- Iklan -
Luar Sana

Pemerhati syor lancar peraturan global pertama sektor kripto

Pemain industri ini menggesa pendekatan global untuk mengawal selia kerana bidang kuasa berbeza mengikut peraturan setiap negara.

Reuters
1 minit bacaan
Kongsi
Syiling Bitcoin dilihat sewaktu Persidangan Bitcoin 2023 di Miami Beach, Florida, Amerika Syarikat, 19 Mei. Gambar: Reuters
Syiling Bitcoin dilihat sewaktu Persidangan Bitcoin 2023 di Miami Beach, Florida, Amerika Syarikat, 19 Mei. Gambar: Reuters

Pertubuhan Suruhanjaya Sekuriti Antarabangsa (IOSCO) melancarkan pendekatan global pertama untuk mengawal selia aset kripto dan pasaran digital.

Pendekatan badan pemerhati sekuriti antarabangsa itu diambil susulan kejatuhan bursa FTX tahun lalu yang mencetuskan kebimbangan terhadap perlindungan pengguna. 

Industri ini, yang lazimnya hanya perlu mematuhi pemeriksaan anti-pengubahan wang haram, telah menggesa pendekatan global untuk mengawal selia kerana bidang kuasa berbeza mengikut peraturan setiap negara. 

Langkah itu hadir selepas tukaran kripto FTX memulakan prosiding kebankrapan AS pada November lalu berikutan krisis kecairan yang mendorong campur tangan daripada pengawal selia di seluruh dunia.

Pengerusi IOSCO, Jean-Paul Servais berkata syor berkenaan adalah "titik tolak dalam menangani risiko besar dan hampir kepada perlindungan pelabur serta risiko integriti pasaran."

Piawaian yang dicadangkan meliputi menangani konflik kepentingan, manipulasi pasaran, kerjasama kawal selia rentas sempadan, penjagaan aset kripto, risiko operasi dan layanan pelanggan runcit.

Sebanyak 18 langkah dirancang menggunakan perlindungan yang telah lama wujud daripada pasaran arus perdana untuk menghapuskan konflik kepentingan antara bahagian berlainan transaksi kripto.

Badan pemerhati itu berkata ia menyasarkan untuk memuktamadkan piawaian menjelang akhir tahun, dan menjangkakan 130 ahli IOSCO di seluruh dunia akan menggunakannya bagi merapatkan jurang dalam buku peraturan mereka. 

IOSCO, kumpulan induk kepada pengawal selia seperti Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa AS, Agensi Perkhidmatan Kewangan Jepun, Pihak Berkuasa Pengurusan Kewangan Britain dan BaFin Jerman, sedang mencari pendapat umum mengenai peraturan tersebut. 

Langkah itu disusuli Kesatuan Eropah yang dijangka memuktamadkan set peraturan komprehensif pertama di dunia bulan ini, sekali gus memberi tekanan kepada Britain, Amerika Syarikat dan negara lain untuk memperkenalkan norma mereka sendiri.