- Iklan -
Luar Sana

Sistem komputer tribunal jenayah perang ICC digodam

ICC ialah tribunal jenayah perang kekal yang berpusat di bandar The Hague, Belanda, ditubuhkan pada 2002 untuk membicarakan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan.

Reuters
2 minit bacaan
Kongsi
Pintu masuk Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) dilihat di The Hague 3 Mac 2011. Gambar: Reuters
Pintu masuk Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) dilihat di The Hague 3 Mac 2011. Gambar: Reuters

Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) semalam berkata sistem komputernya telah digodam, satu pelanggaran terhadap salah satu institusi antarabangsa paling berprofil tinggi di dunia dan agensi yang mengendalikan maklumat sangat sensitif tentang jenayah perang.

ICC berkata ia telah mengesan aktiviti luar biasa ke atas rangkaian komputernya pada hujung minggu lepas, mencetuskan respons yang masih berterusan. 

Seorang jurucakap bagaimanapun enggan memberi sebarang ulasan berhubung tahap serius insiden itu, sama ada ia telah diselesaikan sepenuhnya, atau siapa dalangnya.

"Langkah segera telah diambil terhadap insiden keselamatan siber ini dan untuk mengurangkan kesannya," kata ICC dalam satu kenyataan ringkas. 

ICC ialah tribunal jenayah perang kekal yang berpusat di bandar The Hague, Belanda.

Ia ditubuhkan pada 2002 untuk membicarakan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan.

Pendakwa raya di mahkamah kini sedang menjalankan 17 siasatan terhadap situasi antarnya di Ukraine, Uganda, Venezuela, Afghanistan dan Filipina.

Pada Mac lalu, mahkamah tersebut menjadi tajuk utama apabila mengeluarkan waran tangkap kepada Presiden Rusia Vladimir Putin kerana disyaki menghantar pulang kanak-kanak secara haram dari Ukraine.

Kremlin bagaimanapun menolak tuduhan dan bidang kuasa mahkamah tersebut. 

Dokumen yang sangat sensitif di ICC boleh termasuk apa sahaja daripada bukti jenayah kepada nama saksi yang dilindungi, walaupun mahkamah tidak mendedahkan bahagian mana sistemnya telah diakses.

Mahkamah dalam kenyataannya berkata bahawa ia terus "menganalisis dan mengurangkan kesan insiden tersebut" dengan bantuan kerajaan Belanda. 

Katanya, ia juga mengambil langkah untuk mengukuhkan keselamatan sibernya. 

Jurucakap Kementerian Kehakiman Belanda mengesahkan Pusat Keselamatan Siber Kebangsaan negara itu menyokong siasatan tetapi enggan mengulas lanjut.

Presiden Persatuan Peguam ICC, Marie-Hélène Proulx, berkata peguam untuk defendan dan mangsa telah terjejas "dengan cara yang sama seperti kakitangan mahkamah" oleh langkah keselamatan yang tidak ditentukan yang diambil sebagai tindak balas kepada insiden itu. 

"Kami memuji usaha... dalam memastikan sistem maklumat mahkamah selamat dan berharap keadaan itu akan dapat diselesaikan segera," katanya. 

Agensi perisikan Belanda (AIVD) dalam laporan tahunan 2022 berkata, ICC "menarik perhatian Rusia kerana ia sedang menyiasat kemungkinan jenayah perang Rusia di Georgia dan Ukraine"

Pada Jun 2022, AIVD mendedahkan ia telah menemui ejen tentera Rusia yang menyamar sebagai warga Brazil dalam percubaan untuk menyusup ke mahkamah. 

Bulan lalu, Pendakwa ICC Karim Khan berkata bahawa serangan siber boleh menjadi sebahagian daripada penyiasatan jenayah perang masa hadapan. 

Beliau memberi amaran bahawa ICC sendiri boleh terdedah dan harus mengukuhkan pertahanannya.

"Penyelewengan maklumat, pemusnahan, pengubahan data, dan kebocoran maklumat sulit boleh menghalang pentadbiran keadilan di ICC.

“Oleh itu, ia merupakan jenayah dalam bidang kuasa ICC yang mungkin disiasat atau didakwa," tulisnya dalam laporan Dasar Luar Negeri.

Laporan analitik itu dibiayai oleh Microsoft.

"Tetapi mencegah tetap lebih baik daripada mengubati."