- Iklan -
Luar Sana

Angka kematian akibat pertempuran di Sudan meningkat kepada 83

Bangunan Kementerian Mineral turut menjadi sasaran.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Asap berkepul-kepul ke udara ketika tentera dan pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF) bertempur dalam perebutan kuasa di Khartoum, Sudan, 15 April. Gambar: Reuters
Asap berkepul-kepul ke udara ketika tentera dan pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF) bertempur dalam perebutan kuasa di Khartoum, Sudan, 15 April. Gambar: Reuters

Angka kematian akibat pertempuran berterusan antara tentera dan pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF) di Sudan mencecah 83, manakala 1,126 lagi cedera, kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Ahad.

WHO dalam satu kenyataan menggesa pihak yang terlibat supaya menghormati kesaksamaan dalam penyampaian perkhidmatan penjagaan kesihatan dan menjamin akses tanpa had kepada kemudahan penjagaan kesihatan ke atas mereka yang cedera dalam konflik.

Dua ahli keluarga Menteri Galian Sudan Mohamed Bashir terbunuh apabila roket mengenai rumahnya di ibu negara Khartoum semasa pertempuran itu, lapor Agensi Anadolu.

Tiga lagi cedera, termasuk dua pengawal peribadi. Bashir bagaimanapun terselamat.

Pada Sabtu, bangunan Kementerian Mineral turut menjadi sasaran.

Sementara itu, Angkatan Bersenjata Sudan (SAF) dalam satu kenyataan berkata, RSF menyasarkan beberapa bangunan di ibu pejabat tentera di ibu negara dan melakukan serangan dengan penembak tepat.

Sambil menggesa anggota RSF segera menyertai tentera untuk berkhidmat kepada negara, beliau berkata: “Kami tahu bahawa ahli RSF yang pernah berkhidmat kepada negara sebelum ini tidak akan menjadi alat untuk memenuhi matlamat dan agenda seseorang. Negara masih memerlukan sokongan anda.”

Keadaan itu akan diselesaikan tidak lama lagi, katanya.

Perselisihan antara tentera dan RSF mengenai pembaharuan keselamatan tentera, yang bermatlamat "menyerap sepenuhnya RSF ke dalam tentera," bertukar menjadi konflik panas dalam beberapa bulan kebelakangan ini.

Pertikaian yang berkisar kepada cadangan peralihan kepada pemerintahan awam itu meletus pada Khamis apabila tentera mendakwa pergerakan RSF baru-baru ini dilakukan tanpa penyelarasan dan menyalahi undang-undang.

Sudan tidak mempunyai kerajaan sejak Oktober 2021 apabila tentera memecat kerajaan peralihan Perdana Menteri Abdalla Hamdok dan mengisytiharkan darurat, tindakan yang dikecam oleh kumpulan politik sebagai "rampasan kuasa".

Tempoh peralihan Sudan yang bermula pada Ogos 2019 dijadualkan berakhir dengan pilihan raya pada awal 2024.