- Iklan -
Berita

Mahkamah Perlembagaan Indonesia tolak petisyen tukar sistem pengundian

Indonesia akan mengadakan pilihan raya Parlimen dan presiden serentak pada Februari 2024.

Reuters
2 minit bacaan
Kongsi
Penumpang menunggu kereta api pada waktu puncak di sebuah stesen kereta api di Jakarta, Indonesia, 13 Jun. Gambar: Reuters
Penumpang menunggu kereta api pada waktu puncak di sebuah stesen kereta api di Jakarta, Indonesia, 13 Jun. Gambar: Reuters

Mahkamah Perlembagaan Indonesia menolak semakan kehakiman bagi menuntut perubahan kepada sistem pengundian republik itu, sekali gus menyelesaikan halangan yang akan merumitkan proses pilihan raya, lapan bulan lagi.

Indonesia akan mengadakan pilihan raya Parlimen dan presiden serentak pada Februari 2024. 

Kes itu, yang dibawa oleh beberapa ahli politik termasuk dari parti pemerintah Parti Demokratik Perjuangan (PDI-P), memohon supaya sistem undi tertutup dikembalikan, yang telah mencetuskan kebimbangan mengenai campur tangan politik dalam pemilihan tahun depan. 

Panel lapan hakim hari ini menolak petisyen itu dengan keputusan 7-1. 

Rakyat Indonesia buat masa ini mengundi secara langsung ahli Parlimen dan akan terus berbuat demikian dalam pilihan raya akan datang. 

Ketika membaca penghakiman, hakim Suhartoyo, berkata sistem terbuka bukan lemah tetapi lebih inklusif dan demokratik, manakala sistem tertutup tiada ketelusan, penyertaan awam yang terhad dan terdedah kepada nepotisme.

Mengulas keputusan itu, wakil rakyat PDI-P Arteria Dahlan berkata parti itu akan mematuhi keputusan tersebut. 

"Kami perlu mengakui semakan kehakiman adalah sangat komprehensif. Kami menghormati keputusan mahkamah," katanya. 

Pengkritik berkata perubahan sistem terbuka ketika ini akan membawa negara demokrasi ketiga terbesar di dunia itu kembali ke era pemerintahan autoritarian, apabila hanya ketua parti politik diberi kuasa untuk melantik ahli Parlimen. 

Lapan daripada sembilan parti yang diwakili di Parlimen, termasuk yang bersekutu dengan PDI-P yang memerintah, telah mengecam petisyen itu. 

Keputusan itu, hanya lapan bulan menjelang pilihan raya presiden dan Parlimen yang dijadualkan serentak tahun depan, telah menimbulkan kemarahan meluas di republik itu, dengan spekulasi kes itu boleh digunakan untuk menangguhkan pilihan raya.

Kes itu adalah salah satu daripada siri tindakan undang-undang luar biasa yang menurut penganalisis menunjukkan cubaan untuk melanjutkan tempoh perkhidmatan Presiden Joko Widodo, yang pertama kali dipilih pada 2014, dan menamatkan penggal kedua dan terakhirnya pada 2024. 

Joko Widiodo yang lebih dikenali sebagai Jokowi, telah menafikan bahawa beliau sedang berusaha untuk melanjutkan tempoh memegang jawatan melebihi had dua penggal.

Malah, beliau turut menyatakan bahawa tidak akan melakukan apa-apa yang akan "mencemarkan demokrasi".