Calon tua, pengundi muda: Mungkinkah Malaysia alami kejutan pilihan raya seperti kemenangan Vijay-Mamdani?
Jutaan rakyat Malaysia dalam kategori Gen Z yang belum pernah mengundi mana-mana pemimpin berpotensi memberi kesan besar pada pilihan raya akan datang.
Terkini
Sejak dua bulan lalu, perpecahan dalaman parti politik telah membawa kepada pembentukan gabungan dan kerjasama baharu, menyebabkan pengundi, terutamanya orang muda, mungkin keliru apabila berdepan kertas undi yang dipenuhi nama-nama ahli politik bertanding untuk kerusi sama walaupun sebelum ini merupakan kawan.
Di pihak kerajaan, perpecahan yang semakin teruk antara Pakatan Harapan dan Umno memberi tekanan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk mengadakan pilihan raya umum lebih awal, di mana sekurang-kurangnya dua sumber PKR memaklumkan mengenai percubaan mewujudkan konflik seperti yang dilihat di Negeri Sembilan dan Johor dalam usaha memaksa pilihan raya negeri.
Ketegangan PH-Umno semakin terasa, terutama selepas Anwar dan pemimpin PH melancarkan serangan tajam terhadap Umno dalam siri perhimpunan baru-baru ini.
Anwar meluahkan kekecewaan terhadap tindakan Umno yang terus menjauhkan diri daripada kerajaan perpaduan yang disertainya pada 2022, ketika ia menerima talian hayat yang seterusnya memenuhi cita-cita pemimpin tertinggi PKR itu menduduki jawatan tertinggi.
Minggu lalu, Anwar membidas pihak yang cuba memaksa pilihan raya umum awal, sambil menuduh mereka mengkhianati semangat kerjasama yang terbentuk hampir empat tahun lalu.
"Saya sabar, kadang-kadang saya fed up (muak). Cakap bela rakyat, jaga rakyat, perpaduan, (tetapi) kerja khianat jatuhkan," katanya pada perhimpunan PH minggu lalu, menyelar pimpinan Umno di Johor dan Negeri Sembilan yang memutuskan hubungan dengan PH untuk memaksa pilihan raya negeri.
Menurut sumber, Anwar tidak mempunyai pilihan selain melakukan serangan, di sebalik spekulasi bahawa sekurang-kurangnya dua lagi negeri di mana PH dan Umno membentuk kerajaan negeri mungkin turut merasakan bahang pilihan raya.
"Jika ini berlaku, jangkaannya ialah beliau akan mengadakan PRU," kata seorang ahli Parlimen PKR yang enggan namanya disiarkan kepada MalaysiaNow.
Konflik PH-Umno bukan satu-satunya isu yang bakal mencorakkan pilihan raya umum akan datang.
Beberapa perubahan lain sudah pun mengelirukan segmen pengundi terbesar dan mungkin paling kritikal: kelompok Gen Z dan pengundi baharu berusia antara 18 hingga 26 tahun.
Di tengah-tengah kekeliruan ini ialah watak lama yang kini mengemudi kerjasama baharu.
Di pihak pembangkang, kumpulan yang dipimpin Hamzah Zainuddin, antara yang disingkirkan beramai-ramai daripada Bersatu, mengumumkan parti baharu bernama Parti Wawasan Negara.
Parti tersebut mendapat restu pimpinan tertinggi PAS, yang memutuskan hubungan dengan Bersatu yang dipimpin Muhyiddin Yassin.
Sementara itu, Perikatan Nasional yang dibina oleh PAS dan Bersatu kini tidak menentu dengan ketiadaan kata sepakat mengenai hala tuju, menjadikan gabungan itu seperti kenderaan terabai.
PKR pula menyaksikan tindakan Rafizi Ramli keluar parti untuk menubuhkan Bersama, disokong beberapa pemimpin parti lain yang selama 30 bulan memutuskan untuk kekal dalam kerajaan walaupun berdepan kemarahan terhadap kegagalan Anwar melaksanakan janji, serta sikap pentadbirannya yang semakin tidak senang dengan kritikan umum.
Pemimpin yang semakin berusia
Hakikatnya, tiada satu pun parti politik, termasuk yang baharu, dipimpin oleh pemimpin yang boleh dikategorikan sebagai muda, manakala calon perdana menteri rata-rata melebihi usia 60 tahun.
Ahmad Samsuri Mokhtar, 56, yang disebut-sebut PAS sebagai layak menjadi perdana menteri, boleh dianggap lebih muda berbanding ahli politik lain yang telah lanjut usia. Namun, beliau dilihat tidak mempunyai kuasa dalam partinya, di mana keputusan selalunya dimuktamadkan oleh pemimpin berusia 79 tahun yang ucapannya hampir dianggap sebagai fatwa.
Namun, Presiden PAS, Abdul Hadi Awang bukan satu-satunya yang bakal melepasi usia "siri lapan".
Dalam PKR, Anwar, kini perdana menteri paling tua yang masih berkhidmat – jika tidak mengambil kira pentadbiran singkat Dr Mahathir Mohamad pada 2018-2020 – bakal mencecah usia 80 tahun pada tahun depan. Dengan kata lain, Anwar kini dua kali ganda usianya ketika mula-mula mengorak langkah menuju jawatan perdana menteri.
Begitu juga ahli politik Melayu lain yang sering disebut-sebut sebagai calon perdana menteri: Hamzah akan mencapai usia 70 tahun pada tahun depan, manakala Muhyiddin pula mencecah usia 80 tahun. Sementara itu, Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi kini sudah berusia 73 tahun.
'Upset' pilihan raya oleh Mamdani dan Vijay
Apakah pilihan yang tersedia untuk pengundi muda – golongan berumur antara 18 hingga 35 tahun, termasuk Gen Z – pada pilihan raya umum ke-16 yang perlu diadakan pada 2027?
Ahli politik tidak boleh mengabaikan kelompok ini, walaupun sebahagian besar orang muda kurang berminat dengan politik. Manakala dalam kalangan yang berminat, golongan ini tidak terbeban dengan "baggage" masa lalu dan mungkin akan memilih sesiapa sahaja yang paling dekat dengan keperibadian dan gaya hidup mereka.
Sikap inilah yang mempengaruhi beberapa insiden pergolakan politik dan pilihan raya baru-baru ini di negara lain seperti Nepal, Bangladesh dan Indonesia, serta pemilihan datuk bandar New York, dan yang terbaru di negeri Tamil Nadu, India.
Di New York, Zohran Mamdani, calon termuda yang berdepan barisan individu lebih berpengalaman dan memiliki dana lebih besar, akhirnya mencipta kejutan terbesar dalam sejarah pilihan raya Amerika Syarikat.
Di Tamil Nadu, Joseph Vijay yang berusia 51 tahun mengejutkan semua apabila menewaskan dua seteru utama dalam perebutan jawatan ketua menteri – MK Stalin dan Edappadi K Palaniswami – kedua-duanya 20 tahun lebih tua daripadanya.
Parti Tamilaga Vettri Kazhagam (TVK) yang dipimpin Vijay baru ditubuhkan, dengan barisan calon yang lebih muda. Kira-kira 40% daripada calonnya yang menang berusia di bawah 40 tahun.
Ramai mengakui bahawa kejayaan mengejutkan Vijay didorong oleh usia muda dan daya tariknya di bandar-bandar, yang membolehkannya meraih sokongan Gen Z dan pengundi baharu.
Namun, faktor lebih penting ialah naratif politik segar yang dibawa partinya.
"Beliau muncul ketika pemimpin sedia ada dilihat lesu dan letih. Beliau mewakili orang muda – dan menampilkan interaksi segar dalam berhubung dengan jenis pemimpin yang diimpikan pengundi," kata ahli akademik terkemuka India, Shiv Visvanathan, kepada BBC ketika mengulas kemenangan Vijay.
8.5 juta pengundi muda
Tidak pasti sama ada pemimpin politik di Malaysia, terutama yang cuba membawa imej dan daya tarikan lebih muda, mampu mengulangi kejayaan Mamdani dan Vijay.
Buat masa ini, kebanyakan ahli politik "muda" dilihat sebagai "underdog", termasuk dari MUDA, parti yang didukung "orang muda" yang pada PRU lalu hanya memperoleh 0.5% undi popular, walaupun ketika itu bekerjasama dengan PH. Pada PRU tersebut, pengundi baharu berumur 18–20 tahun hanya membentuk 16% daripada tujuh juta pengundi baharu yang layak secara automatik.
Jumlah itu kini semakin meningkat. Bukan sahaja mereka yang berumur 18–22 tahun, yang tidak dapat mengundi pada PRU 2022, kini layak sebagai pengundi, malah jumlah pengundi Gen Z berumur 18–28 tahun juga telah bertambah.
Apabila golongan ini digabungkan dengan mereka yang berumur sehingga 35 tahun, undi orang muda menjadi kuasa penentu pada pilihan raya akan datang, membentuk kira-kira 40% daripada jumlah pengundi.
Berdasarkan data terkini yang diperoleh MalaysiaNow, terdapat 8,550,984 pengundi dalam lingkungan umur 18–35 tahun sekiranya pilihan raya umum diadakan sekarang.
Daripada jumlah tersebut, 1,811,723 merupakan pengundi kali pertama, yang bertambah secara automatik apabila mereka mencapai umur minimum 18 tahun sejak PRU 2022.
Seramai 1.8 juta pengundi baharu tidak pernah mengundi mana-mana ahli politik yang kini berkuasa, menjadikan mereka golongan penentu (kingmaker) yang kritikal.
Namun, di sebalik semua angka itu, faktor sama yang mendorong golongan "underdog" seperti Mamdani dan Vijay juga wujud di Malaysia, iaitu kemerosotan parti-parti sedia ada dan muka lama yang masih mendominasi politik arus perdana.
TVK pimpinan Vijay tidak mempunyai pengalaman politik dan berdepan dengan parti-parti yang sudah lama bertapak.
Begitu juga Mamdani, seorang anak pendatang di New York, yang menentang bekas gabenor dan seterusnya menjadi datuk bandar Muslim pertama di sebuah bandar raya dengan populasi Yahudi terbesar di luar Israel.
Pilihan raya negeri yang bakal diadakan di Johor dan Negeri Sembilan, serta pilihan raya umum yang semakin hampir, akan menunjukkan sama ada kisah kejayaan mereka boleh diulangi di Malaysia.
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.
Langgan berita kami
Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.
