- Iklan -
Berita

Kata dua Agong berhubung bahasa Melayu tamparan kepada 'pelan pemasaran' DAP, kata pendedah maklumat

Albert Tei turut mengadu kepada Sultan Ibrahim mengenai pelantikan dua ahli politik ke dalam syarikat milik kerajaan meskipun terpalit tuduhan rasuah.

MalaysiaNow
3 minit bacaan
Kongsi

Kata dua yang disampaikan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Sultan Iskandar baru-baru ini merupakan tamparan hebat kepada "pelan pemasaran" DAP yang mengangkatnya ke tampuk kuasa selepas menjanjikan pengundi Cina pengiktirafan tanpa syarat untuk Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), menurut pendedah maklumat terkemuka Albert Tei, dalam siri terbaru serangannya terhadap parti yang mendominasi kerajaan campuran Perdana Menteri Anwar Ibrahim itu.

Tei berkata titah ucapan Agong pada Isnin dengan jelas menolak sebarang pengiktirafan tanpa syarat terhadap UEC – peperiksaan prauniversiti untuk sekolah menengah Cina persendirian yang menggunakan perantara Mandarin.

Pendedah maklumat Albert Tei, dalam salah satu video di saluran YouTube 'Reformati'.
Pendedah maklumat Albert Tei, dalam salah satu video di saluran YouTube 'Reformati'.

"Keadaan semasa ini membuktikan bahawa DAP telah menipu masyarakat Cina dengan menggunakan sentimen iktiraf UEC tanpa syarat selama beberapa dekad. Apa alasan yang akan digunakan oleh DAP untuk menenangkan emosi masyarakat Cina yang sekian lama diperdayakan oleh mereka?" kata Tei, lelaki di sebalik pendedahan mengejutkan berhubung rasuah di Pejabat Perdana Menteri baru-baru ini serta suapan melibatkan 15 ahli politik kerajaan Sabah, dalam klip terbaharu yang dimuat naik di saluran media sosial "Reformati".

"Saya pun ingin belajar dengan DAP bagaimana hendak mematikan bom ini dan seterusnya apa jenis silat yang akan digunakan dan ditunjukkan oleh pemimpin DAP kepada masyarakat untuk mengawal keadaan ini."

Ketika merasmikan sesi baru sidang Parlimen, Sultan Ibrahim mengingatkan pengiktirafan mana-mana sistem pendidikan lain mestilah dengan syarat Bahasa Melayu – yang bukan merupakan bahasa pengantar UEC – diterima sebagai bahasa utama selaras dengan dasar pendidikan negara.

"Oleh itu, sebarang usul untuk mengiktiraf apa juga sistem pendidikan lain mesti menerima Bahasa Melayu dan sejarah Malaysia," menurut Sultan Ibrahim.

UEC merupakan antara topik hangat yang mewarnai perdebatan mengenai isu perpaduan dalam sistem persekolahan Malaysia.

Pakatan Harapan (PH) yang dipengerusikan Anwar sebelum ini menjadikan pengiktirafan UEC untuk kemasukan ke universiti awam dan perkhidmatan awam Malaysia sebagai sebahagian daripada kempen pilihan raya umumnya.

Pada 2022, gabungan itu berikrar meneruskan usaha mengiktiraf sijil tersebut dengan memasukkan syarat pemohon harus mempunyai sekurang-kurangnya kepujian dalam kertas Bahasa Melayu SPM.

"Untuk tujuan ini, sijil UEC akan dinilai agar setaraf dengan syarat am kelayakan sedia ada untuk kemasukan ke IPTA," menurut manifesto PH.

Asal usul UEC

UEC dimulakan lebih 50 tahun lalu oleh Dong Zong, badan mewakili sekolah menengah Cina persendirian di seluruh negara, sebagai peperiksaan alternatif kepada STPM dan A-level.

Chinese_school_20220628_MnowIa merupakan respons terhadap penolakan sekolah persendirian Cina terhadap penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama, selaras dengan keperluan dasar pendidikan baharu yang berkuat kuasa pada 1962.

Kebimbangan mengenai UEC sebahagian besarnya berkisar pada penekanan kepada pembangunan identiti Malaysia, termasuk penguasaan bahasa Melayu dan pemahaman tentang patriotisme serta naratif sejarah tempatan.

Pengkritik turut membangkitkan isu asimilasi yang dihadapi lepasan sekolah persendirian Cina yang memiliki sijil UEC.

Tei berkata DAP selama beberapa dekad mengeksploitasi sentimen mengenai pengiktirafan UEC, yang akhirnya membawa kepada penerimaan besar pengundi Cina dalam pilihan raya umum sehingga mengenepikan MCA dan Gerakan – dua parti yang pernah menjadi suara komuniti Cina dalam kerajaan.

"Senang kata, pemimpin DAP adalah munafik. Mereka hanya menanam tumbuhan di bibir. Lagi boleh tipu, mereka akan terus tipu untuk meminta nyawa," kata Tei.

Aduan kepada Agong mengenai rasuah

Sementara itu, Tei berkata titah diraja yang menyentuh perang menentang rasuah juga merupakan tamparan hebat kepada DAP, yang telah menjadikan isu rasuah sebagai umpan undi pada setiap pilihan raya umum.

Beliau merujuk kepada pelantikan sekurang-kurangnya dua ahli politik Sabah yang terpalit tuduhan rasuah baru-baru ini ke jawatan tinggi dalam syarikat milik kerajaan.

"Ampun Tuanku! Dua perasuah ini adalah pengkhianat negara namun masih diangkat ke jawatan tinggi. Manakala orang yang melantiknya, Ketua Menteri Hajiji Noor, ialah bapa pengkhianat negara kita," tambahnya.

Hajiji, sekutu Anwar, terpalit dalam skandal rasuah menggemparkan melibatkan beberapa Adun Gabungan Rakyat Sabah (GRS), seperti yang didedahkan Tei melalui beberapa klip video yang menunjukkan mereka membincangkan suapan jutaan ringgit untuk meluluskan lesen perlombongan mineral.

Mereka termasuk Yusof Yacob dan Shahelmey Yahya, masing-masing dilantik sebagai pengerusi Sabah Development Bhd dan Sabah Oil and Gas Development Corporation.

Tei pernah memohon bantuan Anwar untuk mendapatkan status "whistleblower" (pendedah maklumat) bagi mengemukakan laporan rasmi kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Namun, permintaan itu ditolak oleh perdana menteri.

Pendedahan ahli perniagaan Albert Tei (kiri) mengaitkan nama Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam skandal rasuah terbesar sejak beberapa tahun.
Pendedahan ahli perniagaan Albert Tei (kiri) mengaitkan nama Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam skandal rasuah terbesar sejak beberapa tahun.

Pada November lalu, Tei mendedahkan klip baharu yang menunjukkan seorang wanita dikaitkan dengan setiausaha politik Anwar ketika itu, Shamsul Iskandar Mohd Akin, mengaku bahawa perdana menteri sendiri adalah dalang di sebalik klip-klip video Adun Sabah, dan perkara itu didakwa turut diketahui oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki.

Tei berkata rakaman klip Adun Sabah itu pada asalnya adalah sebahagian daripada usahanya untuk mendapatkan semula wang yang telah diserahkan kepada ahli politik GRS. Menurutnya, beliau meminta bantuan perdana menteri untuk berunding dengan Hajiji, yang merupakan pengerusi gabungan itu.

Tei turut mendedahkan beliau membelanjakan lebih daripada RM600,000 untuk Shamsul dengan harapan orang kuat Anwar itu akan berunding dengan Hajiji.