- Iklan -
Berita

PADU: 'Big data' atau 'big brother'?

Menjelang tarikh tamat pengemaskinian PADU, masih ramai yang bimbang bagaimana maklumat peribadi mereka digunakan.

MalaysiaNow
3 minit bacaan
Kongsi
Projek PADU yang dibawa Rafizi Ramli (kedua dari kiri) telah menerima kritikan atas kebimbangan privasi data. Gambar: Facebook
Projek PADU yang dibawa Rafizi Ramli (kedua dari kiri) telah menerima kritikan atas kebimbangan privasi data. Gambar: Facebook

Siti Khatijah Zubaidi, seorang suri rumah lewat 20-an di Hulu Selangor, merupakan antara jutaan rakyat Malaysia yang masih belum mengisi maklumat dirinya dalam Pangkalan Data Utama (PADU) walaupun berkali-kali diingatkan mengenai tarikh akhir 31 Mac ini.

Walaupun diingatkan Menteri Ekonomi Rafizi Ramli, orang yang menjuarai pengkalan data yang bakal menentukan siapa layak menerima pelbagai bantuan dan subsidi kerajaan, Khatijah masih tidak yakin dengan kebolehan pihak berkuasa dalam isu keselamatan data.

Dia masih ingat bagaimana arwah ayahnya hilang RM15,000 dalam simpanan bank tanpa pengetahuannya, selain scammer yang masih dapat menghubungi dia dan ahli keluarganya menggunakan nombor telefon mereka yang tidak pernah didedahkan.

"Saya takut data dijual kepada pihak yang tidak bertanggungjawab," kata Khatijah kepada MalaysiaNow.

"Suami saya pula terpaksa daftar kerana dia penjawat awam dan terpaksa ikut cakap ketua, kerana ia akan mempengaruhi pencen dan lain-lain."

Kebimbangan seperti yang diluahkan Khatijah baru-baru ini disebut oleh seorang menteri kanan Sarawak, yang mengkritik cara kerajaan melaksanakan PADU dengan menuntut pelbagai maklumat peribadi.

"Sebaik sahaja anda mengisi, anda bogelkan diri sendiri. Hampir semuanya - akaun bank anda, rumah anda, semuanya!" kata Abdul Karim Rahman Hamzah.

"Saya tidak fikir itu adalah cara yang betul melayan rakyat," kata menteri pelancongan negeri Sarawak.

Malah Abdul Karim membayangkan sama ada kerajaan pusat ada agenda politik di sebalik menyuruh orang ramai memberikan maklumat peribadi.

Kebimbangan serupa disuarakan kumpulan hak asasi Lawyers for Liberty (LFL), yang memberi amaran tentang risiko maklumat sensitif didedahkan tetapi orang ramai tidak berpeluang mengambil tindakan undang-undang untuk mendapatkan ganti rugi sekiranya data peribadi mereka dibocorkan atau dicuri.

“Seperti mana sekarang...data yang dikumpul oleh PADU boleh disebarkan atau digunakan oleh kerajaan di luar matlamat subsidi bersasar seperti yang diisytiharkan. Terdapat kes penyalahgunaan data oleh kerajaan sebelum ini di mana data peribadi digunakan untuk menyebarkan propaganda melalui SMS kepada orang ramai,” kata Zaid Malek dari LFL.

Khatijah bersetuju.

"Saya rasa perkara itu berkait dengan maklumat-maklumat yang diisi secaraa online. Kita takut juga kalau ada pencerobohan maklumat peribadi," tambahnya.

Khatijah pernah pernah menerima bantuan Sumbangan Tunai Rahmah (STR), program bantuan tunai yang dijenamakan semula oleh kerajaan semasa.

Dia tidak kisah kerana tidak lagi menerima bantuan STR sejak berkahwin.

Kerajaan berkata PADU, yang dilancarkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada Januari lalu, bakal memastikan bantuan dan subsidi diterima oleh mereka yang layak dalam usaha beralih daripada subsidi pukal kepada subsidi bersasar. 

Ia menggabungkan data-data daripada pelbagai pangkalan data seperti Lembaga Hasil Dalam Negeri dan Jabatan Kebajikan Masyarakat, antara lain. 

Seorang pakar teknologi maklumat berkata data bersepadu itu perlu dilindungi di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (PDPA), walaupun kerajaan berkata ia dikecualikan daripada akta itu.

"PDPA yang sepatutnya melindungi data-data kita hanya merangkumi data-data komersial sahaja. Ia tidak melibatkan agensi kerajaan," kata Azril Hanafi Abdullah Sharwani.

"Ini isu pokok dalam isu sambutan terhadap PADU. Pihak kerajaan perlu bergerak dengan lebih strategik dan tersusun," tambahnya.

Menurut Putrajaya, pendaftaran PADU setakat 23 Mac berjumlah 7.36 juta orang.

Rafizi sebelum ini berkata rakyat Malaysia perlu mengemaskini data mereka supaya tidak terlepas bantuan kerajaan.

Bagi Azril, naratif yang dibawa Rafizi itu menunjukkan komunikasi lemah kerajaan.

"Mereka patut membawa satu naratif yang lebih baik dengan konotasi positif kepada rakyat. Kerajaan sewajarnya ada komunikasi strategik yang boleh mengajak rakyat menyokong inisiatif tersebut," katanya.

PADU bukan satu-satunya initiatif yang memerlukan orang ramai menyerahkan butiran peribadi mereka.

Baru-baru ini, Kementerian Kewangan mengarahkan penukar mata wang asing untuk memastikan pelanggan mereka menyerahkan nama, alamat dan butiran lain.

Pensyarah kanan teknologi maklumat Saaidal Razalli Azzuhri berkata dia memahami kebimbangan Abdul Karim mengenai privasi data.

"Kerajaan perlu mengimbangi antara penggunaan data untuk pentadbiran yang lebih cekap, dan memelihara hak asasi dan privasi rakyat. Langkah-langkah seperti akta privasi data yang komprehensif, penguatkuasaan undang-undang, dan pengurusan data yang telus dan berintegriti perlu diutamakan," kata pensyarah Universiti Malaya itu.