- Iklan -
Luar Sana

Delegasi Ukraine tumbuk perwakilan Rusia di Ankara

Kejadian berlaku selepas perwakilan Rusia merampas bendera milik delegasi Ukraine dalam usahanya mengganggunya ketika temu bual video.

Reuters
1 minit bacaan
Kongsi
Anggota delegasi Ukraine mengibarkan bendera kebangsaan mereka di sebelah Timbalan Ketua Delegasi Rusia, Olga Timofeeva untuk mengganggu ucapannya semasa mesyuarat Perhimpunan Pertubuhan Kerjasama Ekonomi Laut Hitam (BSEC) di Ankara, Turkiye 4 Mei. Gambar: Reuters
Anggota delegasi Ukraine mengibarkan bendera kebangsaan mereka di sebelah Timbalan Ketua Delegasi Rusia, Olga Timofeeva untuk mengganggu ucapannya semasa mesyuarat Perhimpunan Pertubuhan Kerjasama Ekonomi Laut Hitam (BSEC) di Ankara, Turkiye 4 Mei. Gambar: Reuters

Seorang delegasi Ukraine menumbuk muka seorang delegasi Rusia semasa perhimpunan negara-negara Laut Hitam di ibu negara Turkiye semalam, selepas bendera Ukraine dirampas bagi mengganggunya ketika temu bual video bersama perwakilan utama Rusia. 

Olesandr Marikovski menyiarkan video dirinya memukul warga Rusia itu dan mendapatkan semula bendera biru dan kuning di laman Facebooknya. 

Insiden itu berlaku di lorong bangunan Parlimen, tempat Perhimpunan Pertubuhan Kerjasama Ekonomi Laut Hitam (BSEC) diadakan. 

Pada semalam, beberapa perwakilan Ukraine bergaduh dengan pegawai keselamatan yang cuba menarik kumpulan itu ketika mereka mengadakan protes, menjerit dan memegang bendera negaranya di sebelah perwakilan utama Rusia yang sedang berucap di perhimpunan. 

Gambar gangguan itu disiarkan oleh parlimen Turkiye di laman webnya, dan Ketua Parlimen Mustafa Sentop, mengeluarkan teguran keras.

“Saya mengecam tingkah laku ini yang mengganggu persekitaran aman yang cuba diwujudkan Turkiye,” katanya. 

Ketika wakil dari 13 negara dalam BSEC bertemu semalam, dron Rusia terus menyerang ibu kota Ukraine Kyiv. 

Pada masa ini tiada rundingan damai untuk menamatkan perang, yang telah memusnahkan bandar di Ukraine, membunuh ribuan orang dan mengakibatkan jutaan orang keluar meninggalkan rumah mereka.