- Iklan -
Luar Sana

Perancis timbang larangan ke atas rokok elektronik pakai buang, kata menteri

Larangan itu mungkin menjadi sebahagian daripada pelan anti-merokok baharu yang sedang diusahakan Kementerian Kesihatan negara itu untuk tempoh lima tahun akan datang.

AFP
1 minit bacaan
Kongsi
Rokok elektronik disusun di dalam kabinet di kedai vape, 2 Mei ini. Gambar: Reuters
Rokok elektronik disusun di dalam kabinet di kedai vape, 2 Mei ini. Gambar: Reuters

Kerajaan Perancis mungkin mengharamkan rokok elektronik pakai buang yang popular khususnya dalam kalangan remaja menjelang akhir tahun ini, kata Menteri Kesihatan Francois Braun pada Rabu.

"Saya memihak kepada larangan," kata Braun kepada penyiar tempatan France Inter, sambil menambah bahawa peranti itu "mempengaruhi beberapa orang muda kita ke arah penggunaan tembakau".

"Merokok adalah satu malapetaka, ia membunuh 75,000 orang setiap tahun" di Perancis, katanya.

Meskipun kerajaan Presiden Emmanuel Macron tidak mempunyai majoriti di Parlimen, namun para menteri akan "bekerjasama dengan penggubal undang-undang" untuk mencapai kesepakatan mengenai larangan itu, kata Braun. 

Ia boleh digubal "sebelum akhir tahun ini," tambahnya. 

Larangan itu mungkin menjadi sebahagian daripada pelan anti-merokok baharu yang sedang diusahakan Kementerian Kesihatan untuk tempoh lima tahun akan datang.

Rokok elektronik sekali guna berperisa manis dan buah-buahan – dikenali sebagai "puff" di Perancis –  dijual dalam pembungkusan berwarna terang pada harga yang boleh dibeli oleh remaja iaitu €8 (RM40) hingga €12 untuk 500 penyedutan. 

Kira-kira 20 jenama yang menjual produk itu di Perancis dituduh oleh pengkritik menyasarkan remaja meskipun peraturan sedia ada menghalang penjualan rokok elektronik kepada kanak-kanak bawah umur.

Peranti pakai buang "semakin popular di media sosial dan mempunyai imej yang kebanyakannya positif dan tidak berbahaya di kalangan golongan muda," kata kumpulan anti-merokok ACT akhir tahun lalu.

Namun, rokok sekali guna boleh mengandungi sehingga 20 miligram setiap mililiter nikotin menyebabkan ketagihan, menjadikannya berpotensi "mendorong" penggunanya untuk merokok, tambah ACT.