- Iklan -
Luar Sana

Pihak berkuasa negeri di India syor haramkan poligami terhadap semua kaum

Penyokong undang-undang berkenaan melihatnya sebagai satu cara untuk memastikan kesaksamaan jantina tetapi penentang, termasuk beberapa pemimpin Islam, melihatnya sebagai strategi kerajaan untuk menafikan hak yang dibenarkan di bawah Islam.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Sekumpulan wanita berdiri di tempat yang sesak di Bangalore, 9 Oktober 2006. Amalan poligami adalah haram di bawah Kanun Keseksaan India namun lelaki Islam dibenarkan berkahwin sehingga empat orang isteri. Gambar: Reuters

Pihak berkuasa negeri di India mahu mengharamkan poligami sebagai sebahagian daripada langkah kerajaan pusat nasionalis Hindu untuk menyeragamkan undang-undang sivil di seluruh negara. 

Poligami, amalan mempunyai lebih daripada seorang pasangan, adalah haram di bawah Kanun Keseksaan India tetapi lelaki Islam dibenarkan mempunyai sehingga empat isteri di bawah undang-undang syariah Islam.

Malah, poligami juga wujud dalam banyak suku kaum. 

“Saya bercadang untuk mengharamkan poligami di Assam,” kata Ketua Menteri Assam, Himanta Biswa Sarma kepada pemberita semalam. 

"Kami mahu menjadikan ini proses membina konsensus dan bukannya sejenis provokasi," kata Sarma yang juga anggota kanan Parti Bharatiya Janata (BJP) yang memerintah India. 

Kerajaan pusat mahu mengenakan undang-undang sivil yang seragam bagi menggantikan undang-undang agama dan budaya yang mengawal perkara seperti perkahwinan, perceraian, pewarisan dan anak angkat.

Penyokong undang-undang berkenaan melihatnya sebagai satu cara untuk memastikan kesaksamaan jantina tetapi penentang, termasuk beberapa pemimpin Islam, melihatnya sebagai strategi kerajaan untuk menafikan hak yang dibenarkan di bawah Islam. 

Kerajaan Persekutuan dalam kajian 2020 mendapati perkahwinan poligami ini berleluasa dalam kalangan lebih 30 kumpulan suku kaum di timur laut negara itu, termasuk Assam. 

Sarma berkata satu pasukan akan meneliti peruntukan undang-undang bersama dengan aspek agama dan peribadi Islam dan kumpulan agama lain dan melaporkan semula kepadanya dalam tempoh 60 hari.

April lalu, satu lagi negeri yang diperintah BJP, Uttarakhand yang terletak di utara India, mengumumkan bahawa panel pakar akan meneliti kemungkinan menggunakan undang-undang sivil seragam di sana.

Mahkamah Agung pada 2017 mengharamkan amalan "talak tiga" dalam Islam, di mana seorang lelaki Islam boleh menceraikan isterinya dengan mengucapkan "talak" (cerai) sebanyak tiga kali. 

BJP memperjuangkan kempen oleh wanita Islam dan aktivis untuk mengharamkan amalan perceraian itu.