Di musim Aidiladha, kebencian ala Trump terhadap migran menonjolkan ironi semangat korban di Malaysia
Seorang aktivis terkemuka meluahkan kekecewaannya terhadap limpahan komen kebencian yang mengabaikan salah satu kewajipan penting dianjurkan Islam.
Terkini
Peningkatan komen dalam talian oleh sebilangan rakyat Malaysia yang mengadu mengenai pelarian dan migran yang ditimpa musibah mendapat perhatian seorang aktivis sosial terkemuka, yang meluahkan kekecewaannya apabila kebencian semakin bertopengkan patriotisme, walaupun ia bercanggah dengan ajaran Al-Quran yang menganjurkan umat Islam membuka pintu rumah kepada golongan yang terpaksa melarikan diri dari penindasan di tanah air mereka.
Hartini Zainuddin, aktivis hak kanak-kanak yang kerap turun ke jalanan untuk melindungi dan kadangkala menyelamatkan nyawa kanak-kanak terbiar, menukilkan kesedihannya terhadap kebanjiran komen di media sosialnya, hanya kerana usahanya memastikan kanak-kanak migran dan gelandangan tidak mati akibat karenah birokrasi yang menghalang mereka menerima rawatan segera.
Walaupun berdepan ejekan dan herdikan, Hartini, pengasas pusat krisis sehenti 24 jam Yayasan Chow Kit untuk membantu kanak-kanak terabai, berikrar tidak akan meminggirkan mana-mana insan yang memerlukan rawatan perubatan dan tempat perlindungan.
Beliau terkejut dengan komen-komen yang mempersoalkan usahanya, lebih-lebih lagi pada minggu sama tema pengorbanan bergema di seluruh negara ketika umat Islam menyambut Aidiladha.
"Kita baru sahaja sambut Hari Raya Aidiladha. Meraikan pengorbanan. Hari untuk mengingatkan bahawa kita menyerahkan apa yang paling kita sayangi. Hari di mana kita berkongsi dengan jiran, orang yang tidak dikenali, mereka yang tiada apa-apa," kata Hartini, yang selama tiga dekad terlibat dalam kerja kebajikan kanak-kanak terpinggir.
"Tetapi pada minggu yang sama, kita berkongsi kiriman yang bertujuan menakut-nakutkan orang ramai dan menyemai kebencian terhadap keluarga-keluarga yang baru saya gambarkan."
Menurut Hartini, pada 31 Mei, iaitu hari keempat Hari Raya Aidiladha, beliau ke Melaka untuk membawa dua bayi kecil yang dijaja oleh bapa mereka, supaya ditempatkan dengan keluarga angkat.
"Dia tidak mahu anak-anaknya dan tak mampu membesarkan mereka, dan ibu kandung mereka sedar anak-anak ini memerlukan lebih daripada yang dia mampu berikan. Saya tidak terdetik untuk menyoal sama ada mereka Rohingya. Mereka didapati bayi keturunan Melayu Malaysia. Tetapi saya tidak pun mahu periksa dulu," tulisnya.
"Saya tidak pernah memeriksa dulu. Itulah isunya. Kamu mahu saya minta dokumen sebelum bayar deposit? Apakah saya jenis manusia sebegitu? Apakah kita negara sebegitu?"
Seminggu sebelum itu, Hartini diberitahu sebuah hospital enggan menerima bayi berusia 15 bulan yang menghidap meningitis, hanya kerana tiada deposit.
"Saya hadir di sana untuk membayarnya. Jika tidak, dia akan mati. Ini bukan kiasan, tapi mati di jalanan, di tengah hujan, disebabkan deposit."
Terdahulu, Hartini terpaksa mengeluarkan simpanan KWSP untuk menyelamatkan nyawa seorang bayi pramatang berusia enam bulan yang mengalami masalah jantung.
"Pendapatan ayahnya RM1,500 sebulan. Ibunya di rumah menjaga dua bayi di bawah umur dua tahun. Tiada kad UNHCR. Tidak boleh diwadkan.
"Apakah di dahinya tertera 'tanpa dokumen'? Tidak layak? Rohingya? Ia hanya tertera enam bulan. Ia tertera jantungnya berlubang. Ia tertera dia memerlukan bantuan!" tulis Hartini, seolah-olah pasrah di tengah-tengah kempen dalam talian yang menjadikan orang sepertinya sasaran serangan.
Kebencian anti-migran ala Trump
Pemerhatian di media sosial mengenai pelarian dan migran menunjukkan peningkatan ucapan kebencian berasaskan kaum yang membimbangkan, dengan ada yang melancarkan kempen petisyen menggesa mereka diusir keluar.
Terdapat juga kempen hasutan yang kelihatan diselaraskan beberapa individu anti-migran, yang memuat naik seruan untuk membanjiri ruang media sosial UNHCR.
"So ini ikhtiar kita, banjirkan email, Facebook message mereka dengan semua isu yang kita hadapi. Kita ikhtiar mana yang boleh," kata pengguna Threads bernama Catheeja, yang hampir keseluruhan kirimannya menuduh golongan pelarian melakukan jenayah, di samping menggesa orang ramai memberi sedekah hanya kepada warga Malaysia.
Peningkatan sentimen anti-migran seterusnya bertukar kepada percubaan untuk memburu seorang aktivis hak asasi Rohingya tempatan.
Zafar Ahmad Abdul Ghani, presiden Pertubuhan Hak Asasi Manusia Etnik Rohingya Myanmar (Mehrom), melahirkan kebimbangan terhadap keselamatan keluarganya selepas catatan media sosial yang meminta alamat kediamannya.
"Saya tidak tahu apa yang berlaku. Orang ramai mencari lokasi saya lagi. Mereka bertanyakan ramai Rohingya alamat rumah saya," Zafar, yang isteri dan anak-anaknya merupakan warganegara Malaysia, memberitahu MalaysiaNow.
Peringatan Suhakam
Ucapan menghina golongan pelarian ini juga mendapat tempat dalam laporan berita yang memetik "aktivis" kurang dikenali, yang cuba membangkitkan kononnya "Rohingya bakal mengambil alih negara".
Salah seorang daripada mereka mempersoalkan golongan Rohingya yang berkemampuan melakukan ibadah korban.
"Rakyat melihat ada pelarian yang bebas berniaga, bekerja dan memandu kenderaan sehinggakan Aidiladha tahun ini di Selayang, mereka mampu membeli 70 lembu korban yang dianggarkan bernilai lebih RM700,000 keseluruhan. Mana mereka dapat duit?" Harian Metro memetik Mohd Sophian Mohd Zain, pengerusi organisasi dikenali "Persatuan Kebajikan Suprlus Pulau Pinang".
Sophian turut kecewa kerana pelarian diberikan kad UNHCR, walaupun dokumen tersebut bertujuan membantu pihak berkuasa mengenal pasti individu yang benar-benar layak digelar pelarian.
Di platform X, seorang pengguna bernama "Seluang Melaut" secara terbuka menunjukkan sikap perkauman.
“Kerajaan biarkan mereka berkeliaran di dalam komuniti kita yang kena hidup di celah-celah Rohingya yang busuk ini,” tulisnya menggunakan bahasa Islamofobia yang pernah digunakan Presiden Donald Trump terhadap komuniti Somalia di Amerika Syarikat, yang berulang kali dilabelnya sebagai "kotor".
Sementara itu, Ishak Muslim memberikan alasan "pelancongan" dalam menggesa pengusiran besar-besaran pelarian Rohingya, yang digambarkannya sebagai pengemis jalanan.
"Patut halau semuanya orang Rohingya ni. Kat KL penuh puak-puak kacau pelancong minta sedekah paksa-paksa, dan memalukan orang Malaysia yang pelancong ingat tempatan."
Ledakan komen kebencian itu mengundang kecaman Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia.
"Penyebaran komen berunsur penghinaan dan naratif kebencian yang menyasarkan pelarian Rohingya dalam meraikan sambutan keagamaan amat membimbangkan dan mencerminkan nilai kemanusiaan yang semakin buruk dalam kalangan masyarakat," menurut kenyataan Suhakam pada 3 Jun.
Badan itu berkata nasib yang menimpa masyarakat Rohingya adalah tergolong dalam kategori genosid, seperti juga nasib rakyat Palestin yang mendapat pembelaan rakyat Malaysia.
"Masyarakat antarabangsa telah mengecam kemusnahan dan kehilangan nyawa orang awam di Gaza. Komitmen yang sama terhadap maruah manusia dan keadilan juga perlu diberikan kepada semua golongan yang berdepan penindasan, termasuk masyarakat Rohingya yang telah melalui puluhan tahun diskriminasi secara sistematik, ketiadaan kewarganegaraan, pemindahan secara paksa dan pelbagai kekejaman besar-besaran di Myanmar."
Semangat hijrah yang diabaikan
Sebahagian besar komen nampaknya dimuat naik oleh pengguna beragama Islam.
Hartini terkilan dengan ironi tersebut, sambil mengingatkan perjuangan awal umat Islam di Mekah, sehingga terpaksa membuat perjalanan sukar lebih 400 km merentasi padang pasir di Semenanjung Arab untuk berhijrah ke Madinah, di mana mereka disambut oleh penduduk Ansar.
"Kaum Ansar tidak meminta dokumen sebelum mereka membuka pintu rumah mereka. Ini bukan sekadar nota kaki dalam sejarah kita. Ia adalah perkara asas.
"Orang Rohingya dianiaya kerana mereka beragama Islam. Mereka melarikan diri kerana mereka beragama Islam. Dan sebahagian daripada kita, juga beragama Islam, enggan mengakui persamaan agama ini dan mencari alasan untuk mengalihkan pandangan. Mengapa? Kerana mereka bukan berambut perang dan bermata biru? Jujurlah," kata Hartini.
"Saya tidak tahu sama ada kita faham apa yang kita lakukan. Tetapi ini bukan ajaran Islam."
Beliau memberikan peringatan kepada pihak yang mempersoalkan individu seperti beliau mengenai seruan Al-Quran untuk melindungi golongan yang melarikan diri daripada penindasan.
"Surah Al-Hashr (59:9) memuji mereka yang membuka pintu rumah kepada pelarian walaupun mereka sendiri dalam keadaan memerlukan. Ayat Al-Quran 9:6 jelas: menjadi kewajipan umat Islam untuk melindungi mereka yang terlantar."
Hartini berkata kempen kebencian bertambah sengit menjelang musim pilihan raya, disebabkan sesetengah ahli politik cuba mendapat laba daripada "rakyat yang ketakutan dan bersatu menentang sasaran yang tidak dapat melawan balik".
"Orang Rohingya tidak boleh mengundi. Mereka tidak boleh berorganisasi. Mereka tiada wakil rakyat, tiada lobi, tiada platform. Dalam bahasa politik yang kejam, mereka sasaran mudah.
"Helah politik paling lama adalah membawa perhatian rakyat yang sedang bergelut kepada golongan yang jauh lebih lemah, supaya kemarahan dihalakan ke arah golongan bawahan dan bukannya yang duduk di atas – seterusnya membiarkan saja mereka yang benar-benar bertanggungjawab membuat keputusan mengenai nasib anda."
Hartini berharap orang ramai akan berhenti sejenak berfikir sebelum berkongsi catatan media sosial yang semata-mata bertujuan mencetuskan kemarahan terhadap migran dan pelarian.
"Apabila anda berkongsi catatan itu, tanyalah diri anda, siapa yang menulisnya. Apa keuntungan mereka daripada kemarahan anda malam ini?"
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.
Langgan berita kami
Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.
Paling Popular
Tiada artikel ditemui.
