- Iklan -
Luar Sana

Bank pusat Singapura catat rugi bersih terbesar susulan langkah bendung lonjakan inflasi

Bank-bank pusat di seluruh dunia telah memulakan kempen untuk mengurangkan kesan kenaikan harga berikutan pencerobohan Rusia ke atas Ukraine tahun lalu sehingga menjejaskan bekalan minyak dan gas.

AFP
2 minit bacaan
Kongsi
Orang ramai berjalan keluar sewaktu rehat tengah hari di daerah perniagaan kewangan Raffles Place di Singapura pada 26 Jun. Gambar: AFP
Orang ramai berjalan keluar sewaktu rehat tengah hari di daerah perniagaan kewangan Raffles Place di Singapura pada 26 Jun. Gambar: AFP

Bank pusat Singapura mencatatkan kerugian bersih tahunan terbesar dalam sejarah sebanyak AS$23 bilion (kira-kira RM107 bilion) pada tahun kewangan terkini ketika republik itu mengetatkan dasar monetari untuk membendung lonjakan inflasi.

Ia turut memberi amaran kepada ekonomi negara itu masih berdepan ketidaktentuan. 

Bank-bank pusat di seluruh dunia telah memulakan kempen untuk mengurangkan kesan kenaikan harga berikutan pencerobohan Rusia ke atas Ukraine tahun lalu sehingga menjejaskan bekalan minyak dan gas.

Namun dalam pada bank pusat lain telah menaikkan kadar faedah bagi membendung kenaikan itu, Singapura yang mengimport sebahagian besar keperluannya, telah mengukuhkan dolar tempatan untuk menjadikan barangan import lebih murah. 

Bagaimanapun, Pengarah Urusan Penguasa Kewangan Singapura (MAS), Ravi Menon berkata langkah itu diterjemahkan kepada kerugian besar rizab asing rasminya.

MAS mencatatkan "kerugian bersih sebanyak SG$30.8 bilion (untuk tahun kewangan berakhir Mac), mencerminkan kesan mengetatkan dasar monetari bagi menurunkan inflasi", katanya semasa mengeluarkan laporan tahunan bank pusat itu. 

"Ini adalah kerugian terbesar yang pernah dicatatkan MAS," tambahnya. 

Katanya, 70% daripada kerugian, atau SG$21.4 bilion, adalah berpunca daripada "kesan negatif mata wang daripada dolar Singapura yang lebih kukuh". 

Sebanyak 30% lagi kerugian berpunca daripada "perbelanjaan faedah bersih... daripada operasi pasaran wang untuk menampung lebihan mudah tunai dalam sistem perbankan". 

Menon berkata inflasi jelas sudah "memuncak dan dilihat telah menjadi sederhana".

Katanya, inflasi teras pada asas tahunan pelarasan bulan ke bulan jatuh mendadak daripada paras tertinggi 9.1% pada Jun 2022 kepada 3.6% pada Mei 2023. 

Beliau berkata prospek pertumbuhan bagi Singapura "merosot dan ekonomi akan beroperasi sedikit di bawah kapasiti sedia ada" kerana perkhidmatan pembuatan dan kewangan – dua tonggak ekonomi utama – tidak berkembang sejak beberapa suku kebelakangan ini. 

"Pertumbuhan akan kekal lemah dalam tempoh terdekat," katanya. 

Kementerian Perdagangan pada Mei meramalkan pertumbuhan ekonomi Singapura tahun ini adalah antara 0.5%-2.5%.