- Iklan -
Luar Sana

India pertahan lokasi G20 di Kashmir, kritik bantahan Pakistan

Kashmir merupakan wilayah rebutan kepada dua negara berjiran tersebut sejak sekian lama. Kedua-dua negara berperang untuk menguasai wilayah berkenaan.

Reuters
1 minit bacaan
Kongsi
Anggota Polis Simpanan India (CRPF) berkawal di tebing Tasik Dal, sebuah pusat tarikan pelancong yang terkenal, di Srinagar 26 Mei 2022. Gambar: Reuters
Anggota Polis Simpanan India (CRPF) berkawal di tebing Tasik Dal, sebuah pusat tarikan pelancong yang terkenal, di Srinagar 26 Mei 2022. Gambar: Reuters

India menegaskan bahawa negara itu bebas untuk menganjurkan mesyuarat G20 di wilayahnya sendiri.

Ia susulan bantahan oleh Pakistan terhadap penganjuran mesyuarat tersebut yang diadakan di Kashmir dan Ladakh.

Kashmir merupakan wilayah rebutan kepada dua negara berjiran tersebut sejak sekian lama. Kedua-dua negara berperang untuk menguasai wilayah berkenaan.

Jammu dan Kashmir ialah sebuah negeri yang mempunyai keistimewaan sehingga 2019, apabila kerajaan Perdana Menteri India Narendra Modi membahagikannya kepada dua wilayah yang dikawal oleh persekutuan itu iaitu Jammu dan Kashmir serta Ladakh.

Islamabad mengecam keputusan India untuk mengadakan mesyuarat di dua wilayah itu awal minggu ini, sambil menyifatkan tindakan tidak bertanggungjawab itu sebagai melanggar perundangan antarabangsa.

"Acara dan mesyuarat G20 sedang berlaku di seluruh India dan adalah wajar untuk melakukannya di Jammu dan Kashmir dan Ladakh, yang merupakan bahagian penting dan tidak boleh dipisahkan dari India," kata jurucakap Kementerian Luar India Arindam Bagchi kepada pemberita.

India ketika ini memegang jawatan presiden G20 dan akan menjadi tuan rumah sidang kemuncak kumpulan itu di New Delhi pada September ini. 

Jumaat lalu, India mengeluarkan kalender acara penuh menjelang sidang kemuncak itu, termasuk mesyuarat G20 dan Youth 20 di Srinagar, Kashmir dan di Leh, Ladakh, pada April serta Mei. 

Kementerian Luar Pakistan mengeluarkan kenyataan mengecam pemilihan tempat bagi penganjuran mesyuarat itu.