- Iklan -
Berita

'Pukul anak sindir menantu': Pemimpin BN bimbang jadi sasaran selepas Umno putus dengan Anwar

Mereka dihantui nasib pihak yang diheret ke dalam siasatan rasuah dan dikenakan pertuduhan jenayah.

MalaysiaNow
4 minit bacaan
Kongsi

Terdapat kebimbangan yang semakin meningkat dalam kalangan Barisan Nasional bahawa tindakan pemimpin gabungan itu memutuskan kerjasama politik dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, seperti yang berlaku di Melaka dan Negeri Sembilan, mungkin menjadikan mereka sasaran siasatan dan pertuduhan jenayah yang sering dikenakan ke atas pengkritik, menurut tiga sumber Umno termasuk seorang bekas menteri kanan kepada MalaysiaNow.

Mereka merujuk kepada siri pertuduhan rasuah terhadap pengkritik kerajaan sebelum ini, termasuk pemimpin pembangkang, sambil menambah terdapat siasatan berterusan yang boleh diaktifkan semula serta kes yang belum dimuktamadkan melibatkan pemimpin Umno dan MIC.

"Kes-kes ini seolah-olah sengaja dibiarkan terbuka walaupun terdapat bukti kukuh dan jelas yang ditemui SPRM," kata seorang pemimpin Umno kepada MalaysiaNow, merujuk kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

"Sebelum ini, ramai pemimpin pembangkang dan ahli Parlimen menjadi sasaran siasatan, sehingga ada yang terpaksa menyokong kerajaan. Bayangkan jika siasatan serupa dikenakan terhadap pemimpin Umno supaya mereka kembali menyokong," kata bekas ahli Parlimen itu.

Menurut satu lagi sumber, nasib bekas timbalan presiden PKR, Rafizi Ramli, yang menjadi subjek siasatan SPRM ketika beliau semakin lantang mengkritik Anwar, memberikan petanda mengenai apa yang bakal menimpa pemimpin Umno kerana "mengkhianati kerajaan perpaduan".

"Yang patut dipersalahkan kerana memecah belah kerajaan perpaduan ialah pemimpin tertinggi, tetapi yang membayar harga ialah pemimpin BN yang tidak mempunyai jawatan dalam kerajaan. Ini seperti 'pukul anak sindir menantu'," kata sumber itu, menggunakan kiasan Melayu yang bermaksud melepaskan kemarahan kepada pihak ketiga untuk menghantar isyarat kepada pihak yang sebenar disasarkan.

MalaysiaNow tidak dapat mengesahkan sama ada wujud siasatan baharu yang akan dilancarkan terhadap ahli politik BN, atau mengenai rancangan membawa pertuduhan yang dikaitkan dengan siasatan yang belum selesai.

"Ini semua spekulasi sahaja. Kami menguruskan kes rasuah bukan berdasarkan suasana politik," kata seorang pegawai kanan SPRM yang enggan namanya disiarkan.

Ketegangan yang semakin memuncak antara pemimpin BN dan PH menyebabkan tamatnya kerajaan campuran di Negeri Sembilan dan Johor, dan dua negeri itu kini menuju pilihan raya yang menyaksikan mereka kembali bersaing seperti pada pilihan raya umum 2022.

Di sebalik ramalan bahawa kesan perpecahan itu boleh merebak ke negeri lain dan akhirnya ke peringkat pusat, ramai menganggap Anwar dan gabungan PH sukar mendapat undi Melayu yang sangat penting dalam membentuk kerajaan, sekiranya pilihan raya umum terpaksa diadakan.

Walaupun pelbagai pertuduhan jenayah dibawa terhadap ahli politik yang menentang kerajaan, tumpuan adalah kepada SPRM di sebalik dakwaan campur tangan politik, terutamanya di bawah bekas ketua pesuruhjayanya Azam Baki, yang ketika berkhidmat di bawah pentadbiran yang silih berganti menyaksikan badan itu menyasarkan pengkritik kerajaan dan ahli politik pembangkang.

"Dulu, Azam dan SPRM mudah digunakan untuk memastikan kesetiaan orang politik. Sekarang, tidak pasti sama ada siasatan rasuah boleh menjadi senjata ampuh dalam memaksa seseorang kekal di dalam saf," kata sumber sama.

Siasatan sedemikian paling ketara sejak 2023, di mana ramai pemimpin pembangkang menjadi sasaran tuduhan rasuah, termasuk bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dan bekas menteri kewangan Daim Zainuddin.

Pada 2024, Bloomberg memetik sumber dalaman SPRM yang mendakwa Anwar mencampuri urusan badan anti-rasuah itu dan mengarahkan Azam untuk menyiasat musuh politiknya, pada masa sama tidak menyiasat bekas pembantu politiknya, Farhash Wafa Salvador.

Dakwaan campur tangan itu bukan sesuatu yang baharu, dan berlarutan selama bertahun-tahun. Ramai berpendapat Anwar menggunakan taktik lama dengan agensi penguatkuasaan ke atas pengkritik untuk mengukuhkan kuasa, dan pada masa sama memberikan ganjaran kepada mereka yang setia.

Sekian lama pengkritik melihat beberapa siri keputusan untuk menggugurkan siasatan terhadap beberapa individu terkait Umno dengan keputusan presiden parti itu, Ahmad Zahid Hamidi, untuk menyokong Pakatan Harapan yang dipimpin Anwar selepas pilihan raya umum lalu, sekaligus membuka jalan untuk presiden PKR itu memenuhi cita-citanya menjadi perdana menteri.

Contoh paling menonjol melibatkan Zahid sendiri, di mana 47 pertuduhan rasuahnya diberikan DNAA, atau dilepaskan tanpa dibebaskan, oleh peguam negara. Langkah itu walaupun mahkamah mendapati wujud kes prima facie untuk Zahid dibicarakan, dan mencetuskan perdebatan mengenai kuasa perdana menteri untuk melantik peguam negara.

Awal tahun ini, semua 47 pertuduhan terhadap Zahid digugurkan sepenuhnya.

Akhir tahun lalu, peguam negara membatalkan rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membebaskan isteri bekas perdana menteri Najib Razak, Rosmah Mansor, daripada 17 pertuduhan pengubahan wang haram dan pengelakan cukai.

Bekas perdana menteri Ismail Sabri pula terlibat dalam siasatan pengubahan wang haram tidak lama selepas beliau mempersoalkan ketelusan permohonan pengampunan diraja Najib dan keengganan kerajaan melaksanakan titah adendum supaya bekas bos Umno itu menjalani baki hukuman penjara sebagai tahanan rumah.

Siasatan terhadap Ismail menyaksikan beberapa serbuan SPRM, di mana pihak berkuasa menemui wang bernilai kira-kira RM177 juta dalam pelbagai mata wang, serta 16 kg jongkong emas.

Ismail tidak mencabar permohonan pelucutan hak oleh SPRM, dan wang serta dana yang dirampas kini menjadi milik kerajaan. Meskipun rampasan ini berskala besar, peguam negara masih belum membawa sebarang pertuduhan.

Sementara itu, terdapat spekulasi yang semakin kuat bahawa seorang bekas menteri dari MIC, parti komponen BN yang tidak senang dengan pentadbiran semasa, bakal menjadi sasaran siasatan berhubung penyelewengan dana berkait skim insurans kerajaan, Perkeso.

Sejak kebelakangan ini, butiran mengenai kes tersebut semakin didedahkan, walaupun siasatan dilancarkan lebih empat tahun lalu ketika M Saravanan, timbalan presiden MIC ketika itu, masih menjawat menteri sumber manusia di bawah pentadbiran Ismail.

Walaupun MIC merupakan sebahagian daripada pentadbiran Anwar, Saravanan kerap mengkritik perdana menteri dan menggesa BN menarik diri daripada kerajaan.

Kini, ketika tindak-tanduk BN semakin jelas akan menyebabkan PH kehilangan sokongan penting yang diperlukan untuk kekal berkuasa, ada kemungkinan Anwar memilih pendekatan "hukuman dan ganjaran" sebagai amaran kepada pihak yang mahu mengganggu pentadbirannya.

"Sama ada pendekatan itu berjaya atau tidak, tidak pasti. Tetapi buat masa ini, kebimbangan itu nyata, terutamanya apabila melibatkan kes yang belum dimuktamadkan," kata seorang ahli Parlimen Umno.