Kontrak RM1.3 bilion Kementerian Pendidikan untuk program makanan sekolah dipersoal
Ahli Parlimen mahu PAC siasat beberapa perkara yang menimbulkan kecurigaan, seperti syarikat terlibat dalam sektor yang tiada kaitan dengan penyediaan makanan.
Terkini
Pemberian kontrak bernilai RM1.32 bilion oleh Kementerian Pendidikan bagi bekalan makanan bermasak (BMB) ke sekolah dan institusi pendidikan seluruh negara mendapat perhatian seorang ahli Parlimen pembangkang, yang menurutnya membangkitkan beberapa isu mencurigakan berkaitan pihak yang memenangi tender tersebut.
Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Wan Saiful Wan Jan, merujuk kepada proses tender kementerian itu bagi pembekalan makanan siap masak bermula tahun 2027 yang melibatkan 245 sekolah dan institusi.
Beliau berkata sekurang-kurangnya 213 keputusan tender yang diumumkan bulan ini dengan nilai kira-kira RM1.32 bilion menimbulkan beberapa persoalan.
Ini termasuk pemberian kontrak bernilai jutaan ringgit kepada perniagaan yang namanya “melambangkan mereka terlibat dalam sektor lain” yang tidak ada kaitan, seperti khidmat kawalan makhluk perosak, perniagaan kereta dan syarikat keselamatan.
“Adakah mereka mempunyai pengalaman dan kepakaran berkaitan penyediaan makanan bermasak? Serta adakah mereka mempunyai dapur berlesen, sijil halal dan pekerja pengendali makanan terlatih?” soal Wan Saiful dalam suratnya yang menggesa Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) memulakan siasatan terhadap proses tender itu.
Beliau turut mempersoalkan sama ada perniagaan yang berdaftar sebagai “enterprise” mempunyai kemampuan kewangan mencukupi untuk melaksanakan kontrak tersebut, memandangkan pembayaran bagi kontrak kerajaan biasanya mengambil masa yang lama.
“Sekiranya kelewatan bayaran berlaku, mampukah kontraktor-kontraktor ini menampung kos operasi dan modal pusingan?” soalnya.
Di samping itu, semakan rawak olehnya mendapati sesetengah penerima kontrak menggunakan alamat rumah, kampung atau pangsapuri sebagai alamat berdaftar mereka.
Mengambil contoh salah satu kontrak bernilai RM3.08 juta untuk membekalkan makanan kepada SMK Seri Badong di Kedah, Wan Saiful berkata ia diberi kepada sebuah perniagaan yang beralamat di Kuala Terengganu.
Beliau menggesa Pengerusi PAC, Mas Ermieyati Samsudin, menyiasat proses perolehan tersebut.
Lihat lebih banyak liputan kami dalam hasil carian anda.
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.
Langgan berita kami
Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.
