- Iklan -
Luar Sana

30 maut, lebih 100 cedera selepas kereta api tergelincir di Pakistan

Kereta api itu dilaporkan dalam perjalanan ke wilayah Khyber Pakhtunkhwa barat laut negara itu dari Karachi.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Sebuah kren digunakan untuk mengangkat gerabak yang terbalik selepas sebuah kereta api tergelincir di bandar Sarhari di daerah Sanghar, Pakistan 6 Ogos. Gambar: Reuters
Sebuah kren digunakan untuk mengangkat gerabak yang terbalik selepas sebuah kereta api tergelincir di bandar Sarhari di daerah Sanghar, Pakistan 6 Ogos. Gambar: Reuters

Sekurang-kurangnya 30 penumpang terbunuh manakala lebih 100 lagi cedera apabila 10 gerabak kereta api tergelincir di wilayah Sindh selatan Pakistan pada Ahad.

Ketua Menterinya Sindh Syed Murad Ali Shah berkata sembilan gerabak telah dikosongkan dan operasi menyelamat sedang dijalankan di dalam gerabak yang lain.

Mangsa yang cedera parah akan dibawa ke bandar pelabuhan selatan Karachi untuk menerima rawatan yang lebih cekap, katanya.

Kereta api Hazara Express, yang membawa sekitar 16 hingga 17 gerabak dengan lebih 1,000 penumpang tergelincir daripada landasan ketika melintasi jambatan terusan.

Kereta api itu dilaporkan dalam perjalanan ke wilayah Khyber Pakhtunkhwa barat laut negara itu dari Karachi.

Menteri Kereta Api Khawaja Saad Rafique memberitahu media bahawa pihak berkuasa sedang menyiasat insiden itu dan menolak elemen sabotaj.

Pasukan penyelamat, anggota tentera Pakistan dan kakitangan Kereta Api Pakistan bergegas ke lokasi kejadian dan memulakan aktiviti bantuan.

Sukarelawan tempatan turut membantu menyelamatkan penumpang yang terkandas.

Susulan insiden itu, perkhidmatan kereta api digantung dan dijangka mengambil masa sehingga 18 jam sebelum beroperasi semula.

Perdana Menteri Pakistan Shahbaz Sharif melahirkan rasa dukacita dan atas kejadian itu, dan mengarahkan pihak berkuasa memberikan rawatan perubatan terbaik kepada mangsa yang cedera.