- Iklan -
Luar Sana

PM Singapura arah siasat menteri terlibat skandal sewa banglo mewah

Ahli Parlimen, termasuk tiga ahli parti pemerintah dan ketua pembangkang, telah mengemukakan soalan ke Parlimen sama ada menteri berkenaan mendedahkan maklumat khas untuk mendapatkan pajakan.

Reuters
2 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong. Gambar: Reuters
Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong. Gambar: Reuters

Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong mengarahkan siasatan dijalankan terhadap isu penyewaan rumah milik kerajaan di lokasi eksklusif kepada dua menteri Kabinet republik itu seperti dibangkitkan wakil pembangkang.

Ini menimbulkan persepsi negatif ke atas kerajaan kota Singa itu yang sebelum ini dianggap bebas rasuah dengan meningkatkan gaji tahunan menteri Kabinet melebihi S$1 juta (RM3.41 juta) bagi mengekang salah laku tersebut.

Lee berkata siasatan yang akan dijalankan oleh seorang menteri kanan itu, akan menentukan sama ada penyewaan banglo era kolonial itu mengikut “proses yang betul” atau terdapat salah laku rasuah.

Keputusan siasatan akan didedahkan kepada umum sebelum ahli Parlimen membincangkan isu berkenaan pada Julai.

"Ini mesti dilakukan untuk memastikan kerajaan ini mengekalkan standard integriti tertinggi," kata Lee dalam satu kenyataan.

Bulan ini, ahli politik pembangkang Kenneth Jeyaretnam mempersoalkan bagaimana menteri undang-undang dan hal ehwal dalam negeri, K Shanmugam, dan menteri luar, Vivian Balakrishnan, mampu membayar hartanah yang mempunyai nilai pasaran sebegitu “mahal”.

Shanmugam menyifatkan tuduhan tersebut tidak wajar dan "keterlaluan" malah beliau menegaskan tidak mempunyai apa-apa untuk disembunyikan. 

Balakrishnan berkata beliau "sangat gembira" dengan siasatan yang sedang dijalankan. 

Pengguna media sosial di Singapura memuat naik catatan berbaur sindiran atau menyatakan kemarahan terhadap saiz hartanah, manakala yang lain mempersoalkan mengapa kerajaan memerlukan masa sehingga Julai untuk menjelaskan isu itu. 

Luahan ketidakpuasan itu muncul ketika ramai rakyat di Singapura bergelut dengan kenaikan kos sara hidup, di tengah-tengah kadar inflasi yang tinggi dan kenaikan harga rumah serta kereta. 

Kira-kira 80% daripada 3.6 juta rakyat Singapura tinggal di perumahan awam dan hanya satu pertiga daripada isi rumah memiliki kereta.

Ahli Parlimen, termasuk tiga ahli parti pemerintah dan ketua pembangkang, telah mengemukakan soalan ke Parlimen sama ada menteri berkenaan mendedahkan maklumat khas untuk mendapatkan pajakan.

Pihak Berkuasa Tanah Singapura berkata para menteri memajak banglo yang telah kosong selama bertahun-tahun dan telah membuat tawaran yang lebih tinggi daripada panduan sewa, harga yang tidak didedahkan kepada mereka. 

Skandal rasuah dalam kerajaan jarang berlaku di Singapura. 

Seorang menteri telah disiasat pada 1987 tetapi meninggal dunia sebelum siasatan selesai. 

Lee dan bapanya – Lee Kuan Yew – kedua-duanya berdebat di Parlimen pada 1996 untuk menjawab tuduhan, yang disiasat sewaktu menjadi perdana menteri ketika itu, bahawa keluarga berkenaan telah membeli hartanah utama dengan potongan harga. 

Siasatan menyimpulkan tiada apa-apa yang tidak wajar mengenai pembelian hartanah milik Lee.