- Iklan -
Luar Sana

Aplikasi Covid-19 Jerman kini dalam ‘mod tidur’

Memandangkan situasi wabak yang sudah reda, fungsi amaran telah dimatikan pada 1 Mei.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Orang ramai berjalan melalui kawasan pejalan kaki di Cologne, barat Jerman pada 4 Januari 2021 di tengah-tengah penularan pandemik Covid-19. Gambar: AFP
Orang ramai berjalan melalui kawasan pejalan kaki di Cologne, barat Jerman pada 4 Januari 2021 di tengah-tengah penularan pandemik Covid-19. Gambar: AFP

Aplikasi jejak dan kesan Covid-19 Jerman yang digunakan oleh berjuta-juta orang untuk memberi amaran tentang potensi pendedahan kepada virus itu, kini memasuki "mod tidur" pada Khamis, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Menurut Kementerian Kesihatan Jerman, Aplikasi Corona Warn tidak lagi dikemas kini atau dibangunkan sehingga notis selanjutnya selepas kontrak dengan pembekal perkhidmatan SAP dan T-Systems tamat pada 31 Mei.

Memandangkan situasi wabak yang sudah reda, fungsi amaran telah dimatikan pada 1 Mei.

Pengguna boleh menyimpan dan menggunakan aplikasi itu pada telefon mereka seperti sijil vaksinasi elektronik mereka.

Aplikasi itu membolehkan kira-kira sembilan juta orang mengeluarkan lebih 270 juta amaran berikutan ujian positif, menurut pembangunnya.

Selepas pertemuan dengan seseorang yang telah diuji positif, pengguna akan menerima paparan amaran merah.

Sejak dilancarkan pada 16 Jun 2020, aplikasi itu telah dimuat turun lebih daripada 48 juta kali. 

Sehingga 35 juta pengguna telah menggunakan aplikasi itu secara aktif.

Menurut kementerian, aplikasi itu boleh "dibangunkan" sekiranya keadaan kembali kritikal. 

Menteri Kesihatan Jerman Karl Lauterbach merayu pengguna supaya tidak memadamkan aplikasi itu daripada telefon mereka.

"Mungkin kita perlu gunakan semula untuk Covid-19. 

Mungkin juga kita mengembangkannya untuk penyakit berjangkit lain," kata Lauterbach.