Sistem IT Hospital Ampang rosak lagi di sebalik persoalan kontrak RM29 juta urus eHIS
Pesakit menunggu lama untuk mendapatkan rawatan selepas pihak hospital terpaksa beralih kepada proses manual.
Terkini
Hospital Ampang dilanda keadaan kelam-kabut susulan satu lagi insiden kerosakan sistem komputer yang memaksa pesakit dan staf bergantung kepada kaedah manual, sekali gus mengganggu prosedur rawatan dan memanjangkan masa menunggu sejak semalam.
Sistem Maklumat Hospital (eHIS) berhenti berfungsi sekitar tengah hari semalam dan gangguan masih berterusan ketika laporan ini ditulis.
Amaran mengenai gangguan berkenaan ditarik balik kira-kira jam 11 pagi ini, namun operasi masih belum pulih sepenuhnya.
Ia merupakan gangguan paling teruk sejak insiden serupa pada 23 April lalu yang berterusan lebih 30 jam, menyebabkan pelbagai kesulitan selama beberapa hari membabitkan pendaftaran masuk pesakit, prosedur ujian darah dan preskripsi ubat, selain penangguhan rawatan.
Insiden terkini berlaku di sebalik persoalan mengenai pemberian tender untuk menyelenggara eHIS di sebuah lagi hospital kerajaan kepada syarikat sama yang bertanggungjawab menyelenggara sistem tersebut di Hospital Ampang.
Pada 17 Ogos, MalaysiaNow melaporkan keputusan Kementerian Kesihatan pada Julai untuk menganugerahkan syarikat itu kontrak tiga tahun bernilai RM29.1 juta bagi penyelenggaraan Sistem Maklumat Hospital (eHIS) di Hospital Sultan Ismail di Johor, nilai yang kira-kira RM10 juta lebih tinggi berbanding kontrak yang diterimanya pada Februari di Hospital Ampang.
Syarikat tersebut enggan menjawab soalan MalaysiaNow dan berkata perkara itu perlu dirujuk kepada Kementerian Kesihatan.
Susulan gangguan semalam, pihak hospital mengaktifkan pelan kesinambungan perkhidmatan untuk memastikan prosedur rawatan dapat diteruskan secara manual sementara sistem IT dipulihkan.
“Saya mengarahkan jururawat untuk memanggil pesakit secara manual dan memintas proses pendaftaran. Itulah yang kami lakukan ketika gangguan sebelum ini,” kata seorang pegawai perubatan kepada MalaysiaNow yang tidak mahu namanya disiarkan.
Tinjauan di hospital menunjukkan orang ramai sejak awal pagi memenuhi ruang lobi sementara menunggu giliran untuk menerima rawatan.
Portal kesihatan awam CodeBlue sebelum ini melaporkan Hospital Ampang – antara yang terawal memperkenalkan Sistem Maklumat Hospital Bersepadu (THIS) yang sepenuhnya menggunakan komputer – mengalami gangguan sistem lebih 10 kali tahun lepas, di mana gangguan pada 23 April merupakan yang terburuk.
Difahamkan pegawai kementerian terpaksa campur tangan untuk mencari penyelesaian ketika keadaan tidak menentu ketika itu.
MalaysiaNow telah menghubungi Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad untuk mendapatkan respons mengenai gangguan hari ini.
Sebelum ini, beliau berjanji akan menyemak dengan pihak berkaitan untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai kontrak kepada syarikat terbabit.
“Saya mengalu-alukan anda untuk menjalankan siasatan mengenai sebarang pelanggaran atau ketidakpatuhan,” katanya kepada MalaysiaNow.
Lihat lebih banyak liputan kami dalam hasil carian anda.
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.
Langgan berita kami
Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.
Artikel Berkaitan
Paling Popular
Tiada artikel ditemui.
