- Iklan -
Berita

Lapor polis jika siasatan SPRM bocor dalam media, kata timbalan menteri

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-undang) Ramkarpal Singh menegaskan pendirian SPRM sememangnya tidak membenarkan sebarang pendedahan maklumat.

Nur Hasliza Mohd Salleh
2 minit bacaan
Kongsi
Logo Suruhanjaya Pencegaahan Rasuah Malaysia di ibu pejabat SPRM di Putrajaya, 1 Mac 2022.
Logo Suruhanjaya Pencegaahan Rasuah Malaysia di ibu pejabat SPRM di Putrajaya, 1 Mac 2022.

Individu boleh membuat laporan polis sekiranya berlaku pembocoran maklumat dalam proses siasatan yang masih berjalan dengan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melalui laporan-laporan berita menggunakan sumber yang tidak dinamakan, kata timbalan menteri.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-undang) Ramkarpal Singh menegaskan pendirian agensi anti rasuah itu sememangnya tidak membenarkan sebarang pendedahan maklumat kerana ianya juga merupakan sebahagian daripada siasatan dalam setiap kes.

“Tapi sekiranya terdapat pembocoran dan sebagainya, ini boleh ditangani dengan buat laporan polis bagi tujuan siasatan supaya boleh disiasat dengan lebih lanjut,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Tasek Gelugor (PN-Bersatu) Wan Saiful Wan Jan yang membangkitkan keadaan semasa di mana laporan-laporan media tempatan acap kali menyiarkan maklumat siasatan dengan mengemukakan sumber-sumber dalam SPRM tanpa nama (anonymously).

Menurut Wan Saiful, situasi itu boleh mengganggu gugat integriti agensi anti rasuah itu kerana melibatkan maklumat daripada siasatan yang masih berjalan.

“Saya ada pengalaman berurusan dengan SPRM ini, saya rasa ada satu perkara yang perlu diberikan perhatian segera oleh pihak kerajaan,” katanya.

Pada masa sama, katanya, ianya turut menimbulkan persoalan sama ada pembocoran maklumat itu disengajakan oleh pihak dalam SPRM atas tujuan-tujuan tertentu.

Atas sebab itu, beliau mengesyorkan supaya kerajaan perlu memperbaiki kelemahan tersebut dalam menghentikan lambakan pembocoran maklumat secara terpilih itu supaya orang awam berasa yakin dan percaya bahawa siasatan yang dijalankan oleh SPRM adalah telus dan bukan dengan niat-niat lain.

Sebelum ini, Wan Saiful pernah dipanggil oleh SPRM untuk siasatan mengenai dakwaan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM6.9 juta membabitkan projek Jana Wibawa bernilai RM232 juta pada tahun lalu.

Beliau kemudiannya didakwa atas tuduhan itu.

Ikuti kami di WhatsApp & Telegram

Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi