Khamenei terbunuh dalam serangan AS-Israel, 'hasrat syahid di bulan Ramadan tercapai', kata Iran
Kerajaan Iran berikrar kematiannya akan menguatkan tekad mempertahankan diri daripada serangan AS-Israel.
Terkini
Pemimpin tertinggi Iran, Ayatullah Seyyed Ali Khamenei, terbunuh dalam serangan AS-Israel semalam, media Iran mengesahkan.
"Dengan nama Tuhan, jiwa mulia Imam Khamenei, pemimpin negara gemilang Iran, pejuang kebebasan sejagat dan dunia Islam, telah melangkah ke syurga tertinggi dan mencapai hasrat yang lama didambakan, iaitu syahid di bulan suci Ramadan," kata pengumuman yang disiarkan saluran televisyen rasmi Iran.
"Hari ini, Iran, seluruh dunia Islam dan pejuang kebebasan bersedih atas serangan jahat penjenayah Amerika dan Zionis," katanya, sambil menambah kematiannya hanya akan menguatkan tekad negara itu untuk terus mempertahankan diri daripada serangan AS-Israel.
"Tidak dinafikan, kesyahidan seorang personaliti yang begitu hebat akan mencetuskan kebangkitan besar-besaran melawan penindas dunia," katanya.
Anak perempuan Khamenei dan dua ahli keluarga lain turut terbunuh dalam serangan tersebut.
Kerajaan Iran telah mengisytiharkan 40 hari berkabung awam.
Pengesahan kematian beliau dikeluarkan beberapa jam selepas Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, dan Presiden Donald Trump mengumumkan Khamenei terbunuh dalam serangan udara bersama AS-Israel.
Trump berkata ulama tertinggi Iran itu "tidak dapat mengelak perisikan dan sistem penjejakan yang sangat canggih".
Menurut kenyataan Kor Pengawal Revolusi Iran (IRGC), "kesyahidan Khamenei di tangan pengganas dan pembunuh paling kejam telah mengesahkan keabsahan pemimpin hebat ini dan amalan ikhlasnya diterima".
"Tangan berdendam negara Iran... tidak akan melepaskan mereka," IRGC dipetik oleh agensi berita Fars, seperti dilaporkan Al Jazeera.
IRGC akan berdiri "teguh dalam menghadapi konspirasi tempatan dan asing," menurut kenyataan itu.
Dalam reaksinya, Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menyatakan solidariti kepada kerajaan dan rakyat Iran.
"Pemergiannya bukan sekadar kehilangan seorang pemimpin negara, ia adalah detik yang akan bergema di seluruh dunia Islam dan masyarakat antarabangsa.
"Mapim dengan tegas menyatakan bahawa AS dan Israel bertanggungjawab sepenuhnya atas pembunuhan ini dan sebarang akibat yang timbul daripada peningkatan konflik, penderitaan manusia, ketidakstabilan serantau, dan ancaman terhadap keselamatan global yang bakal menyusul," kata Presiden Mapim, Mohd Azmi Abdul Hamid.
Pengganti Khomeini
Khamenei dilantik sebagai pemimpin tertinggi selepas kematian Ayatullah Khomeini pada 1989, pemimpin berkarisma dan pengasas Revolusi Islam 1979 yang menggulingkan Shah, raja terakhir Iran yang didokong AS.
Ketika menjawat sebagai presiden, Khamenei bertanggungjawab mengemudi negara itu ketika peperangan lapan tahun dengan Iraq, jirannya yang ketika itu diperintah Saddam Hussein dan menerima bantuan senjata AS serta kuasa Barat.
Pemergian Khamenei merupakan yang terbaharu dalam siri kematian pemimpin tertinggi dan sekutu rapat Iran dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Mereka termasuk Qasem Soleimani, salah seorang jeneral Iran paling dihormati, yang terbunuh dalam serangan dron AS di Iraq pada 2020.
Pada Mei 2024, Presiden Ebrahim Raisi dan beberapa menteri kanan terbunuh dalam nahas helikopter.
Ia diikuti dengan pembunuhan pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh, dalam serangan roket oleh Israel di Tehran dua bulan kemudian, dan selepas itu pembunuhan pemimpin Hizbullah, Hassan Nasrallah, susulan pengeboman Israel di Lubnan.
Khamenei, 86, dilahirkan di bandar Mashhad, dan merupakan antara individu yang paling rapat dengan Khomeini serta memainkan peranan penting dalam memastikan kejayaan Revolusi Islam 1979.
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.
Langgan berita kami
Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.
