- Iklan -
Luar Sana

Pemilik Ikea mula bangunkan kedai pertama di New Zealand

Terdapat lebih 450 kedai Ikea yang kebanyakannya dimiliki oleh Ingka Group di seluruh dunia.

Reuters
2 minit bacaan
Kongsi
Pemandangan pintu masuk pusat beli-belah Gallerian yang turut menempatkan kedai Ikea di Stockholm, Sweden 10 Februari. Gambar: Reuters
Pemandangan pintu masuk pusat beli-belah Gallerian yang turut menempatkan kedai Ikea di Stockholm, Sweden 10 Februari. Gambar: Reuters

Pemilik Ikea, Ingka Group mengumumkan kerja pembangunan secara rasmi yang tertangguh di kedai pertamanya di New Zealand dan akan diikuti oleh cawangan lain apabila rantau Asia Pasifik itu pulih daripada wabak Covid-19 dan kejutan makro-ekonomi.

Dalam fail pada 2022, syarikat itu merujuk kepada cadangan tarikh pembukaan kedai perabotnya di Aukland, bandar terbesar di New Zealand pada Disember 2024 tetapi kini ia dijangka dibuka penghujung 2025. 

Ketua Peruncitan Ingka Group, Tolga Oncu memberitahu Reuters tarikh pembukaan awal selalunya tertakluk kepada perubahan. 

"Ini adalah projek yang panjang jadi selalunya niat asal apabila anda benar-benar boleh membuka tidak menjadi realiti," kata Oncu, sambil menambah bahawa keadaan makro-ekonomi dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini adalah luar biasa.

Oncu berkata Asia adalah pasaran yang berkembang pesat – dengan enam hingga lapan bulan terkini menunjukkan perkembangan positif – dibantu oleh pembukaan semula sempadan China selepas Covid-19. 

Ditanya mengenai kemungkinan terdapat kedai di bahagian lain di New Zealand, Oncu berkata beliau tidak menjangka kedai di Auckland cukup. 

"Jadi seseorang boleh menjangkakan bahawa Ikea dalam jangka panjang akan terus mencari peluang untuk berkembang di New Zealand," katanya. 

Walaupun kedai itu secara geografi akan berada paling jauh dari operasi utama Ikea di Eropah, Ingka berkata syarikat itu boleh mengurangkan kesan logistik melalui operasi sedia ada di Australia. 

"Kami telah belajar bagaimana untuk mengurusnya, bagaimana untuk menjadi lebih berkesan, cekap, lebih mampan, tetapi sudah tentu saya tidak boleh lari daripada hakikat bahawa setiap kilometer datang dengan tanda harga," kata Oncu.

Terdapat lebih 450 kedai Ikea yang kebanyakannya dimiliki oleh Ingka Group di seluruh dunia, selebihnya dikawal oleh francaisi lain. 

Kumpulan itu terjejas teruk oleh isu rantaian bekalan dan kos bahan mentah yang dikaitkan dengan wabak itu sebagai salah satu pengguna kayu terbesar di dunia.