- Iklan -
Luar Sana

Argentina ganti Indonesia anjur Piala Dunia B-20 susulan bantahan penyertaan Israel

Setelah dianugerahkan hak penganjuran, Argentina juga akan mengambil bahagian secara automatik menggantikan tempat Indonesia meskipun gagal melayakkan diri secara merit.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Seorang lelaki berjalan melepasi sepanduk Piala Dunia B-20 Fifa di luar pejabat Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) di Jakarta, Indonesia, 30 Mac. Gambar: Reuters
Seorang lelaki berjalan melepasi sepanduk Piala Dunia B-20 Fifa di luar pejabat Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) di Jakarta, Indonesia, 30 Mac. Gambar: Reuters

Argentina akan menjadi tuan rumah Piala Dunia Bawah 20 dari 20 Mei hingga 11 Jun, menurut Fifa semalam selepas menarik balik hak penganjuran dari kejohanan itu dari Indonesia, hanya beberapa minggu sebelum sepak mula. 

Setelah dianugerahkan hak penganjuran, Argentina juga akan mengambil bahagian secara automatik menggantikan tempat Indonesia. Pasukan itu gagal melayakkan diri secara merit. 

"Fifa dengan sukacitanya mengumumkan bahawa edisi Piala Dunia B-20 Fifa tahun ini akan berlangsung di Argentina, kerana juara Piala Dunia itu membuka pintu kepada bintang bola sepak dunia esok," kata presiden Fifa Gianni Infantino dalam satu kenyataan.

Fifa menarik balik hak penganjuran daripada Indonesia bulan lepas susulan bantahan terhadap penyertaan Israel pada kejohanan itu. 

Indonesia dan Israel tidak mempunyai hubungan diplomatik, malah tahap sokongan negara dengan majoriti penduduknya beragama Islam itu terhadap perjuangan Palestin begitu tinggi.

Argentina meletakkan dirinya sebagai tuan rumah alternatif, dan Fifa akan menjalankan pemeriksaan tapak di kemudahan sukan negara tersebut minggu lepas. 

Cabutan akan berlangsung pada 21 April di Zurich. 

Beberapa jam sebelum pengumuman Fifa semalam, kerajaan Argentina menyatakan sokongan penuh kepada Persatuan Bola Sepak Argentina untuk menerima tawaran sebagai tuan rumah.

Meskipun negara berkenaan berdepan masalah ekonomi yang meruncing, dengan jumlah hutang IMF berpuluh bilion dan kadar inflasi tahun ke tahun melebihi 100%. 

Namun, Argentina merupakan negara terbanyak menjuarai edisi Piala Dunia Bawah 20 tahun, dengan jumlah keseluruhan sebanyak enam kali.