- Iklan -
Luar Sana

India pertimbang uji sirap ubat batuk sebelum dieksport, kata laporan

Industri farmaseutikal India menerima kejutan besar tahun lepas apabila sirap ubat batuk yang dibuat oleh dua syarikat berpangkalan di New Delhi dikaitkan dengan kematian sekurang-kurangnya 70 kanak-kanak di Gambia dan 19 di Uzbekistan.

Reuters
2 minit bacaan
Kongsi
Orang ramai berdiri di luar kilang Maiden Pharmaceuticals yang dikawal oleh pegawai kerajaan India pada 2022, di Sonipat, Haryana, utara India, 2 Februari. Gambar: Reuters
Orang ramai berdiri di luar kilang Maiden Pharmaceuticals yang dikawal oleh pegawai kerajaan India pada 2022, di Sonipat, Haryana, utara India, 2 Februari. Gambar: Reuters

Pengawal selia dadah India mencadangkan supaya sirap ubat batuk diuji di makmal milik kerajaan sebelum diluluskan untuk dieksport, lapor media portal berita tempatan News18.com hari ini.

Cadangan itu dibuat selepas sirap ubat batuk buatan India dikaitkan dengan puluhan kematian kematian di Gambia dan Uzbekistan tahun lepas. 

Memetik pegawai yang enggan namanya didedahkan, portal itu melaporkan Kementerian kesihatan India sedang mempertimbangkan cadangan yang dikemukakan oleh Pertubuhan Pusat Kawalan Piawaian Dadah (CDSCO) bulan ini.

"Cadangannya adalah untuk menguji ubat yang sudah siap di makmal milik kerajaan sebelum ia dieksport," kata pegawai itu kepada News18.com. 

Reuters cuba mendapatkan maklum balas daripada kementerian itu namun tidak berjaya.

Pegawai itu berkata sirap ubat batuk itu boleh diuji di pelbagai makmal yang dikendalikan oleh kerajaan persekutuan atau negeri.

Portal itu turut melaporkan bahawa CDSCO juga mencadangkan supaya kerajaan mewajibkan pengeksport mengeluarkan "sijil analisis" bagi setiap kumpulan yang dieksport dari makmal yang diluluskan.

Industri farmaseutikal India yang bernilai AS$41 bilion (kira-kira RM184.6 bilion) menerima kejutan besar tahun lepas apabila sirap ubat batuk yang dibuat oleh dua syarikat berpangkalan di New Delhi dikaitkan dengan kematian sekurang-kurangnya 70 kanak-kanak di Gambia dan 19 di Uzbekistan.

Tahun lalu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia memaklumkan sirap ubat batuk keluaran syarikat India, Maiden Pharmaceuticals Ltd, yang dieksport ke Gambia, mengandungi toksin maut etilena glikol (EG) dan dietilena glikol (DEG), yang digunakan dalam cecair brek kereta.

Pada Disember tahun lalu, Uzbekistan mendedahkan kanak-kanak di negar itu maut selepas mengambil sirap ubat batuk yang dikeluarkan oleh syarikat India lain, Marion Biotech, yang tercemar dengan bahan EG atau DEG.

Kedua-dua syarikat India berkenaan bagaimanapun telah menafikan dakwaan itu. 

Bahan-bahan tersebut boleh digunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab sebagai pengganti propilena glikol, yang merupakan bahan utama ubat-ubatan sirap – kerana kosnya jauh lebih murah.

Pengawal selia dadah India memberitahu WHO pada bulan Disember bahawa propilena glikol yang digunakan oleh Maiden dan Marion diperoleh daripada dua pembekal berasingan yang berpangkalan di Delhi.