- Iklan -
Luar Sana

Singapura kecam Branson atas kritikan hukuman mati

Kementerian Dalam Negeri mendakwa jutawan Britain itu menunjukkan rasa tidak hormat kepada hakim Singapura dan sistem keadilan jenayah negara itu.

AFP
1 minit bacaan
Kongsi
Jutawan Britain Richard Branson. Gambar: Reuters
Jutawan Britain Richard Branson. Gambar: Reuters

Kerajaan Singapura mengecam jutawan Britain Richard Branson kerana menuduh pihak berkuasa "mungkin akan membunuh seseorang yang tidak bersalah" berhubung satu kilogram ganja. 

Warga Singapura Tangaraju Suppiah, 46, dijadual menjalani hukuman gantung esok selepas disabitkan dengan konspirasi mengedar 1,017.9g ganja, dua kali ganda jumlah minimum yang sepatutnya dijatuhkan hukuman mati mengikut undang-undang ketat dadah negara itu. 

Branson, ahli Suruhanjaya Global Dasar Dadah yang berpangkalan di Geneva, menggesa Singapura di blognya semalam supaya menghentikan hukuman mati, sambil berkata Tangaraju "tidak terlibat dengan pengedaran" dadah ketika ditahan. 

Beliau memberi amaran bahawa Singapura mungkin akan membunuh seseorang yang tidak bersalah. 

"Ini jelas tidak benar," menurut Kementerian Dalam Negeri Singapura dalam satu kenyataan, sambil menambah bahawa kesalahan Tangaraju telah dibuktikan tanpa keraguan munasabah.

Menurut kementerian itu, kenyataan Branson itu menunjukkan beliau "tidak menghormati hakim Singapura dan sistem keadilan jenayah kami dengan dakwaan sedemikian". 

Ia akan menjadi hukuman mati pertama Singapura dalam tempoh enam bulan dan yang ke-12 sejak tahun lepas. 

Pemilikan ganja tidak lagi dianggap sebagai jenayah berat di kebanyakan negara di dunia, termasuk di Thailand. 

Kumpulan hak asasi manusia telah merayu kepada Singapura untuk menghapuskan hukuman mati.

Hab kewangan Asia itu mempunyai beberapa undang-undang anti-narkotik paling berat di dunia dan menegaskan hukuman mati kekal sebagai pencegahan berkesan terhadap segala bentuk pemerdagangan dadah. 

Keluarga Tangaraju memohon pengampunan pada hari Ahad dan menggesa perbicaraan semula.