- Iklan -
Luar Sana

Singapura teruskan hukuman mati meskipun dibantah

Tangaraju Suppiah dihukum gantung awal pagi tadi.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Warga Singapura Tangaraju Suppiah, yang dihukum mati atas kesalahan berkaitan dadah, 26 April. Gambar: Facebook
Warga Singapura Tangaraju Suppiah, yang dihukum mati atas kesalahan berkaitan dadah, 26 April. Gambar: Facebook

Banduan bilik akhir Tangaraju Suppiah dihukum gantung pada Subuh tadi ketika Singapura meneruskan pelaksanaan hukuman matinya yang pertama dalam tempoh beberapa bulan walaupun mendapat bantahan daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan taikun Britain Richard Branson.

Aktivis anti-hukuman mati Kokila Annamalai ketika dihubungi mengesahkan bahawa hukuman mati itu dilaksanakan.

Sementara itu, jurucakap Perkhidmatan Penjara Singapura memberitahu AFP bahawa Tangaraju "dijatuhkan hukuman mati" di Penjara Changi.

Tangaraju, 46, disabitkan bersalah pada 2017 kerana "bersubahat dalam konspirasi mengedar" 1,017.9g ganja. 

Jumlah itu adalah dua kali ganda daripada jumlah minimum yang patut dihukum mati mengikut undang-undang dadah Singapura, antara yang paling ketat di dunia.

Dia dijatuhi hukuman mati pada 2018. 

Keluarganya merayu untuk mendapatkan pengampunan serta perbicaraan semula, manakala Branson, yang lantang menentang pelaksanaan hukuman mati oleh Singapura, mempersoalkan keberkesanannya sebagai pencegahan aktiviti pengedaran barang terlarang itu.

"Membunuh mereka yang berada di peringkat terbawah rantaian bekalan dadah terlarang... tidak berkesan dalam mengekang perdagangan antarabangsa bernilai ratusan bilion setiap tahun," katanya pada 25 April.

"Singapura sepatutnya adalah sebuah negara yang indah, jadi amat menyedihkan untuk melihat beberapa dasarnya mengingatkan kembali kepada penjajahan, malah mengimbas semula zaman pertengahan."

Sementara itu, Pejabat Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyatakan kebimbangan terhadap "proses sewajarnya dan menghormati jaminan perbicaraan yang adil".

"Pejabat Hak Asasi Manusia PBB menyeru pihak berkuasa untuk tidak meneruskan pelaksanaan hukuman matinya," kata PBB semalam.