- Iklan -
Berita

Pegawai kesihatan AS beri amaran bahaya penggunaan media sosial babit kanak-kanak

Penggunaan media sosial oleh golongan muda di negara itu adalah menjadi kebiasaan, dengan 95% remaja dilaporkan menggunakan platform berkenaan dan lebih satu pertiga mengatakan mereka melayarinya ‘hampir setiap masa’.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Pihak berkuasa di seluruh AS sedang mencari jalan untuk mengawal penggunaan media sosial, dan mengekang kesan buruk terhadap golongan muda. Gambar: AFP
Pihak berkuasa di seluruh AS sedang mencari jalan untuk mengawal penggunaan media sosial, dan mengekang kesan buruk terhadap golongan muda. Gambar: AFP

Pegawai kesihatan tertinggi Amerika Syarikat (AS) mengeluarkan amaran keras kepada ibu bapa, syarikat dan pengawal selia dengan mengatakan terdapat bukti menunjukkan lonjakan penggunaan media sosial boleh membahayakan kanak-kanak.

Dalam nasihat panjang lebar, pakar bedah AS, Vivek Murthy berkata, meskipun tiada kajian menyeluruh dijalankan, namun "terdapat banyak petunjuk bahawa media sosial juga boleh mempunyai risiko besar termasuk membahayakan kesihatan mental dan kesejahteraan kanak-kanak serta remaja."

Menurut Jabatan Kesihatan dan Perkhidmatan Manusia, penggunaan media sosial oleh golongan muda di AS adalah menjadi kebiasaan, dengan 95% remaja dilaporkan menggunakan platform berkenaan dan lebih satu pertiga mengatakan mereka melayarinya "hampir setiap masa". 

Laporan Murthy berkata media sosial boleh membantu kanak-kanak dan remaja mencari komuniti untuk berhubung, tetapi ia juga mengandungi "kandungan melampau, tidak sesuai dan berbahaya," yang boleh "menormalkan" kecederaan dan bunuh diri. 

Laporan itu menegaskan, media sosial juga boleh mengekalkan ketidakpuasan badan, gangguan makan dan kemurungan serta mendedahkan kanak-kanak kepada jenayah buli dalam talian ketika mereka sedang menjalani tahap kritikal dalam perkembangan otak.

Murthy menyeru penggubal dasar untuk mengukuhkan piawaian keselamatan di sekitar media sosial dan menggesa syarikat teknologi untuk menilai secara bertanggungjawab kesan produk mereka terhadap kanak-kanak dan berkongsi data dengan penyelidik. 

Beliau juga menasihatkan ibu bapa untuk mewujudkan zon bebas peranti di rumah bagi menggalakkan komunikasi dua hala dan mendidik anak-anak dengan mencontohi tingkah laku dalam talian yang sihat dan bertanggungjawab. 

Laporan itu muncul ketika pihak berkuasa di seluruh AS sedang mencari jalan untuk mengawal penggunaan media sosial, dan mengekang kesan buruk dalam kalangan golongan muda. 

Awal bulan ini, Montana di AS melarang penggunaan TikTok di wilayahnya. 

Gergasi perkongsian video milik China itu mencabar keputusan itu di mahkamah. 

Malah pada Mac lalu, Utah menjadi negeri AS pertama yang mengeluarkan arahan supaya kanak-kanak bawah umur yang mahu melayari laman media sosial perlu mendapatkan kebenaran daripada ibu bapa mereka.

"Kami berada di tengah-tengah krisis kesihatan mental belia negara, dan saya bimbang media sosial adalah pemacu utama krisis itu – yang mesti kita tangani segera," kata Murthy.