- Iklan -
Luar Sana

Netflix rekod jumlah langganan tertinggi

Gergasi televisyen penstriman itu melaporkan keuntungan suku tahunan sebanyak AS$1.3 bilion, selari dengan jangkaan yang diumumkan.

AFP
1 minit bacaan
Kongsi
Logo Netflix di Los Angeles, California, Amerika Syarikat, 15 September 2022. Gambar: Reuters
Logo Netflix di Los Angeles, California, Amerika Syarikat, 15 September 2022. Gambar: Reuters

Netflix mengumumkan bahawa bilangan pelanggannya mencecah rekod tertinggi sebanyak 232.5 juta pada suku pertama tahun ini malah ciri sokongan iklan terbaru cukup memberangsangkan.

Gergasi penstriman TV itu melaporkan keuntungan suku tahunan sebanyak AS$1.3 bilion (RM5.76 bilion), selari dengan jangkaan yang diumumkan

Bagaimanapun syarikat itu berkata ia terpaksa menangguhkan langkah terbaru terhadap perkongsian kata laluan akaun "untuk meningkatkan pengalaman ahli". 

Netflix berkata ia menjangkakan untuk mula melancarkan pilihan bagi perkongsian kata laluan berbayar pada suku ini. 

Ini bermakna beberapa faedah keahlian dan hasil daripada langkah itu ditangguhkan, menurut Netflix dalam surat kepada pemegang saham. 

"Kami percaya ini akan meningkatkan hasil yang lebih baik untuk ahli kami dan perniagaan kami," kata Netflix.

Malah ketika langganan beriklan baharu di Netflix berada di peringkat awal, penglibatan adalah atas jangkaan awal dan Netflix melihat "terdapat perubahan sangat sedikit berbanding pelan standard dan premium kami."

Penjejak pasaran Insider Intelligence meramalkan bahawa Netflix akan membawa masuk AS$770 juta hasil iklan daripada ciri baharu tahun ini, dan angka tersebut akan melebihi AS$1 bilion tahun depan.

Memandangkan pertumbuhan di Netflix semakin pulih tahun lepas, syarikat penstriman yang berpangkalan di Lembah Silikon itu menumpukan kepada mencipta peringkat langganan yang lebih rendah dengan pengiklanan. 

Netflix juga berhasrat untuk mendorong orang yang menonton secara percuma dengan kata laluan yang dikongsi untuk mula membayar perkhidmatan tanpa mengasingkan pelanggan. 

Insider Intelligence meramalkan, buat pertama kalinya, orang dewasa Amerika Syarikat (AS) akan menghabiskan lebih banyak masa tahun ini menonton video digital pada platform seperti Netflix, TikTok dan YouTube berbanding menonton di televisyen.