Hukuman penjara ke atas Najib ditambah 15 tahun lagi selepas disabitkan kes RM2.3 bilion
Keputusan itu sekaligus merumitkan usaha bekas perdana menteri itu untuk mendapatkan pembebasan awal dan bakal memaksa beliau memulakan semula proses permohonan pengampunan diraja.
Terkini
Najib Razak hari ini dijatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM13.38 bilion selepas mahkamah mendapati beliau bersalah menggelapkan dana RM2.3 bilion daripada 1MDB, perkembangan yang merumitkan usahanya untuk dibebaskan daripada Penjara Kajang di samping memburukkan lagi hubungan Umno yang pernah dipimpinnya dengan gabungan Pakatan Harapan yang dipengerusikan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Hukuman tersebut diumumkan oleh hakim Collin Lawrence Sequerah selepas sesi selama lebih 10 jam, yang menyaksikan beliau membacakan penghakimannya yang memakan masa lebih tiga jam.
Keputusan itu selang empat hari selepas hakim Mahkamah Tiggi pada Isnin menolak titah tambahan bekas Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, supaya membenarkan Najib menjalani baki hukuman penjaranya daripada sabitan sebelum ini sebagai tahanan rumah – keputusan yang kemudiannya diraikan beberapa pemimpin kanan DAP sehingga mencetuskan kemarahan pemimpin Umno yang sebilangannya mahu parti itu menilai semula sokongan kepada pentadbiran Anwar.
Sequerah mensabitkan Najib atas keempat-empat pertuduhan salah guna kuasa selaku perdana menteri dengan menerima suapan bernilai RM2.27 bilion.
Bagi setiap pertuduhan, beliau dijatuhkan hukuman penjara 15 tahun.
Manakala hukuman lima tahun penjara dijatuhkan bagi setiap daripada 21 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM4.3 bilion membabitkan 1MDB,
syarikat milik kerajaan yang terpalit skandal yang akhirnya membawa kepada kejatuhan Najib pada 2018.
Hakim mengarahkan kesemua hukuman berjalan serentak dan akan berkuatkuasa sebaik sahaja tamat tempoh hukuman penjara semasa pada 2028.
Bekas perdana menteri berusia 72 tahun turut dikenakan denda RM11.38 bilion membabitkan empat pertuduhan salah guna kuasa, dan RM2 bilion untuk 21 pertuduhan lain.
Najib dituduh memindahkan dana ke akaun bank peribadinya dan kepada Tanore Finance Corporation, sebuah syarikat dikawal oleh sekutu Low Taek Jho, atau Jho Low, ahli perniagaan yang kini melarikan diri.
Perbicaraan yang berlarutan selama tujuh tahun itu menyaksikan keterangan daripada 76 saksi, dan berakhir awal bulan lalu.
Najib dalam pembelaannya mendakwa AS$681 juta yang dipindahkan ke akaun banknya merupakan derma daripada kerabat diraja Arab Saudi, dan berkata beberapa pegawai 1MDB berpakat dengan Jho Low untuk menggelapkan wang daripada syarikat tersebut, termasuk bekas penasihat undang-undang 1MDB Jasmine Loo, dua bekas ketua pegawai eksekutif Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan Mohd Hazem Abdul Rahman, bekas ketua pegawai kewangan Azmi Tahir, dan bekas pembantu Najib, Amhari Efendi Nazaruddin.
'Kisah Seribu Satu Malam'
Dalam penghakimannya hari ini, Sequerah, yang menghakimi perbicaraan itu di Mahkamah Tinggi sejak ia bermula pada 2018, menolak hujah pembelaan bahawa keterangan saksi pendakwaan adalah khabar angin, meskipun tanpa kehadiran Jho Low yang dinamakan sebagai orang yang mengeluarkan arahan bagi pihak Najib.
"Jho Low kekal berhubungan dengan pegawai 1MDB dan mengeluarkan arahan daripada tertuduh (Najib) kepada 1MDB. Arahan daripada Jho Low datang daripada tertuduh. Jho Low adalah ejen tertuduh," katanya.
Hakim juga menganggap beberapa surat dari Arab Saudi yang dijadikan bukti oleh Najib bahawa wang yang diterima merupakan derma kepadanya oleh kerabat diraja adalah palsu.
"Naskhah asal surat-surat itu tidak dikemukakan," tambahnya.
Hakim turut menolak dakwaan dana itu merupakan sumbangan derma dari Arab Saudi, sambil berkata perkara itu tidak pernah dibincangkan dalam Kabinet.
Menurutnya, Najib bertindak "membuta tuli dengan sengaja".
"Ini dakwaan yang tak masuk akal dan mengatasi kisah Seribu Satu Malam dan suatu rekaan yang tidak mempunyai sebarang kredibiliti," kata Sequerah ketika membacakan penghakiman panjang lebar sebelum mengumumkan keputusannya.
Walaupun Najib bakal memfailkan rayuan, keputusan hari ini bermakna beliau perlu mengemukakan permohonan baharu untuk mendapatkan pengampunan diraja, di tengah-tengah rasa tidak puas hati dalam kalangan akar umbi Umno yang mahu bekas presiden parti itu diberikan pengampunan penuh.
Sebelum ini, permohonan pengampunan Najib terhadap sabitan SRC International berakhir dengan pengampunan separa, di mana hukuman penjara 12 tahun dikurangkan kepada enam tahun, dan denda RM240 juta dikurangkan kepada RM50 juta.
Permohonan pengampunan itu diselubungi kontroversi selepas pendedahan bahawa Sultan Abdullah, sebelum menamatkan tempoh sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16, telah menukilkan nota pada dokumen pengampunan supaya Najib dibenarkan menjalankan baki hukuman penjara sebagai tahanan rumah.
Anwar dan pemimpin PH berulang kali menolak dakwaan mengenai kewujudan nota yang dikenal sebagai titah adendum itu, dan bertegas perkara itu perlu diputuskan oleh mahkamah.
Pada Isnin, hakim Mahkamah Tinggi Alice Loke memutuskan bahawa titah adendum itu tidak sah.
Keputusan tersebut disambut baik pemimpin DAP, kebanyakannya menyatakan sokongan kepada komen Ahli Parlimen Puchong Yeo Bee Yin, yang memuat naik hantaran di Facebook bahawa ia memberikan "satu lagi sebab" menyambut perayaan akhir tahun.
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.
Langgan berita kami
Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.
