Di sebalik skandal seks Nvidia, laporan dedah penglibatan orang Trump dengan pusat data bakal dibuka di Johor
The New York Times melaporkan firma yang pernah dimiliki Setiausaha Perdagangan AS, Howard Lutnick terus berurusan dengan sebuah syarikat Singapura yang sedang membina pusat data A201 bernilai ratusan juta dolar.
Terkini
Dasar kerajaan yang membenarkan percambahan pusat data, semakin tidak disenangi orang ramai kini mungkin berdepan halangan susulan kontroversi berkaitan Nvidia, di mana sebuah laporan baharu mendedahkan konflik kepentingan membabitkan Setiausaha Perdagangan Amerika Syarikat, Howard Lutnick.
Akhbar New York Times (NYT) mendedahkan bahawa sebuah pusat data yang dirancang di Johor, dikenali sebagai A201, dijangka menempatkan pelayan kecerdasan buatan (AI) tercanggih keluaran Nvidia bernilai ratusan juta dolar, yang bakal menjana kuasa pengkomputeran kepada gergasi teknologi China, Tencent, sekali gus melanggar sekatan yang dikenakan AS terhadap eksport cip seumpamanya ke China.
Pusat data itu sedang dibangunkan oleh Bitdeer, sebuah syarikat berpangkalan di Singapura yang mempunyai urusan kewangan dengan Cantor Fitzgerald.
Cantor Fitzgerald ialah sebuah firma pelaburan yang dahulunya diterajui oleh Lutnick, individu yang kini bertanggungjawab menyelia peraturan AS mengenai urusan eksport cip.
Menurut Datacenters.com, yang membutirkan pusat data di seluruh dunia bagi membantu syarikat teknologi, pusat data A201 milik Bitdeer terletak di Johor Bahru. Bagaimanapun, laman tersebut tidak dapat memberikan maklumat mengenai saiz atau kapasiti tenaga pusat data itu.
Menurut NYT, selepas dilantik dalam pentadbiran Donald Trump, Lutnick memindahkan pemilikan Cantor Fitzgerald kepada anak-anaknya. Namun, firma tersebut terus menjalankan urusan perniagaan dengan pengendali pusat data di Asia Tenggara, pihak yang memperoleh keuntungan daripada akses kepada cip canggih yang dihasilkan Nvidia.
NYT melaporkan Cantor Fitzgerald bertindak sebagai ejen bagi tawaran saham Bitdeer yang bernilai sehingga US$1 bilion pada tahun ini.
AS menyekat penjualan terus cip AI tercanggihnya ke China atas kebimbangan bahawa teknologi tersebut boleh membantu ketenteraan dan perisikan Beijing.
Namun, syarikat China memintas sekatan tersebut dengan menyewa pusat data di Malaysia. Langkah itu mendorong Washington mengenakan kawalan lebih ketat terhadap pusat data di luar negara yang berurusan dengan pelanggan dari China.
NYT turut melaporkan bahawa Lutnick cuba melonggarkan kawalan eksport itu ke beberapa negara seperti Malaysia, Singapura, Thailand dan Indonesia.
Perhatian semakin tertumpu kepada pusat data susulan pendedahan melibatkan pengasas bersama dan bekas ketua pegawai eksekutif Nvidia, Jensen Huang, serta hubungannya dengan Alice Huang, seorang wanita warganegara China yang didakwa perisikan AS sebagai seorang perisik.
Huang mengakui menjalin hubungan sulit dengan Alice, yang sebelum ini mengetuai Megaspeed, sebuah syarikat pengkomputeran awan yang mengendalikan pusat data di seluruh Asia Tenggara.
Pada 12 November, Huang meletak jawatan sebagai CEO Nvidia.
Ia seterusnya mencetuskan tumpuan terhadap Megaspeed, berikutan dakwaan ia mungkin terlibat dalam menyalurkan cip Nvidia yang tertakluk kepada sekatan kepada syarikat-syarikat China.
Megaspeed diwakili sekutunya di Malaysia, Speedmatrix Sdn Bhd, yang telah membeli peralatan cip Nvidia bernilai sekurang-kurangnya AS$4.8 bilion antara Jun 2024 dan Februari 2026, menurut NYT.
Pada 2024, AS melancarkan siasatan sama ada cip-cip tersebut dihantar untuk kegunaan China.
Perkembangan itu mengalihkan perhatian kepada sektor pusat data di Malaysia, memandangkan wujud kemungkinan Malaysia dijadikan platform bagi syarikat China mengakses teknologi canggih dari AS.
Perkara ini berlaku ketika pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim menonjolkan pusat data sebagai penyumbang kepada ekonomi Malaysia, meskipun berdepan tentangan yang semakin meningkat berhubung penggunaan tenaga elektrik dan air yang tinggi, penggunaan tanah, serta kesan terhadap alam sekitar.
Sabtu lalu, kebimbangan orang ramai mengenai pusat data diluahkan oleh Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah, yang menggesa pihak berkuasa mengkaji kesannya.
Sejak 2021, Malaysia meluluskan pembinaan pusat data berjumlah RM385.7 bilion. Namun, pengkritik berkata ia hampir langsung tidak menyumbang dari segi pemindahan teknologi mahupun peluang pekerjaan, berbeza dengan pelaburan berkaitan teknologi maklumat pada masa lalu.
Pusat data, AI dan Nvidia
Teknologi kecerdasan buatan (AI) beroperasi menggunakan cip komputer canggih yang dikenali sebagai GPU, dan antara cip paling baik dalam kategori ini dihasilkan oleh Nvidia. Beribu-ribu cip sebegini dipasang di bawah satu bumbung yang dipanggil pusat data.
Cip-cip tersebut menjadi penggerak di belakang program seperti ChatGPT, namun ia juga boleh digunakan untuk tujuan persenjataan dan perisikan, iaitu punca AS mahu menyekat pihak yang boleh mendapatkan cip-cip tersebut.
Biro Industri dan Keselamatan (BIS) Amerika Syarikat, sebuah unit Jabatan Perdagangan yang diterajui Lutnick, dipertanggungjawabkan mengawal eksport cip sebegini, termasuk menentukan apa yang boleh dijual oleh syarikat AS ke luar negara.
Antara peraturan yang ditetapkan ialah cip keluaran Nvidia tidak boleh dijual atau dihantar ke China.
Bagaimanapun, China menemui cara berkesan untuk memintas sekatan tersebut, iaitu dengan menggunakan cip tersebut di pusat data yang dikendalikan oleh firma di Malaysia, yang menawarkan penggunaan cip-cip berkenaan tanpa melanggar undang-undang.
Sebelum ini, akhbar The Wall Street Journal melaporkan bahawa ByteDance, yang memiliki TikTok, merupakan antara syarikat China yang menggunakan 36,000 cip Nvidia milik sebuah syarikat pusat data yang berpangkalan di Singapura.
Lihat lebih banyak liputan kami dalam hasil carian anda.
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.
Langgan berita kami
Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.
