Parlimen Bentong Young Syefura Othman untuk meminta penjelasan, tetapi masih gagal.