- Iklan -
Luar Sana

Pejabat Hak Asasi Manusia PBB gesa Singapura hentikan hukuman mati

Badan dunia itu menyuarakan kebimbangan terhadap proses yang wajar dan menghormati jaminan perbicaraan yang adil.

AFP
2 minit bacaan
Kongsi
Orang ramai mempamerkan sepanduk dan lampu LED semasa tunjuk perasaan bagi memberi sokongan kepada warga Malaysia Nagaentran K Dharmalingam yang dijatuhi hukuman mati kerana mengedar heroin ke Singapura, di negara itu menjelang hukuman matinya, pada 25 April. Foto: AFP
Orang ramai mempamerkan sepanduk dan lampu LED semasa tunjuk perasaan bagi memberi sokongan kepada warga Malaysia Nagaentran K Dharmalingam yang dijatuhi hukuman mati kerana mengedar heroin ke Singapura, di negara itu menjelang hukuman matinya, pada 25 April. Foto: AFP

Pejabat Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Selasa mendesak Singapura untuk "menimbang semula dengan kadar segera" pelaksanaan hukuman mati ke atas seorang lelaki yang disabitkan bersalah memiliki lebih satu kilogram ganja. 

Warga Singapura Tangaraju Suppiah, 46, akan menjalani hukuman gantung pada hari ini selepas dia disabitkan bersalah atas tuduhan bersubahat mengedar 1,017.9g (35.9 auns) ganja, dua kali ganda jumlah yang patut dihukum mati di negara itu. 

Ia akan menjadi hukuman mati pertama Singapura dalam tempoh enam bulan dan yang ke-12 sejak tahun lepas. 

Hab kewangan Asia itu mempunyai beberapa undang-undang antidadah yang paling ketat di dunia dan menegaskan hukuman mati kekal sebagai pencegahan berkesan terhadap pemerdagangan bahan terlarang itu.

Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia PBB tidak bersetuju. 

"Hukuman mati masih dilaksanakan di sebahagian kecil negara, kerana mitos bahawa ia menghalang jenayah," kata OHCHR dalam satu kenyataan.

"Kami mempunyai kebimbangan mengenai proses yang sewajarnya dan menghormati jaminan perbicaraan yang adil. Pejabat Hak Asasi Manusia PBB menyeru pihak berkuasa untuk tidak meneruskan pelaksanaannya," tambahnya. 

Terdahulu, jutawan Britain Richard Branson juga menggesa Singapura menghentikan hukuman mati ke atas Tangaraju. 

Branson, yang merupakan salah seorang daripada ahli Suruhanjaya Dasar Dadah Global yang berpangkalan di Geneva, menulis di blognya pada Isnin bahawa Tangaraju "tidak terlibat dengan pengedaran" dada ketika penahanannya dan Singapura mungkin akan membunuh seseorang yang tidak bersalah.

Kementerian Dalam Negeri Singapura ketika menjawab kritikan itu pada Selasa berkata kesalahan Tangaraju telah dibuktikan tanpa keraguan munasabah. 

Tambahnya, Branson jelas menunjukkan "tidak menghormati hakim Singapura dan sistem keadilan jenayah kami dengan dakwaan sedemikian”.

Ganja tidak lagi dianggap sebagai jenayah berat di kebanyakan negara di dunia termasuk Thailand, dan kumpulan hak asasi manusia telah menggesa Singapura agar memansuhkan hukuman mati itu.

Keluarga Tangaraju memohon perbicaraan semula. 

Singapura menyambung semula hukuman mati pada Mac 2022 selepas ditangguhkan lebih dua tahun.

Antara yang dihukum gantung ialah Nagaenthran K Dharmalingam, yang pelaksanaannya mencetuskan bantahan global, termasuk dari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Branson, kerana dia merupakan seorang orang kurang upaya masalah pembelajaran.

Singapura menjemput Branson ke perdebatan di televisyen mengenai hukuman mati tahun lalu tetapi ahli perniagaan itu menolak, dengan berkata pihak berkuasa sebaliknya perlu melibatkan diri dengan aktivis hak asasi tempatan.