Kejatuhan sekutu Trump di Hungary bakal rungkai kontrak berbilion ringgit dikaitkan dengan rakyat Malaysia
Tumpuan beralih kepada janji kerajaan baharu untuk menyiasat pelbagai kontrak kerajaan bermasalah di bawah Viktor Orban.
Terkini
Kekalahan teruk pemimpin Hungary, Viktor Orban, pada pilihan raya negara itu baru-baru ini bakal mengalihkan tumpuan kepada pelbagai kontrak kerajaan terdahulu, termasuk perjanjian bernilai berbilion ringgit untuk membekalkan ventilator yang melibatkan seorang ahli perniagaan Malaysia. menurut maklumat diterima MalaysiaNow, antara yang pertama mendedahkan butiran pembelian kontroversi enam tahun lalu.
Orban, penyokong tegar Presiden Donald Trump dengan pendirian anti-Muslim, tewas kepada parti pembangkang Tisza selepas kempen pilihan raya umum yang tertumpu pada dakwaan rasuah dan salah guna kuasa sepanjang pemerintahannya selama 16 tahun.
Sebelum hari mengundi, Trump menghantar Naib Presiden JD Vance untuk turun berkempen bagi pihak Orban, dalam usaha Washington membantu antara baki sekutunya di Eropah selepas dikecam atas peperangan yang dilancarkan terhadap Iran, ugutan terhadap Nato, dan ancaman untuk menakluki Greenland.
Sokongan Trump itu ternyata memakan diri untuk Orban, perdana menteri selama 16 tahun, selepas rakyat Hungary memilih pemimpin pembangkang Peter Magyar dengan majoriti dua pertiga.
Kempen pilihan raya Magyar, yang bakal mengangkat sumpah sebagai perdana menteri Hungary, tertumpu kepada janji melawan rasuah dan membawa Hungary kembali ke arah negara Eropah lain.
Antara manifestonya ialah "ketelusan penuh" mengenai kontrak kerajaan, di samping ikrar untuk memulangkan semula wang "dicuri" di bawah pemerintahan Orban.
"Janji antirasuah itu sudah tentu menyebabkan kerajaan baharu melancarkan siasatan terhadap skandal ventilator semasa pandemik Covid-19," kata sumber yang rapat dengan pimpinan kerajaan baharu kepada MalaysiaNow, merujuk kepada kontrak ventilator serta peralatan perubatan lain oleh kerajaan Orban pada 2020, yang disifatkan sebagai perolehan perubatan terbesar oleh sebuah negara anggota Kesatuan Eropah.
Pembelian ventilator mencetuskan kontroversi di Hungary, dan menyaksikan pembangkang menyelar kontrak tersebut sebagai tidak telus serta mengakibatkan lebihan bekalan.
Durian runtuh RM2.4 bilion
Pada Jun 2021, MalaysiaNow melaporkan bahawa sebahagian kontrak membekalkan alat pernafasan kepada Hungary melibatkan Vinod Sekhar, seorang ahli perniagaan kontroversi yang mengendalikan rangkaian syarikat dan organisasi di bawah Kumpulan Petra.
Vinod, yang sering menggambarkan dirinya sebagai sahabat dan penyokong tegar Perdana Menteri Anwar Ibrahim, terlibat dalam kontrak bernilai lebih RM2 bilion untuk membekalkan ventilator kepada kerajaan Hungary, menjadikannya penerima terbesar perjanjian pembekalan itu.
Dokumen yang dilihat MalaysiaNow menunjukkan kerajaan Orban bersetuju membayar AS$559,600,000 pada Mei 2020, bersamaan kira-kira RM2.43 bilion ketika itu, kepada GR Technologies, sebuah syarikat yang diwakili Vinod.
Vinod, 57, ialah anak kepada mendiang BC Sekhar yang terkenal dengan sumbangannya dalam memodenkan industri getah Malaysia.
Bagaimanapun, tidak seperti bapanya, Vinod terjebak dalam pelbagai kontroversi.
Pada 2005, beliau diisytiharkan muflis atas hutang kepada beberapa syarikat berjumlah RM12.38 juta. Status muflis itu dihapuskan pada 2020, tahun yang sama kontrak ventilator itu ditandatangani.
Pada tahun berikutnya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia menyerbu pejabatnya sebagai sebahagian daripada siasatan pengubahan wang haram. Lima tahun kemudian, status siasatan itu masih tidak jelas.
Vinod turut terpalit dalam kontroversi melibatkan pelbagai pengumuman yang dihebohkan secara meluas untuk menyalurkan sumbangan kepada kerja-kerja amal di seluruh dunia, daripada sebuah kelab bola sepak di Singapura hinggalah janji membina bangunan fakulti perubatan untuk salah satu universiti tertua di Scotland.
Pada 2010, akhbar harian Scotland, The Scotsman, melaporkan Vinod masih belum "menyerahkan sesen pun" kepada Universiti St Andrews untuk tujuan membina fakulti perubatan baharu walaupun beliau menjanjikan derma £8 juta.
Semasa kempen pilihan raya Sabah pada 2020, pelbagai pihak mempersoalkan Anwar atas kaitannya dengan ahli perniagaan, termasuk Vinod, susulan gambar menunjukkan pemimpin PKR itu menaiki sebuah jet peribadi yang tertera perkataan "PetraTara", bersempena nama anak-anak Vinod.
Hubungan beliau dengan Anwar sekali lagi dibangkitkan tahun lalu dalam perbicaraan saman oleh 12 individu yang menuduh Vinod melakukan penipuan dan melanggar kontrak berkait wang yang dilaburkan ke dalam Kumpulan Petra miliknya.
'Kontrak pelik'
Kontrak-kontrak di Hungary menimbulkan persoalan bukan sahaja mengenai jumlah bayaran dan cara pembayaran dibuat, tetapi juga kerana ia dikendalikan melalui Kementerian Luar Hungary, bukannya Kementerian Kesihatan.
Badan pemantau global Transparency International Hungary (TI-Hungary) menyifatkan pembelian itu sebagai "lubuk penyalahgunaan", sambil menyatakan harga ventilator tersebut "terlalu mahal", manakala pembekal "dipilih secara sewenang-wenangnya melalui proses yang tidak telus dan tanpa bidaan".
Pada 2022, TI-Hungary gagal dalam tindakan mahkamah untuk memaksa kerajaan mendedahkan butiran perjanjian dengan GR Technologies, yang menurutnya melibatkan transaksi mencurigakan melalui akaun bank di Singapura dan Hong Kong.
Kini, badan pemantau itu menaruh harapan kepada kerajaan baharu Magyar.
"Diharapkan kerajaan baharu akan mengorek butiran urus niaga ventilator itu, seperti janji perdana menteri baharu yang dipilih," kata Miklos Legati, ketua biro undang-undang TI-Hungary kepada MalaysiaNow.
"Ada kemungkinan besar siasatan akan dilakukan dan individu yang bertanggungjawab, seperti bekas menteri luar Hungary, akan disoal siasat dan dipertanggungjawabkan, seterusnya dibawa ke muka pengadilan."
Márton Tompos, seorang aktivis pembangkang yang bukan sebahagian daripada kerajaan baharu, turut optimis namun berhati-hati sama ada kerajaan baharu akan menyiasat perjanjian ventilator itu.
"Saya tidak pasti sama ada mereka benar-benar akan memenuhi janji itu," katanya kepada MalaysiaNow. "Jika mereka berbuat demikian, pembelian ventilator itu pasti akan disiasat. Kalau saya yang tentukan, jawapannya 100%."
Perbezaan besar harga
Antara kebimbangan ketika itu ialah alat pernafasan yang dijual kepada Hungary terlalu mahal.
“Contohnya, Kementerian Luar Negara dan Perdagangan membeli satu unit ventilator dengan harga purata 19.8 juta forint (RM270,000), manakala Pusat Perkhidmatan Penjagaan Kesihatan Negara membeli satu unit dengan harga purata 10.8 juta forint (RM147,000). Tiada penjelasan perbezaan harga itu daripada kerajaan," kata ahli politik pembangkang Vadai Agnes kepada MalaysiaNow pada 2021.
Selepas laporan MalaysiaNow mengenai urus niaga itu pada 2021, Vinod telah mempertahankan perjanjian tersebut.
"Semuanya telus. Kontrak telah dipenuhi. Pihak China menyampaikannya, walaupun terdapat beberapa isu logistik. Adakah kami membuat untung? Ia mengikut peratusan biasa. Pihak yang menggunakan masa dan tenaga mereka untuk mendapatkannya, seharusnya mereka dibayar," katanya seperti dilaporkan.
Kebimbangan kesihatan
Selain isu ketelusan, terdapat juga persoalan mengenai kualiti ventilator.
Ketika pandemik Covid-19, pakar perubatan di Britain memberi amaran bahawa model ventilator buatan China, "Shangrila 510S" dan "SH300", antara 6,258 unit yang dibekalkan oleh Vinod kepada Hungary, bermasalah dan boleh menyebabkan kematian. Ini menyebabkan pihak berkuasa memanggil balik beratus-ratus ventilator tersebut dari hospital kerajaan.
"Pembelian ventilator itu sememangnya antara sepuluh teratas dalam senarai ini, memandangkan ia melibatkan ancaman kepada kesihatan awam."
"Kos purata bagi satu ventilator dengan harga AS$89,500 itu sendiri adalah satu perkara yang melampau, namun jika ditambah dengan maklumat dari UK dan Colombia – bahawa dua jenis ventilator tersebut berbahaya dan penggunaannya boleh menyebabkan kematian pesakit – isu ini kini menjadi isu risiko kesihatan dan keselamatan negara kami,” kata Tompos kepada MalaysiaNow pada 2021.
Perjanjian ventilator itu hanyalah salah satu daripada puluhan projek bermasalah yang dirundung salah tadbir, penyelewengan dan sogokan.
Ini termasuk Paks II, projek nuklear di Hungary yang disokong Rusia dan dikritik kerana menelan belanja €12.5 bilion, di samping kewangan yang tidak jelas, kesan geopolitik, kekurangan ketelusan, kelewatan dan kerosakan alam sekitar.
Terdapat juga gesaan menyiasat dana ekuiti persendirian Hungary, yang didakwa digunakan untuk menyembunyikan kekayaan golongan oligarki pro-Orban; projek kereta api Budapest-Belgrade, yang sarat dengan dakwaan kronisme dan isu kualiti; serta pembelian tanah persendirian oleh Orban menggunakan dana awam, antara pelbagai urusan tanah dan perolehan kerajaan yang lain.
"Pembelian ventilator itu sememangnya antara sepuluh teratas dalam senarai ini, memandangkan ia melibatkan ancaman kepada kesihatan awam," kata sumber parti Tisza yang enggan dinamakan kepada MalaysiaNow, sambil menambah kerajaan baharu dijangka mengumumkan butiran lanjut tentang bagaimana siasatan akan dijalankan.
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.
Langgan berita kami
Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.
