- Iklan -
Luar Sana

Data pelanggan Toyota di Asia, Oceania berdepan risiko bocor

Maklumat pelanggan yang mungkin boleh diakses secara luaran termasuk nama, alamat, nombor telefon, alamat e-mel dan nombor kad pengenalan serta nombor pendaftaran kenderaan.

Reuters
1 minit bacaan
Kongsi
Seorang lelaki berjalan melepasi logo Toyota di Pameran Motor Tokyo, di Tokyo, Jepun, 24 Oktober 2022. Gambar: Reuters
Seorang lelaki berjalan melepasi logo Toyota di Pameran Motor Tokyo, di Tokyo, Jepun, 24 Oktober 2022. Gambar: Reuters

Toyota Motor Corp memaklumkan bahawa maklumat mengenai pelanggan di beberapa negara di Asia dan Oceania mungkin boleh diakses secara terbuka dari Oktober 2016 hingga Mei 2023 kerana terdapat ralat dalam tetapan persekitaran awan.

Bagaimanapun insiden itu tidak melibatkan data pelanggannya di Jepun.

Menurut syarikat itu, maklumat pelanggan yang mungkin boleh diakses secara luaran termasuk nama, alamat, nombor telefon, alamat e-mel dan nombor kad pengenalan serta nombor pendaftaran kenderaan. 

Insiden itu susulan pengumumannya awal bulan ini bahawa data kenderaan melibatkan 2.15 juta pengguna di Jepun, atau hampir keseluruhan pangkalan data pelanggan yang mendaftar untuk platform perkhidmatan awan utamanya sejak 2012, tersedia secara umum selama sedekad kerana kesilapan manusia. 

Toyota berkata, isu terbaharu itu ditemui selepas ia melancarkan siasatan menyeluruh berikutan insiden sebelum ini. 

"Memandangkan kami percaya bahawa insiden ini juga disebabkan oleh penyebaran dan penguatkuasaan peraturan pengendalian data yang kurang berkesan... kami telah melaksanakan sistem untuk memantau konfigurasi awan," kata Toyota. 

Menurut syarikat itu, pihaknya juga telah menyiasat sama ada terdapat sebarang salinan pihak ketiga atau penggunaan data pelanggannya dan mendapati tiada bukti penggunaan sedemikian, sambil menambah lokasi kenderaan dan maklumat kad kredit tidak termasuk dalam kejadian itu.